Monday, January 21, 2013

Jurang Pendapatan Antara Warga Asing dan Rakyat Tempatan

Ditulis oleh Super User. Posted in Artikel


Lanskap pendapatan isi rumah di Malaysia hari ini nampaknya tidak lagi berkisar mengenai jurang pendapatan antara golongan miskin dan kaya semata-mata. Tetapi turut sama meliputi jurang pendapatan isi rumah rakyat tempatan dengan buruh asing. Isu satu amah, satu tugas bukanlah permulaan kepada kemelut isu pekerjaan dan pendapatan di antara rakyat tempatan dan warga asing. Namun ia telah menjadi pencetus kepada insiden-insiden ‘luar biasa’ yang melibatkan pasaran tenaga kerja tempatan dan asing ini.

Berbalik kepada isu satu amah satu tugas ini, rata-rata majikan di negara ini menolak pengkhususkan kerja bersama gaji yang ditetapkan dengan alasan ia sungguh tidak munasabah. Pendapatan RM 700 sebulan dengan hanya satu hanya bidang kerja ataupun tugas. Benar, masih lagi berada di bawah paras garis kemiskinan Malaysia. Namun, tidaklah pula kita menamakan amah ini sebagai ‘orang miskin’. Ini adalah kerana hakikat miskin di Malaysia itu adalah pendapatan yang dihasilkan oleh satu isi rumah yang boleh terdiri daripada ibu, bapa dan sebagainya yang berjumlah kurang daripada RM 750 sebulan. Manakala dikategorikan sebagai miskin tegar sekiranya pendapatan itu berada di bawah paras RM 440 sebulan.

Lihat pula kepada perkara yang diambil kira dalam penentuan kepada paras garis kemiskinan ini tadi. Paras miskin tegar ini meliputi pendapatan isi rumah yang membolehkan ahlinya memenuhi keperluan asas nutrisi makanan yang minimum. Berdasarkan definisi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengiraan miskin tegar ini, satu isi rumah yang diandaikan terdiri daripada 5 orang dan mengambil sekurang-kurangnya 8,725 kalori setiap hari berdasarkan kepada 7 kategori makanan seperti nasi, telur, susu, sayur-sayuran dan sebagainya bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat. Manakala miskin pula ialah isi rumah yang dapat memenuhi keperluan asasi makanan dan bukan makanan yang terdiri daripada sewa, pakaian dan sebagainya.

Amah dengan gaji RM 700 walaupun di bawah garis kemiskinan membayar sifar untuk makanan, sifar untuk tempat tinggal, sifar untuk utiliti dan sifar untuk bermacam-macam lagi kemudahan yang dinikmati. Bukan setakat menikmati nutrisi makanan yang minimum, bahkan menikmati makanan yang melimpah ruah ihsan daripada majikan yang tidak berkira. Manakala rakyat Malaysia yang mendapat tangga gaji yang hampir sama, rata-ratanya bekerja sebagai pembantu restoran, pengawal keselamatan, tukang kebun dan sebagainya dibebani dengan tanggungjawab membayar pelbagai kos dan sebahagiannya tergolong sebagai miskin.

Kita sering dimomokkan bahawa upah kepada buruh asing ini adalah jauh lebih rendah daripada upah kepada warga tempatan. Mungkin sebahagiannya benar dan sebahagiannya lagi tidak benar. Ini kerana masih ada lagi rakyat tempatan yang berpendapatan RM 350 sebagai pembantu klinik berbanding amah yang mungkin gaji pasarannya sekitar RM 500 pada hari ini. Jika sebelum ini kita mendakwa bahawa buruh tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor tertentu, maka usaha untuk menarik minat mereka perlu dipergiatkan bagi menggantikan buruh asing ini.

Majikan juga sebenarnya perlu bersikap lebih terbuka dalam mengambil inisiatif mengupah buruh tempatan. Sikap melayani buruh seperti hamba adalah antara sebab mengapa buruh tempatan tidak mahu bekerja dalam bidang-bidang tertentu. Ini termasuklah waktu kerja yang lebih panjang daripada biasa, tugas-tugas yang tidak sepatutnya atau tidak setimpal dengan upah diterima, kesukaran melaksanakan ibadah, keengganan mengeluarkan belanja berkaitan dengan buruh yang diupah dan sebagainya. Mempunyai persepsi bahawa buruh sama ada tempatan ataupun asing ini boleh diperlakukan sedemikian rupa kerana kurang maklumat mengenai undang-undang dan pengetahuan adalah tidak berperikemanusiaan dan perlu diubah. Ini adalah satu perkara yang amat penting jika kita mahu menarik minat tenaga kerja tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Dalam mengejar negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, isu jurang pendapatan isi rumah sememangnya mendapat pengkhususan dan perhatian. Terutama sekali melibatkan kumpulan 40% berpendapatan rendah yang sebahagian besarnya terdiri daripada bumiputera. Kita juga mengandaikan bahawa buruh separa mahir di kalangan rakyat tempatan juga adalah sebahagian daripada golongan ini. Perubahan dalam jurang kekayaan sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya boleh dilihat melalui Pekali Gini. Jika ia menunjukkan lebih hampir kepada 0, maka lebih besar kesamaan kekayaan di kalangan rakyat. Bagi tahun 2007 dan 2009 misalnya, tiada perubahan pada Pekali Gini pada 0.441 menunjukkan tidak berlaku penambahbaikan biarpun ada usaha mengatasi jurang di antara yang kaya dan miskin bagi tempoh ini.

Dalam rancangan menuju ke arah negara maju, satu kajian berkaitan jurang pendapatan antara tenaga kerja asing dan rakyat tempatan juga perlu diperhalusi seiring dengan kajian pendapatan isi rumah yang sedia ada. Terutama sekali yang melibatkan buruh asing separa mahir dengan kumpulan 40% isi rumah berpendapatan rendah. Ini kerana walaupun pendapatan isi rumah meningkat saban tahun, tiada penambahbaikan dalam jurang kekayaan meletakkan kita masih lagi di tempat yang sama. Begitu juga sekiranya upah kepada buruh asing dilihat semakin ‘lumayan’ berbanding upah pekerja tempatan dan juga kos lepas yang terpaksa kita belanjakan ke atas mereka. Ini termasuklah mengatasi dan menyelesaikan masalah jenayah, sosial, kemudahan dan subsidi yang dikongsi bersama rakyat tempatan, penyakit yang dibawa, pencemaran dan sebagai yang dilakukan oleh warga asing ini.

Rancangan untuk menambahbaik kumpulan 40% isi rumah berpendapatan perlu diambil kira perbandingannya dengan buruh asing dengan maksud antara lain mengurangkan kebergantungan terhadap mereka dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kita tidak mahu isu anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan berbangkit kerana tidak dapat membantu rakyat negara sendiri.