Tuesday, April 27, 2010

PERANAN KERAJAAN DALAM KONTEKS OKU MELALUI PROGRAM PDK

PERANAN KERAJAAN DALAM KONTEKS PEMULIHAN ORANG KURANG UPAYA (OKU) MELALUI PROGRAM PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK)
OLEH
PUAN JAYALATCHUMY A/P CUMARASWAMY
KETUA PENOLONG PENGARAH KANAN
BAHAGIAN PEMBANGUNAN ORANG KURANG UPAYA
JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT MALAYSIA
ABSTRAK
Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) merupakan agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab sebagai ‘focal point’ dalam pembangunan orang kurang upaya (OKU). Dalam konteks pemulihan OKU, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang dipelopori oleh JKMM sejak tahun 1984 telah terbukti memberikan impak positif ke arah pembangunan dan kesejahteraan OKU. Program PDK merupakan satu kaedah pembangunan komuniti untuk golongan kurang upaya di mana program pencegahan, pemulihan dan pembangunan boleh dilaksanakan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat sendiri supaya dapat mengecapi peluang samarata serta diintegrasikan dalam masyarakat. Program ini dibuka kepada OKU dari semua jenis ketidakupayaan dalam semua peringkat umur. Pendekatan yang diamalkan adalah melalui kerjasama bersepadu pelbagai sektor dalam perancangan dan penyediaan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan. Memandangkan program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa golongan kurang upaya maka ianya telah diperluaskan dari tahun ke tahun. Sehingga kini terdapat 364 buah PDK di mana seramai 9260 golongan kurang upaya mendapat manfaat daripada program ini. Peranan dan usaha pihak kerajaan dalam memacu pembangunan program PDK tidak dapat dinafikan. Program PDK mempunyai potensi untuk dijadikan satu program pembangunan yang berkesan, bukan sahaja untuk OKU itu sendiri, bahkan untuk masyarakat secara keseluruhannya. Oleh itu pihak kerajaan melalui JKMM akan terus memberi penekanan kepada usaha untuk membangunkan program PDK ke tahap yang boleh dibanggakan, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.