Hari ini adalah Hari Pekerja 2012. Semuanya bercuti pada hari ini. Pada asalnya ia lebih dikenali dengan nama Hari Buruh. Di mana hari buruh ini mula dirayakan di sekitar Australia dalam akhir tahun 1800 an. Tetapi kini terma buruh sudah lagi tidak sesuai digunapakai. Ini kerana semua pekerja tidak kira apa peringkat dan pangkat sekalipun, samada kakitangan rendah atau kakitangan atasan semuanya cuti rehat pada 1 Mei setiap tahun.
Masing-masing ada tanggungjawab dan peranannya yang tersendiri :“Buruh dan majikan ibarat kulit dengan kuku”
Dasar gaji minimum pekerja swasta sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1949, tapi kadarnya masih terlalu rendah tetapi terus diguna pakai dalam kehidupan masa kini. Dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah berjuang untuk menuntut dasar gaji minima pekerja swasta yang lebih adil. MTUC dalam tuntutannya menuntut RM1200 untuk gaji minimum sektor swasta di Malaysia.
Hakikatnya gaji pekerja sektor swasta masih di tahap yang sangat rendah sekarang ini
- Kajian Guna Tenaga Kebangsaan (NER) oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 mendapati bahawa 33.8% pekerja bergaji di bawah RM700 sebulan yakni di bawah paras kemiskinan kebangsaan, RM800 sebulan pada masa ini.
- Kajian oleh Bank Dunia pula menunjukkan bahawa sejak 10 tahun yang lepas, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6% setahun, walaupun kadar produktiviti buruh (real labour productivity) meningkat sebanyak 6.7% setahun.
- Ini menunjukkan bahawa terdapat herotan (distortion) dalam pasaran buruh yang mengekang peningkatan kadar gaji sedangkan produktiviti dan kos sara hidup meningkat dengan cepat.
Dan di atas semangat dan sumbangan besar daripada pelbagai peringkat inilah berpaksi kepada keadilan kepada peringkat bawahan ini, akhirnya kerajaan melalui pengumuman Datuk Seri Najib Razak pada malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mengumumankan butiran lengkap mengenai Dasar Gaji Minimum (Gaji minima) Pekerja Swasta 2012
Antara Butiran Pengumuman Gaji Minimum (Gaji Minima) Pekerja Sektor Swasta 2012
1) Gaji minimum akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya
- Majikan juga dibenarkan dan diberikan kelonggaran untuk menyerapkan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum
- Maknanya di sini bukan semestinya RM900 adalah gaji pokok, tetapi majikan boleh menawarkan RM900 (gaji pokok + elaun)
2) Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, sementara bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam3) Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah 6 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan
- Tetapi ada sedikit kelonggaran di sini, di mana majikan kecil atau “micro enterprises” diberikan tempoh kuat kuasa yang lebih lama iaitu selama 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan bagi kelompok ini membuat persediaan sepenuhnya agar peniagaan mereka tidak terjejas
- Pengecualian tempoh 12 bulan ini tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya, walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja 5 orang atau kurang. Mereka mesti mematuhi gaji minima ini dalam masa 6 bulan
- Jika ada kalangan majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan.
4) Kadar gaji minima ini tidak akan bersifat statik dan akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa Ia bergantung kepada tingkat kemakmuran negara, daya saing nasional dan produktiviti syarikat bagi memastikan gaji minimum akan sentiasa berada di atas garis kemiskinan negara.5) Perbezaan Gaji Minimum di Semenanjung Malaysia VS Sabah, Sarawak, Labuan?
- Kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara
- Walaubagaimanapun begitu, untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum bagi Semenanjung
- Akhirnya hanya ada satu kadar gaji minimum untuk seluruh negara kelak
Bagi kami ia satu permulaan yang baik. Cuma mungkin kami mencadangkan di sini jika ada penambaikan untuk dasar gaji minimum (gaji minima ) pekerja swasta pada masa-masa akan datang, mungkin boleh dipertimbangkan gaji minimum sektor swasta di Malaysia diselaraskan mengikut peringkat dan pencapaian masing-masing :
- Sijil = gaji minimum sekian – berapa gaji minimum yang sepatutnya ditawarkan majikan?
- Diploma = gaji minimum sekian – berapa gaji minimum yang sepatutnya ditawarkan majikan?
- Degree = gaji minimum sekian – berapa gaji minimum yang sepatutnya ditawarkan majikan?’
Dan penawaran gaji seperti ini ini perlulah merujuk kepada kewangan dan jumlah keuntungan tahunan syarikat tersebut. Dan kalau boleh selepas ini dasar gaji minimum fokus kepada gaji pokok semata.
Cuma diharapkan buat masa ini, kerajaan memantau dengan lebih ketat lagi turun naik harga barang di seluruh negara, kerana ada kemungkinan majikan ini tiada keberatan untuk menaikkan harga barang tetapi harga barang akhirnya terpaksa dinaikkan sekali lagi ganda atas nama untuk menampung kos operasi. Kerajaan juga dalam pada masa harus mengawal kemasukan bilangan pekerja asing daripada masa ke semasa, dan tidak tunduk dengan “desakan” taikun-taikun ini atas nama “penjimatan”.
“Pimai-pimai Tang Tu Juga “
Dan besarlah harapan kami, kerajaan perlulah menumpukan gaji golongan profesional selepas ini kerana dilihat ramai pakar kita berhijrah ke luar negara disebabkan gaji di Malaysia masih rendah untuk golongan berpendidikan tinggi ini. Apatah lagi kos sara hidup di Malaysia masih lagi dilihat sukar untuk dibendung.
Untuk menjadi negara maju & berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia harus memanggil balik ramai pakar-pakar Malaysia di luar negara terutama pelajar-pelajar Malaysia yang berat hati mahu pulang ke Malaysia dan terus menetap di luar negara selepas habis pengajian universiti kerana terima gaji lumayan di negara orang.