Saturday, October 13, 2012

Petugas PDK mohon perhatian

ARKIB : 26/09/2012 Utusan online PEMBELA OKU Dabong, Kelantan
DALAM keadaan negara yang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, masih ramai pekerja kontrak ibarat dipinggirkan. Salah satunya ialah penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tugas mereka mendidik dan melatih kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) yang terdiri daripada kanak-kanak syndrome down, autisma cerebral palsy dan sebagainya untuk berdikari tidak dihargai. Hal ini jauh berbeza dengan guru pendidikan khas yang diberi banyak kemudahan oleh kerajaan. Mereka diberi taraf sukarelawan kontrak dengan diberi elaun RM800 untuk petugas atau guru dan RM1,200 untuk penyelia. Ini sukar diterima akal dengan beban kerja dan keadaan ekonomi semasa. Mereka yang dipilih bekerja juga bukan mereka memiliki kelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ramai juga terdiri daripada mereka berijazah. Ada antara mereka sudah berkhidmat selama belasan tahun tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Mereka tidak diberi pengkhususan seperti mereka berkhidmat di tadika Kemas yang diberi kursus pendidikan awal kanak-kanak. Dengan tidak diberi kursus ini, mereka mudah dinafikan untuk kenaikan gaji dan pelbagai kemudahan lain. Oleh itu, ada antara mereka sudah bekhidmat dua atau tiga tahun berhenti kerja apabila mendapat tawaran kerja lain, sedangkan kanak-kanak OKU di PDK memerlukan kepakaran mereka untuk membentuk pelatih OKU untuk berdikari, bukan semata-mata menjaga makan minum mereka. Jika petugas atau guru bersilih ganti di mana kita mahu mendapat kepakaran mereka, sedangkan mereka yang sudah tahu selok-belok OKU berhenti untuk mencari kerja lain dan sebagainya. Dalam melatih petugas atau guru dan penyelia PDK yang baru, kerajaan juga ibarat terlepas pandang. Mujurlah ada pertubuhan yang prihatin terhadap nasib pekerja ini seperti Yayasan Sultan Idris Shah, Ipoh dan Semai Bakti yang memberi kursus asas kepada mereka. Jika keadaan ini berterusan, sampai bila-bila pun nasib OKU di Malaysia tidak akan terbela, sedangkan mereka terdiri daripada pekerja dan OKU memerlukan pembelaan sebaik-baiknya. Hal ini berbeza dengan negara maju yang lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang memberi banyak kemudahan kepada mereka bekerja dengan OKU. Diharapkan dalam pembentangan bajet kerajaan 2013 nanti, secebis harapan agar mereka yang bekerja di PDK mendapat sesuatu. Pekerja ini bukan meminta kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam seperti permintaan CUEPACS dalam Bajet 2013 nanti tetapi mereka mengharapkan sedikit ehsan daripada kerajaan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120926/fo_03/Petugas-PDK-mohon-perhatian#ixzz29AYQn0Pt © Utusan Melayu (M) Bhd