Monday, January 21, 2013

PEMBASMIAN KEMISKINAN


:: RANCANGAN MALAYSIA KE LIMA (RML) ::
BAB 03 : DASAR EKONOMI BARU: KEMAJUAN DAN PROSPEK

II : PEMBASMIAN KEMISKINAN


Konsep dan Ukuran

1 Kemiskinan adalah suatu konsep yang mengandungi berbagai pengertian dan tanggapan serta mudah pula dipengaruhi oleh perasaan. Penggunaan dan pemahaman yang kurang tepat mengenai konsep ini akan memberi gambaran yang mengelirukan mengenai keadaan sebenar taraf hidup sesebuah negara. Kemiskinan sering digambarkan sebagai keadaan kekurangan yang keterlaluan bagi zat makanan serta keperluan-keperluan asas untuk hidup seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian di samping kebuluran, kelaparan yang meluas dan kerendahan maruah seseorang apabila ia terpaksa meminta sedekah untuk hidup. Kemiskinan boleh ditakrif dengan memuaskan hanya secara relatif dengan mengambilkira keadaan sesebuah masyarakat atau negara berkenaan. Tidak terdapat satu takrif kemiskinan yang khusus yang boleh digunakan untuk semua negara pada setiap masa tanpa mengambilkira struktur masyarakat dan tahap pembangunan di negara berkenaan. Terdapat negara-negara yang mengalami kemiskinan tetapi keadaannya adalah berbeza, iaitu daripada keadaan kemiskinan yang dialami oleh negara-negara maju hingga yang terdapat di negara-negara membangun yang telah mencapai kejayaan ekonomi serta mempunyai pendapatan dan taraf hidup yang lebih tinggi. Walaupun istilah kemiskinan sering digunakan di negara-negara ini tetapi keadaan dan tingkat keterlaluannya agak berbeza daripada yang terdapat di negara-negara yang kurang bernasib baik yang sentiasa mengalami kelaparan dan kebuluran. Oleh yang demikian, kemiskinan menggambarkan serta merangkumi berbagai keadaan sosio-ekonomi dan dengan itu, istilah kemiskinan perlu diberi perhatian yang teliti dan berhati-hati oleh tiap-tiap buah negara secara berasingan.

2 Berbagai konsep kemiskinan telah dikemukakan. Dua konsep kemiskinan yang biasa digunakan ialah kemiskinan mutlak, iaitu kemiskinan yang berasaskan konsep secukup hidup, dan kemiskinan relatif, yang merupakan keadaan yang tidak seimbang di kalangan berbagai golongan pendapatan. Konsep kemiskinan mutlak telah diterima dengan meluas kerana ianya bertujuan menjelaskan kemiskinan sebagai kekurangan pendapatan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan sara hidup yang minimum. Ukuran kemiskinan mutlak yang kerap digunakan ialah kadar kemiskinan, iaitu peratusan penduduk atau isirumah yang mempunyai taraf hidup yang lebih rendah daripada garis kemiskinan yang ditentukan. Pendapatan garis kemiskinan ialah satu tingkat pendapatan sesebuah isirumah untuk membolehkannya, secara purata, menikmati makanan berzat yang mencukupi, yang biasanya ditakrif mengikut kiraan kalori. Garis kemiskinan ini boleh juga mengambilkira jenis-jenis perbelanjaan yang lain untuk mengekalkan suatu taraf hidup yang memuaskan berdasarkan norma-norma yang sedia ada. Satu lagi ukuran yang biasa digunakan ialah kejadian kemiskinan, iaitu bilangan isirumah miskin dalam sesebuah kawasan sama ada negeri atau daerah berbanding dengan jumlah isirumah miskin keseluruhannya.

1 Beberapa kekurangan atau kelemahan dalam penggunaan garis kemiskinan telah jelas diketahui. Ukuran tersebut tidak mengambilkira sejauhmana sesebuah isirumah itu berada di bawah garis kemiskinan dan oleh yang demikian, tidak dapat menunjukkan kemiskinan yang keterlaluan bagi sebilangan isirumah. Garis ini juga tidak mengambilkira masalah penting berhubung dengan agihan makanan dan kemudahan lain dalam sesebuah isirumah. Memandangkan pendekatan ini berasaskan pendapatan, ianya tidak dapat menggambarkan kebajikan atau taraf hidup yang sebenar bagi orang perseorangan atau sesebuah isirumah.

2 Kemiskinan relatif merangkumi kedua-dua konsep kemiskinan mutlak dan pendapatan yang tidak seimbang kerana ianya mengandungi beberapa aspek daripada konsep tersebut. Beberapa masalah juga timbul dalam usaha menentukan bagaimana kemiskinan relatif patut diukur. Sesuatu kumpulan itu ditakrifkan sebagai miskin berbanding dengan kedudukan kumpulan lain dalam masyarakat. Sebagaimana ukuran kemiskinan mutlak, ukuran kemiskinan relatif juga mempunyai beberapa batasan tertentu. Berasaskan pendapatan kumpulan 40 peratus terendah sebagai ukuran, pertumbuhan ekonomi dianggap dapat mengurangkan kemiskinan relatif dan meningkatkan kebajikan masyarakat apabila pendapatan purata kumpulan tersebut meningkat. Satu lagi cara mengukur kemiskinan relatif ialah dengan menganggarkan peratusan isirumah atau orang perseorangan yang mempunyai pendapatan, misalnya kurang daripada separuh pendapatan penengah negara. Cara ini lebih merupakan pengukuran pendapatan yang tidak seimbang daripada pengukuran kemiskinan. Satu kekurangan dalam pengukuran cara ini ialah ianya tidak dapat mengambilkira kesan terhadap paras kemiskinan sekiranya pendapatan setiap orang perseorangan meningkat dengan kadar yang sama.

1 Di Malaysia, bilangan isirumah miskin dan kadar kemiskinan dikira berasaskan satu pendapatan garis kemiskinan. Kemiskinan telah ditakrif dan diukur berasaskan taraf hidup yang terdapat di dalam negara selaras dengan keadaan negara ini dan tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara lain. Kemiskinan telah dianggapkan sebagai keupayaan purata sesebuah isirumah untuk mendapatkan barang-barang dan perkhidmatan yang mencukupi. Pendapatan garis kemiskinan ditakrifkan sebagai pendapatan yang mencukupi untuk membeli keperluan makanan yang minimum bagi mengekalkan sesebuah isirumah dalam keadaan yang sihat dari segi pemakanan dan keperluan-keperluan lain seperti pakaian dan alas kaki, sewa tempat kediaman, bahanapi dan tenaga, pengangkutan dan perhubungan, kesihatan, pelajaran dan rekreasi. Garis kemiskinan ini mengambilkira bukan sahaja keperluan makanan tetapi keperluan-keperluan lain. Oleh yang demikian, garis ini ditakrifkan dengan mengambilkira taraf hidup di Malaysia yang jauh lebih tinggi daripada setengah-setengah negara lain.

2 Perlu dijelaskan di sini berhubung dengan perbezaan antara dua konsep pendapatan yang selalu digunakan. Satu daripada konsep tersebut mengambilkira pendapatan berupa wang tunai sahaja sementara konsep yang satu lagi adalah lebih menyeluruh iaitu mengambilkira nilai hasil keluaran sendiri yang digunakan oleh isirumah dan nilai rumah yang diduduki sendiri. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, pendekatan yang berasaskan pendapatan bagi mengukur kemiskinan tidak dapat menggambarkan kebajikan atau taraf hidup sebenar isirumah. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai taraf hidup isirumah, anggaran pendapatan perlu mengambilkira sepenuhnya nilai perkhidmatan-perkhidmatan awam yang dinikmatioleh isirumah sama ada secara percuma atau dalam bentuk subsidi. Perkhidmatan-perkhidmatan awam ini termasuk kesihatan, pelajaran, pengangkutan dan kemudahan-kemudahan awam serta berbagai bentuk subsidi yang diberikan oleh Kerajaan. Kegagalan mengambilkira nilai perkhidmatan-prkhidmatan awam yang dinikmati oleh isirumah miskin ini sebagai pendapatan mereka akan menyebabkan anggaran paras kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada yang sebenarnya. Perkara-perkara ini perlu diambil ingatan semasa membuat kesimpulan mengenai keadaan dan tingkat kemiskinan yang wujud di negara ini.

1 Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kemiskinan dan sebahagian daripadanya adalah di luar kawalan orang-orang perseorangan. Faktor-faktor ini termasuk berbagai bentuk kecacatan yang menghalang seseorang itu daripada memperolehi pendapatan untuk menyara hidupnya. Bencana alam seperti banjir dan penyakit yang memusnahkan tanaman-tanaman adalah juga di luar kawalan petani-petani dan Kerajaan. Pengaruh faktor-faktor ekonomi luar negeri seperti kemelesetan yang mengakibatkan kejatuhan harga-harga barangan adalah juga di luar kawalan isirumah yang bergantung sepenuh atau sebahagian besarnya kepada barangan ini untuk menyara kehidupan mereka. Tambahan pula, terdapat berbagai keadaan sosio-ekonomi yang memberi kesan ke atas keupayaan isirumah memperolehi pendapatan dan ini termasuk saiz isirumah yang besar di kalangan isirumah yang berpendapatan rendah, batasan-batasan berkaitan dengan pemilikan saiz kebun yang kecil serta kekurangan input-input yang dapat meningkatkan pengeluaran seperti baja, amalan pertanian moden dan sistem perparitan dan taliair yang sempurna.

2 Sikap serta faktor-faktor kebudayaan dan sosial juga mempunyai pengaruh ke atas kehidupan orang-orang perseorangan. Sekiranya dorongan untuk bekerja kuat adalah lemah serta faktor-faktor sosial dan kebudayaan menjadi penghalang untuk menerima amalan-amalan moden, misalnya penggunaan tanah yang tidak sepenuhnya, dan sekiranya kurang dorongan untuk menerima perubahan dan bertindakbalas terhadap peluang-peluang baru, kemajuan sepenuhnya tidak akan diperolehi dan isirumah-isirumah yang mempunyai nilai dan sikap tersebut akan terus ketinggalan. Oleh yang demikian, usaha Kerajaan untuk meningkatkan keadaan sosio-ekonomi kumpulan berpendapatan rendah adalah terhad. Faktor-faktor utama berkaitan dengan kemiskinan jelas menunjukkan perlunya Kerajaan dan orang perseorangan bersama-sama berusaha mengatasi berbagai halangan ke arah kemajuan ekonomi.

Mengurangkan kemiskinan-kajian semula kemajuan, 1970-85

1 Dalam usaha mengkaji dan menilai kadar kemiskinan di negara ini, beberapa sumber perangkaan dan maklumat lain yang berkaitan telah digunakan. Pada kebiasaannya, anggaran kadar kemiskinan seberapa yang boleh perlu disemak apabila perangkaan dan maklumat lain yang lebih tepat diperolehi. Walau apapun sumber perangkaan yang digunakan, terdapat beberapa kelemahan yang tertentu tetapi sebahagian daripada sumber-sumber tersebut boleh diterima daripada yang lain.

2 Perangkaan mengenai pendapatan adalah perlu untuk menganggar kadar kemiskinan dan ianya boleh diperolehi daripada dua sumber - secara langsung dan tidak langsung. Anggaran-anggaran secara langsung diperolehi daripada penyiasatan-penyiasatan atau banci-banci yang sistematik dan perangkaan yang diperolehi adalah berasaskan isirumah. Penyiasatan adalah dijalankan mengikut teknik-teknik sampel serta peraturan-peraturan dan amalan perangkaan yang tertentu. Semakan yang teliti dan kesahihan adalah sebahagian daripada peraturan penyiasatan dan banci bagi menentukan supaya seberapa yang boleh, maklumat yang diperolehi adalah tepat. Sebaliknya, anggaran pendapatan secara tidak langsung adalah diperolehi daripada beberapa sumber seperti kajian-kajian yang berkenaan, penyiasatan yang meliputi beberapa kawasan sahaja serta perangkaan mengenai hasil dan harga yang diperolehi dari berbagai agensi. Kadar-kadar kemiskinan yang terdapat dalam rancangan-rancangan pembangunan lima tahun dan dalam kajian-kajian semulanya sebahagian besarnya adalah berdasarkan anggaran pendapatan yang diperolehi secara tidak langsung dan perangkaan-perangkaan lain.

3 Dalam penyediaan RML, satu penilaian semula keadaan kemiskinan telah dibuat dengan adanya data-data yang lebih menyeluruh dan kemaskini. Penyiasatan Pendapatan Isirumah (HIS), 1984, bagi Malaysia, oleh Jabatan Perangkaan yang baru sahaja disiapkan adalah merupakan satu penyiasatan sampel yang besar mengenai pendapatan. Penyiasatan ini memberikan perangkaan penting mengenai pendapatan dan perangkaan lain yang perlu untuk menganggarkan kadar kemiskinan. Berikutan dengan adanya HIS 1984, kajian semula anggaran kadar kemiskinan bagi tahun-tahun 1980 dan 1983 dapat dibuat. Perbandingan juga boleh dibuat dengan kadar kemiskinan bagi tahun-tahun 1970 dan 1976 yang diperolehi daripada Penyiasatan Selepas Banci (PES), 1970, dan Banci Pertanian, 1977 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan.

4 Penilaian semula kemajuan dalam usaha mengurangkan kemiskinan telah mengemukakan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian. Walau bagaimanapun, batasan-batasan data tidak mengizinkan satu analisa terperinci dibuat mengenai kemajuan dalam usaha mengurangkan kemiskinan bagi beberapa kumpulan miskin utama dan dalam membuat perbandingan yang tepat antara tahun 1970 dengan tahun-tahun 1976 dan 1984. Dalam Jadual 3-1 dan Carta 3-1 ditunjukkan anggaran-anggaran kemiskinan yang telah disemak semula bagi tahun-tahun 1976 dan 1984 manakala kadar kemiskinan bagi negeri-negeri diringkaskan dalam Jadual 3-2. Jadual-jadual tersebut menunjukkan penemuan-penemuan yang berikut. Pertama, kadar kemiskinan yang telah diperolehi daripada anggaran pendapatan secara langsung berasaskan penyiasatan-penyiasatan isirumah adalah lebih rendah daripada yang diperolehi berasaskan anggaran pendapatan secara tidak langsung dan perangkaan-perangkaan lain. Oleh yang demikian, anggaran kemiskinan seperti yang ditunjukkan dalam rancangan-rancangan pembangunan dan kajian-kajian separuh penggal adalah didapati tinggi. Kedua, anggaran kemiskinan secara langsung menunjukkan bahawa di Semenanjung Malaysia, kadar kemiskinan telah berkurang dengan banyak dalam tempoh 1970-84 daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 39.6 peratus pada tahun 1976 dan seterusnya kepada18.4 peratus pada tahun 1984. Ketiga, kadar kemiskinan bagi semua kumpulan miskin utama, kecuali pekebun kecil kelapa bagi tempoh 1970-76, telah berkurang di sepanjang tempoh 1970-84. Keempat, kemiskinan luar bandar dan bandar juga telahmencatitkan arah aliran yang berkurang. Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar telah berkurang daripada 58.7 peratus pada tahun 1970 kepada 47.8 peratus pada tahun 1976 dan seterusnya kepada 24.7 peratus pada tahun 1984, manakala kadar kemiskinan dibandar telah berkurang daripada 21.3 peratus pada tahun 1970 kepada 17.9 peratus pada tahun 1976 dan 8.2 peratus pada tahun 1984. Kelima, semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga mengalami pengurangan dalam kadar kemiskinan.

1 Dalam membuat perbandingan antara anggaran-anggaran kadar kemiskinan seperti yang telah dilaporkan dalam rancangan-rancangan pembangunan lima tahun serta kajian-kajian separuh penggal yang lalu, batasan-batasan yang terdapat daripada anggaran secara tidak langsung perlu diberi perhatian. Pada umumnya, pendekatan secara tidak langsung bagi anggaran kemiskinan menggunakan beberapa konsep yang tidak selaras antara satu sumber dengan sumber yang lain terutamanya mengenai konsep pendapatan. Kebanyakan daripada sumber perangkaan secara tidak langsung adalah berasaskan penyiasatan-penyiasatan yang meliputi beberapa kawasan sahaja iaitu tidak merangkumi seluruh negara. Perangkaan daripada sumber-sumber secara tidak langsung ini juga didapati tidak kemaskini. Sebaliknya, perangkaan mengenai pendapatan daripada banci dan penyiasatan-penyiasatan, iaitu sumber secara langsung, adalah diperolehi berdasarkan liputan seluruh negara. Konsep pendapatan yang lebih menyeluruh yang digunakan dalam banci dan penyiasatan bukan sahaja mengambilkira jumlah upah dan gaji yang diterima oleh isirumah tetapi juga pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan sendiri, hakmilik harta termasuk sewa tempat kediaman, faedah dan dividen, dan penerimaan bersih daripada bayaran-bayaran pindahan termasuk biasiswa dan pencen. Nilai rumah yang didiami sendiri, bantuan sewa kediaman serta penggunaan barang-barang yang dikeluarkan sendiri oleh isirumah juga diambilkira dalam banci dan penyiasatan-penyiasatan. Sungguhpun terdapat kesilapan yang biasa berlaku, anggaran pendapatan dan kemiskinan yang diperolehi daripada banci dan penyiasatan-penyiasatan adalah lebih tepat dan boleh diterima.

2 Anggaran kadar kemiskinan bagi tempoh tujuhpuluhan yang diperolehi berasaskan sumber perangkaan secara tidak langsung pada umumnya adalah selaras dengan yang berasaskan banci dan penyiasatan-penyiasatan isirumah. Walau bagaimanapun, bagi awal tahun-tahun lapanpuluhan, terdapat perbezaan arahaliran dan kadar kemiskinan antara yang diperolehi berasaskan sumber secara langsung dengan yang berasaskan sumber secara tidak langsung. Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat (KSP), kadar kemiskinan telah dianggarkan kira-kira 30 peratus bagi tahun 1983. Anggaran ini diperolehi daripada beberapa sumber perangkaan secara tidak langsung dan maklumat-maklumat lain. Pada tahun 1984, seperti yang telah ditunjukkan dalam Jadual 3-1, kadar kemiskinan yang telah diperolehi daripada HIS 1984 ialah kira-kira 18 peratus.

1 Terdapat dua sebab utama berlakunya perbezaan dalam anggaran kemiskinan bagi dua tahun yang hampir tersebut. Pertama, seperti yang telah dinyatakan dalam perenggan yang terdahulu, pada awal tahun lapanpuluhan,anggaran secara tidak langsung telah tidak mengambilkira sepenuhnya pendapatan kumpulan miskin utama. Oleh kerana kekurangan data, perangkaan mengenai pendapatan kumpulan ini diperolehi daripada kajian-kajian dan penyiasatan yang meliputi beberapa kawasan sahaja dan tidak meliputi seluruh negara dan oleh itu tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Kedua, anggaran secara tidak langsung juga tidak mengambilkira kesan sepenuhnya berbagai program yang dijalankan oleh Kerajaan. Oleh kerana kesukaran mengambilkira kesan sepenuhnya pemberian subsidi dan penyediaan perkhidmatan lain oleh Kerajaan ke atas pendapatan kumpulan berpendapatan rendah, anggaran pendapatan isirumah adalah lebih rendah daripada yang sebenarnya. Adalah perlu diambil perhatian bahawa kadar-kadar kemiskinan bagi tahun-tahun 1970, 1976 dan 1984 telah dianggar berdasarkan pendapatan garis kemiskinan yang tertentu bagi tahun-tahun yang berkenaan. Pendapatan garis kemiskinan ini telah diubahsuai bagi mencerminkan perubahan-perubahan dalam kos hidup seperti yang digambarkan oleh Angkatunjuk Harga Pengguna.

2 Berdasarkan data yang diperolehi daripada HIS 1984, kadar kemiskinan bagi tahun 1984 telah dianggarkan kira-kira 18 peratus. Tidak ada anggaran secara langsung bagi kadar kemiskinan keseluruhannya dan mengikut kumpulan miskin utama bagi tahun 1985. Walau bagaimanapun, berikutan daripada kemelesetan danpenurunan harga-harga barangan utama pada tahun 1985, pendapatan kumpulan miskin utama di luar bandar mungkin akan terjejas. Kesan buruk akibat daripada kemerosotan ekonomi terhadap kumpulan miskin utama adalah dijangka menjadi lebih besar tanpa faedah yang dinikmati daripada subsidi dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan. Dalam tempoh 1981-85, pelaburan yang besar telah dibuat oleh Kerajaan untuk meningkatkan daya pengeluaran petani dan nelayan serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui penyediaan perkhidmatan dan kemudahan awam bagi memenuhi keperluan asas seperti pelajaran, kesihatan dan kebersihan, bekalan air, elektrik dan jalan-jalan.

1 PEKEBUN KECIL GETAH. Kadar kemiskinan di kalangan pekebun kecil getah telah berkurang daripada 58.2 peratus pada tahun 1976 kepada 43.4 peratus pada tahun 1984. Daya pengeluaran kebun-kebun kecil getah telah meningkat sedikit dalam tempoh 1981-84. Pengeluaran sehektar sebanyak 964 kilogram pada tahun 1980 telah meningkat sedikit kepada 974 kilogram pada tahun 1984 berikutan daripada penggunaan benih getah berhasil tinggi, amalan-amalan pengurusan pertanian yang lebih baik dan pelaksanaan program penanaman semula getah.

2 Seluas 92,600 hektar atau kira-kira 62 peratus daripada matlamat RME telah ditanam semula dengan getah berhasil tinggi. Seramai 77,000 pekebun kecil telah mendapat faedah daripada rancangan ini dalam tempoh 1981-85. Kerajaan, melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Getah (RISDA), terus memberikan bantuan kredit sara hidup dalam tempoh sebelum matang sebagai usaha menggalakkan seterusnya penanaman semula kebun-kebun kecil getah yang tua. Di samping itu, bantuan dalam bentuk racun serangga, baja dan tanaman penutup bumi juga telah diberikan.

3 PENANAM PADI. Kadar kemiskinan di kalangan penanam padi telah berkurang daripada 80.3 peratus pada tahun 1976 kepada 57.7 peratus pada tahun 1984. Kerajaan telah melaksanakan beberapa projek parit dan taliair untuk meningkatkan daya pengeluaran bagi penanaman satu musim dan dua musim setahun. Hasil daripada pelaksanaan projek-projek ini telah dapat memenuhi dua pertiga daripada keperluan beras negara menjelang tahun 1985. Dalam tempoh 1981-85, sebanyak 274 projek taliair telah dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan baru atau yang lebih baik bagi penanaman padi satu musim setahun yang meliputi kawasan seluas 22,800 hektar dan penanaman padi dua musim setahun di kawasan seluas 92,100 hektar. Kemudahan perparitan telah juga disediakan bagi penanaman padi di kawasan seluas 85,000 hektar. Selain daripada menyediakan kemudahan parit dan taliair, subsidi baja berjumlah $430 juta juga telah diberikan bagi meninggikan daya pengeluaran padi serta meringankan beban kewangan penanam-penanam padi. Secara purata, seramai 314,600 penanam padi setahun telah dapat menikmati faedah daripada skim ini.

1 Hasil purata padi di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak 3.0 tan metrik sehektar pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, di kawasan-kawasan tertentu seperti Muda di Kedah, hasil purata padi adalah sebanyak 3.2 tan metrik sehektar. Pendapatan bersih tahunan purata daripada penanaman padi di Semenanjung Malaysia pada tahun 1984 dianggarkan sebanyak $1,780. Kira-kira 69 peratus atau $1,230 daripada pendapatan ini merupakan subsidi harga yang diberikan oleh Kerajaan. Pendapatan penanam padi antara kawasan adalah berbeza. Pendapatan penanam padi di Kemasin-Semerak, di Kelantan misalnya, adalah sebanyak $1,160 pada tahun 1984 berbanding dengan $4,100 yang diperolehi oleh penanam padi di Muda, Kedah dan $5,070 di Sekinchan, Selangor.

2 PEKERJA ESTET. Kadar kemiskinan di kalangan pekerja estet telah dianggarkan sebanyak 19.7 peratus pada tahun 1984. Pendapatan bulanan purata pekerja estet seperti yang ditunjukkan oleh HIS 1984 adalah sebanyak $632. Pekerja estet terus dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh estet dan ini telah meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi mereka.

3 NELAYAN. Nelayan terus mendapat faedah daripada berbagai program yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Skim Pemilikan Bot telah memberi peluang kepada nelayan untuk memiliki bot-bot yang lebih besar dan lebih baik secara sewa-beli bagi membolehkan mereka menangkap ikan di laut dalam. Dalam tempoh 1981-85, sejumlah 765 buah bot telah diperuntukkan di bawah skim ini dan dapat memberi faedah kepada kira-kira 1,000 orang nelayan. Di bawah Skim Peningkatan Bot, nelayan-nelayan telah dapat mempertingkatkan penggunaan bot menerusi pemasangan alat-alat menangkap ikan yang moden untuk meninggikan daya pengeluaran. Alat-alat moden seperti sistem hubungan radio dan alat mengesan ikan telah disediakan dan seramai 1,600 orang nelayan telah mendapat faedah daripada skim ini. Projek-projek ternakair telah juga digalakkan untuk memberi pendapatan sampingan kepada nelayan. Kira-kira 740 orang nelayan telah terlibat di dalam projek ini yang telah memberi pendapatan tambahan antara $200 hingga $600 sebulan seisirumah.

1 PEKEBUN KECIL KELAPA. Usaha-usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan untuk menanam semula dan memulihkan kebun-kebun kecil kelapa dengan tujuan untuk meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan terus memberi faedah kepada pekebun -pekebun kecil kelapa. Di bawah Rancangan Pembangunan Semula Kawasan Kelapa, seramai 4,060 pekebun kecil kelapa telah menanam semula, sementara 11,160 lagi telah memulihkan kebun-kebun kelapa mereka semenjak projek ini dimulakan pada tahun 1979. Selaras dengan objektif Dasar Pertanian Negara untuk mengurangkan penanaman kelapa sebagai tanaman tunggal, sebanyak 51.1 peratus kebun-kebun kelapa telah ditanam dengan tanaman selingan yang menguntungkan seperti koko, kopi, buah-buahan dan tanaman kontan di bawah projek ini. Walau bagaimanapun, sebanyak 48.9 peratus lagi telah ditanam semula dan dipulih dengan kelapa sahaja, kebanyakannya di pantai timur Semenanjung Malaysia, oleh kerana tanah bris tidak membolehkan penanaman tanaman-tanaman selingan yang lain.

2 KUMPULAN MISKIN DI BANDAR. Kadar kemiskinan di sektor bandar dianggarkan telah berkurang daripada 17.9 peratus pada tahun 1976 kepada 8.2 peratus pada tahun 1984. Peluang-peluang pekerjaan yang kian bertambah di sektor bandar hasil daripada pertumbuhan sektor-sektor kedua dan ketiga terutamanya sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perdagangan dan perkhidmatan telah memberi faedah kepada kumpulan berpendapatan rendah. Dalam tempoh 1981-85, sejumlah 500,000 pekerjaan telah diwujudkan di sektor-sektor kedua dan ketiga di Semenanjung Malaysia dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.6 peratus. Perhatian perlu diberi kepada perbezaan keadaan hidup antara kawasan bandar dan luar bandar apabila membuat perbandingan mengenai paras kemiskinan antara kedua-dua kawasan tersebut. Paras harga dan kos hidup adalah berbeza antara kawasan bandar dan luar bandar. Perbezaan Angkatunjuk Harga Pengguna antara kawasan bandar dan luar bandar dianggarkan kira-kira 10 hingga 12 peratus. Ini menunjukkan bahawa kos hidup di bandar adalah lebih tinggi daripada di luar bandar. Kawasan tempat tinggal di bandar juga didapati lebih terhad dan sesak berbanding dengan kawasan luar bandar.

1 PENDUDUK KAMPUNG-KAMPUNG BARU. Seramai 1.8 juta orang tinggal di Kampung-kampung Baru pada tahun 1985. Sebahagian besar daripada penduduk Kampung-kampung Baru ini terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang berasaskan pertanian sementara yang lainnya menjalankan kegiatan-kegiatan perdagangan atau perniagaan. Satu penyiasatan ke atas isirumah di Kampung-kampung Baru yang dijalankan pada tahun 1983 menunjukkan bahawa 37 peratus daripada isirumah tersebut memperolehi pendapatan tunai purata lebih daripada $400 sebulan sementara 38 peratus lagi memperolehi pendapatan antara $200 hingga $400 sebulan.

2 PETANI-PETANI LAIN. Kedudukan sosio-ekonomi petani-petani lain yang terdiri daripada penanam tembakau, petani tanaman campuran, pekebun sayur dan buah-buahan, pekebun kecil lada hitam, pekebun kecil nanas serta penternak ayam itik dan ternakan lain didapati bertambah baik. Beberapa program dan projek pertanian telah dilaksanakan dalam tempoh 1981-85 yang telah memberi faedah kepada petani-petani ini. Satu daripada program utama yang telah dilaksanakan ialah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP). Projek ini telah menyediakan infrastruktur pertanian, input-input dan perkhidmatan-perkhidmatan yang perlu kepada petani-petani menerusi satu pendekatan yang bersepadu yang telah meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan mereka. Jenis-jenis bantuan lain yang telah diberikan kepada petani-petani termasuk kemudahan pengembangan, pemerosesan dan pemasaran, bantuan kredit dan perkhidmatan sokongan yang lain. Pemberian berbagai jenis subsidi bagi memajukan tanaman-tanaman jangka pendek di bawah Program Input dan Pelbagaian Pertanian (AIDP) telah dikurangkan secara berperingkat dalam tempoh tersebut selaras dengan strategi baru untuk mengurangkan pemberian subsidi kepada petani-petani.

239. Dalam tempoh 1981-85, seluas 51,800 hektar telah ditanam dengan tembakau, sementara 2,100 hektar lagi telah ditanam dengan buah-buahan dengan menggunakan benih-benih baru dan berhasil tinggi. Berasaskan sistem penanaman tembakau secara penanam-pengawit di Alor Ketitir, Terengganu yang telah dilaksanakan pada tahun 1982, pendapatan purata penanam-pengawit yang mengusahakan tembakau di kawasan seluas 1.6 hektar ialah $31,900 setahun atau $2,660 sebulan. Oleh yang demikian, potensi pendapatan daripada penanaman tembakau berdasarkan model ini didapati tinggi. Bantuan juga telah diberikan kepada pekebun kecil nanas untuk menanam semula nanas sama ada secara tunggal atau dengan kelapa sebagai tanaman selingan. Dalam tempoh yang sama, sejumlah 48,600 ekor lembu telah juga diberikan kepada 35,700 orang petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

240. ORANG ASLI. Kerajaan terus menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan kepada Orang Asli untuk meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi. Beberapa projek telah dilaksanakan untuk faedah Orang Asli. Kira-kira 5,570 hektar tanah telahpun ditanam dan dipulihkan dengan getah, kelapa sawit, buah-buahan, kelapa, teh dan lada hitam dalam tempoh 1981-85. Seluas 1,000 hektar lagi telahpun dimajukan dengan tanaman jangka pendek seperti pisang, nanas dan betik di bawah projek Bumi Hijau. Pemeliharaan ikan dan ternakan telah digalakkan untuk memberi pendapatan sampingan kepada Orang Asli. Mereka juga telah digalakkan untuk menyertai kegiatan-kegiatan perniagaan dan industri kecil. Bagi tujuan ini, 11 buah kedai koperasi dan 22 buah pusat pemerosesan rotan telah ditubuhkan. Satu program yang menyeluruh melibatkan lima buah projek pengumpulan semula telah dilaksanakan bagi kira-kira 23,000 Orang Asli di sepanjang Banjaran Titiwangsa. Di bawah program ini, seluas 13,600 hektar tanah telah dibahagikan sementara 2,000 hektar lagi telah ditanam dengan getah dan 1,300 hektar dengan buah-buahan. Sementara itu, sejumlah 270 buah rumah telah dibina untuk mereka.

Pembasmian kemiskinan di Sabah dan Sarawak

241. Keadaan kemiskinan keseluruhannya di Sabah dan Sarawak pada tahun 1976 dan 1984 adalah ditunjukkan dalam Jadual 3-2. Kadar kemiskinan di Sabah telah berkurang daripada 58.3 peratus pada tahun 1976 kepada 33.1 peratus pada tahun 1984 manakala di Sarawak telah berkurang daripada 56.5Termasuk Wilayah Persekutuan Labuan. peratus kepada 31.9 peratus dalam tempoh yang sama. Kadar kemiskinan di kawasan bandar dan luar bandar di Sabah dan Sarawak juga telah berkurang. Keadaan kemiskinan yang bertambah baik di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan oleh kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi di kedua-dua negeri tersebut berbanding dengan negeri-negeri lain. Kadar pertumbuhan KDNK bagi tempoh 1976-84 di Sabah dan Sarawak masing-masing ialah sebanyak 7.3 dan 6.2 peratus setahun.

Keperluan asas dan mutu kehidupan

242. Keperluan asas telah ditakrifkan merangkumi dua perkara. Pertama, ia termasuk keperluan penggunaan di peringkat yang minimum bagi sesebuah isirumah seperti makanan yang cukup, tempat tinggal dan pakaian termasuk peralatan dan perabut rumah yang tertentu. Kedua, ia termasuk perkhidmatan asas tertentu yang disediakan oleh dan untuk seluruh masyarakat seperti air minuman yang selamat, kebersihan, pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan dan pelajaran. Ukuran-ukuran kemiskinan seperti kadar kemiskinan tidak mengambarkan keadaan yang sebenar tentang taraf hidup berbagai kumpulan sosio-ekonomi. Bagi tujuan mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan seimbang mengenai taraf hidup sesebuah isirumah, ukuran kemiskinan perlu disertakan dengan petunjuk-petunjuk keperluan asas yang lain. Petunjuk-petunjuk umum mengenai keperluan asas atau mutu kehidupan seperti dalam Jadual 3-3 menunjukkan kemajuan yang berterusan dalam taraf hidup rakyat Malaysia.

243. Perkhidmatan kesihatan terus diperluaskan di Malaysia dengan lebih menumpukan kepada pendekatan bersepadu yang meliputi aspek-aspek penggalakan, pencegahan, rawatan dan pemulihan. Kemudahan tambahan telah diberikan dan kemudahan-kemudahan yang sedia ada telah dipertingkatkan untuk memperluaskan liputan perkhidmatan tersebut, terutamanya ke kawasan-kawasan luar bandar. Bagi kawasan-kawasan terpencil, perkhidmatan kesihatan telah diberikan menerusi klinik-klinik bergerak. Taraf kesihatan penduduk yang bertambah baik dapat dilihat melalui jangka hayat yang lebih panjang dan kadar-kadar kematian yang kian berkurang. Jangka hayat semasa lahir di Semenanjung Malaysia telah bertambah daripada 66.7 tahun pada tahun 1980 kepada 67.6 tahun pada tahun 1984 bagi lelaki dan daripada 71.6 tahun kepada 72.7 tahun bagi perempuan. Kadar kematian bayi juga telah berkurang daripada 24.0 bagi tiap-tiap seribu kelahiran hidup pada tahun 1980 kepada 17.5 bagi tiap-tiap seribu pada tahun 1984. Kejadian
penyakit-penyakit berjangkit yang utama juga telah berkurang dalam tempoh tersebut.

244. Berhubung dengan pelajaran, pelaburan yang besar telah dibuat untuk memberi peluang mendapatkan pelajaran yang lebih luas kepada semua rakyat, terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dan yang tinggal di kawasan-kawasan luar bandar. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang lebih banyak telah disediakan dengan bertambahnya bilangan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang didirikan. Lebih banyak lagi sekolah-sekolah sains berasrama penuh telah ditubuhkan sementara kemudahan-kemudahan pelajaran sains di sekolah-sekolah menengah luar bandar telah diperluaskan bagi memberi peluang yang lebih kepada kanak-kanak di luar bandar untuk mendapatkan pelajaran sains. Mutu pengajaran guru-guru juga telah dipertingkatkan untuk meninggikan lagi taraf dan mutu pelajaran pelajar-pelajar.

1 Pertalian antara perkhidmatan-perkhidmatan asas seperti pemakanan, kesihatan dan pelajaran adalah penting dari segi ekonomi dan perlu diberi perhatian. Tanpa makanan berzat yang mencukupi, keupayaan melawan penyakit menjadi rendah dan keadaan ini akan mendatangkan penyakit, mengurangkan keupayaan untuk bekerja dan seterusnya mengakibatkan kehilangan punca pendapatan. Berhubung dengan masalah kekurangan makanan yang berzat, tidak semua kumpulan berpendapatan rendah mengalami kekurangan tersebut. Isirumah berpendapatan tinggi juga didapati mengalami masalah yang sama. Faktor-faktor sosial dan kebudayaan juga boleh mempengaruhi banyaknya makanan dan taraf pemakanan ahli-ahli isirumah, misalnya pembahagian makanan di kalangan ahli-ahli isirumah boleh memberi kesan terhadap banyaknya makanan mereka. Sebaliknya, pemakanan dan kesihatan yang baik membolehkan rakyat terutamanya kanak-kanak menikmati lebih banyak faedah daripada pelajaran. Di samping itu, pelajaran juga mempengaruhi taraf kesihatan. Pengetahuan mengenai amalan kebersihan dan pemakanan yang baik akan menjamin kesihatan. Ibu-ibu yang lebih berpelajaran terutamanya, akan mempunyai anak-anak yang lebih sihat. Pelajaran dapat meningkatkan daya pengeluaran dan boleh menambahkan sumber ekonomi bagi memenuhi keperluan asas dan memperbaiki taraf kesihatan.

2 Program-program pemakanan, kesihatan dan pelajaran jika disediakan berasingan adalah kurang berkesan berbanding dengan penyediaan secara bersepadu. Oleh yang demikian, Kerajaan seberapa yang boleh, telah menyediakan perkhidmatan tersebut secara bersepadu bagi mendapatkan faedah yang maksimum. Pada masa yang sama, isirumah-isirumah juga perlu menerima dan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan bagi memperbaiki taraf hidup mereka. Penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan ini akan menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dengan sepenuhnya oleh isirumah-isirumah.

3 Program untuk menyediakan keperluan asas kepada isirumah berpendapatan rendah terus dilaksanakan dalam tempoh 1981-85. Kebanyakan kampung nelayan di Semenanjung Malaysia telah disediakan dengan kemudahan-kemudahan asas. Banci Isirumah Nelayan yang telah dijalankan bersama oleh Kementerian Pertanian, Jabatan Perikanan dan LKIM pada tahun 1982 telah menunjukkan bahawa secara purata sebanyak 70 peratus daripada isirumah nelayan di kawasan-kawasan perikanan utama telah dibekalkan dengan elektrik sama ada oleh Lembaga Letrik Negara (LLN) atau sektor swasta, misalnya kira-kira 90 peratus daripada isirumah di Kota Bharu, Kelantan dan Pekan, Pahang telah dibekalkan dengan elektrik. Walau bagaimanapun, di beberapa kawasan perikanan seperti di Kota Tinggi, Johor dan Langkawi, Kedah, kira-kira 35 peratus sahaja daripada isirumah mendapat bekalan elektrik. Peratusan isirumah nelayan yang mendapat bekalan air paip didapati lebih kecil iaitu kira-kira 41 peratus daripada isirumah di Semenanjung Malaysia. Di pantai timur Semenanjung Malaysia, peratusannya adalah lebih rendah. Sebaliknya, liputan di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah lebih luas. Sebanyak 78 peratus daripada isirumah di Pulau Pinang, 75 peratus di Kuala Kedah dan 73 peratus di Kuala Muda telah mendapat bekalan air paip.

1 Kemudahan-kemudahan sosial terus disediakan di estet-estet. Mengikut Kementerian Buruh■, kira-kira 72 hingga 95 peratus daripada semua kategori pekerja estet pada tahun 1983 tinggal di rumah-rumah yang disediakan secara percuma oleh pihak pengurusan estet. Maklumat yang ada juga menunjukkan bahawa pada tahun 1983, lebih daripada 95 peratus daripada pekerja estet, kecuali estet teh, telah dibekalkan dengan elektrik secara percuma, manakala hampir kesemua pekerja estet telah mendapat bekalan air paip dengan percuma. Berhubung dengan kemudahan perubatan, kira-kira 40 hingga 50 peratus daripada pekerja-pekerja di estet-estet getah dan kelapa sawit telah menerima kemudahan perubatan percuma sama ada daripada hospital-hospital estet atau klinik-klinik desa yang berhampiran. Pada masa yang sama, lebih daripada 80 peratus pekerja-pekerja estet juga telah menerima kemudahan perubatan percuma daripada doktor-doktor pelawat. Hanya 46 hingga 55 peratus sahaja daripada estet-estet getah, kelapa sawit, kelapa dan teh telah disediakan kemudahan pelajaran rendah.

2 Kumpulan berpendapatan rendah di kawasan bandar telah mendapat faedah daripada kemudahan-kemudahan sosial yang disediakan oleh Kerajaan. Maklumat mengenai empat buah bandar besar iaitu Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menunjukkan bahawa pada tahun 1984 kumpulan berpendapatan rendah di empat buah bandar tersebut telah mendapat kemudahan-kemudahan awam. Kira-kira 82 peratus daripada isirumah telah mendapat bekalan elektrik sama ada dari LLN atau janakuasa swasta, dan kira-kira 55 peratus isirumah dilaporkan mendapat bekalan air paip terus ke rumah masing-masing atau telah disediakan paip-paip air awam. Walau bagaimanapun, dari segi kemudahan pembentungan, hanya 21 peratus sahaja daripada isirumah mempunyai kemudahan tandas tarik.

1 Penduduk di Kampung-kampung Baru telah mendapat faedah daripada pelaksanaan program dan projek yang bertujuan untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka. Penyediaan infrastruktur fizikal dan sosial seperti bekalan elektrik dan air, jalan-jalan, sekolah, pusat-pusat kesihatan, kemudahan rekreasi dan dewan orang ramai telah diperluaskan dalam tempoh 1981-85. Pada tahun 1983, kira-kira 93 peratus daripada penduduk Kampung-kampung Baru telah dibekalkan dengan elektrik sementara 87 peratus daripada mereka telah dibekalkan dengan air paip. Kira-kira 77 peratus daripada Kampung-kampung Baru sudah mempunyai dewan-dewan orang ramai manakala 92 peratus daripadanya mempunyai sekolah rendah.

2 Orang Asli juga telah mendapat faedah daripada perkhidmatan-perkhidmatan asas yang disediakan. Dalam tempoh 1981-85, sebanyak 330 buah rumah, tiga blok rumah pangsa yang mengandungi 57 unit kediaman, sebuah sekolah, empat buah dewan makan, lima buah asrama sekolah dan lima buah klinik telah didirikan. Kira-kira 600 buah rumah telah dibekalkan dengan air bersih sementara 640 buah rumah telah dibekalkan dengan elektrik.

3 RRJP yang telah dirangka pada awal tahun tujuh Prospek, 1986-90 puluhan telah menetapkan matlamat bahawa kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia akan dikurangkan kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Pada tahun 1984, maklumat yang ada menunjukkan bahawa kadar kemiskinan adalah kira-kira 18 peratus. Sungguhpun sukar untuk membuat anggaran yang tepat mengenai paras kemiskinan menjelang tahun 1990, pada umumnya matlamat RRJP untuk mengurangkan kadar kemiskinan ke paras 17 peratus menjelang tahun 1990 boleh dicapai.

1 Pengurangan kadar kemiskinan yang dijangkakan menjelang tahun 1990 adalah berikutan daripada pengeluaran dan daya pengeluaran yang bertambah dan dengan itu pendapatan juga meningkat berikutan daripada pelaksanaan strategi-strategi baru untuk membasmi kemiskinan iaitu perkebunan berkelompok dan pembandaran kawasan luar bandar serta penambahan peluang-peluang pekerjaan. Di bawah sistem perkebunan koperatif atau berkelompok, kebun-kebun kecil yang tidak ekonomi akan disatukan dan diurus secara estet bagi mendapatkan faedah ekonomi bidangan. Dalam tempoh 1986-90, beberapa projek perkebunan berkelompok akan dilaksanakan. Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) akan memajukan seluas 110,000 hektar tanah bukan padi yang terbiar di bawah program pembangunan di kawasan sedia ada, manakala seluas 51,000 hektar tanah padi yang terbiar juga akan dimajukan secara berkelompok dengan tanaman padi, koko, kelapa dan tanaman-tanaman lain oleh Kementerian Pertanian. Kira-kira 43,500 hektar akan dimajukan oleh RISDA sebagai miniestet. Projek-projek perkebunan berkelompok yang lain termasuk penanaman koko oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), penanaman tembakau oleh Lembaga Tembakau Negara (LTN) dan berbagai tanaman lain oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Dalam tempoh tersebut, pengeluaran tanaman-tanaman berkenaan dijangka bertambah dan ini akan meningkatkan lagi pendapatan petani-petani.

2 Tumpuan akan terus diberi terhadap strategi pembandaran kawasan luar bandar. Kampung-kampung yang berselerak akan dikumpul untuk dijadikan penempatan-penempatan yang lebih teratur supaya membolehkan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan dengan itu akan meningkatkan lagi taraf hidup isirumah di luar bandar. Dalam tempoh 1986-90 misalnya, Lembaga Kemajuan Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) akan menaikkan taraf lima buah bandar dan menubuhkan tujuh buah pusat pertumbuhan luar bandar yang akan membantu menggalakkan kegiatan-kegiatan bandar supaya dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan bukan pertanian kepada isirumah berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

1 Selain daripada strategi-strategi perkebunan berkelompok dan pembandaran kawasan luar bandar, Kerajaan juga akan terus menempatkan isirumah yang tidak mempunyai tanah atau yang mempunyai kebun-kebun kecil yang tidak ekonomi di rancangan-rancangan pembangunan tanah. Seluas 175,500 hektar tanah baru akan dibuka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan 101,200 hektar lagi oleh agensi-agensi Kerajaan negeri dan lembaga-lembaga kemajuan wilayah. Sejumlah 38,700 keluarga dijangka mendapat faedah daripada program tersebut.

2 Kerajaan juga akan terus melaksanakan program-program bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat terutama isirumah berpendapatan rendah. Kerajaan, seberapa yang boleh, akan menyedia dan memastikan bahawa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dapat memenuhi keperluan asas rakyat terutamanya penduduk di kawasan-kawasan yang terpencil dan jauh di pendalaman bagi tujuan mempertingkat dan memperbaiki taraf hidup mereka. Strategi pengumpulan semula kampung-kampung yang berselerak untuk dijadikan penempatan yang teratur akan terus dilaksanakan untuk memudahkan penyediaan perkhidmatan dan kemudahan tersebut. Kemudahan pelajaran akan terus diperluaskan dengan menyediakan lebih banyak lagi sekolah-sekolah rendah dan menengah. Berikutan dengan ini, bilangan bilik darjah di sekolah-sekolah rendah akan ditambah kepada 55,200 unit dan sekolah menengah kepada 25,500 unit menjelang tahun 1990. Sebanyak 76 buah lagi pusat kesihatan luar bandar dan pusat kesihatan kecil serta 322 buah klinik desa akan didirikan bagi tujuan mempertingkat dan memperluaskan perkhidmatan kesihatan. Kadar-kadar kematian dijangka terus berkurang menjelang tahun 1990. Kerajaan juga akan terus menyediakan lebih banyak kemudahan perumahan terutamanya kepada isirumah berpendapatan rendah. Dalam tempoh 1986-90, sebanyak 45,800 buah rumah awam kos rendah akan dibina. Sementara itu, program perumahan kos rendah oleh sektor swasta akan diperluaskan untuk memberi faedah kepada isirumah berpendapatan rendah. Liputan bekalan air dan elektrik akan diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan luar bandar. Liputan kawasan luar bandar yang dibekalkan dengan air bersih dan air paip akan bertambah daripada 58 peratus pada tahun 1985 kepada 73 peratus pada tahun 1990 manakala bekalan elektrik pula akan bertambah daripada 68 peratus kepada 77 peratus dalam tempoh yang sama.


Copyright® 2005. All rights reserved. The Government of Malaysia | Mail to PM