AYER KEROH, 3 Mei- Kerajaan terus berusaha memperluaskan Program Semai Bakti sebagai suatu strategi membangunkan masyarakat dan memanifestasikan rasa prihatin dan penyayang kepada seluruh masyarakat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Yang DiPertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Melaka (BAKTI), Datin Seri Asmah Abd Rahman berkata, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) merupakan salah satu strategi pembangunan kemasyarakatan yang membolehkan golongan OKU menjalani program pencegahan, pembangunan dan pemulihan bersepadu dalam berbagai sektor bagi membolehkan mereka berdikari serta diintegrasikan ke dalam masyarakat.
"Program Semai Bakti juga turut memberi fokus kepada golongan OKU supaya diberi pembelaan sewajarnya untuk menikmati suasana kehidupan yang lebih sempurna sepertimana insan yang lain," ujar Asmah berucap di Majlis Penyampaian Sijil dan Penutup Kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Penyelia PDK Seluruh Malaysia (Zon 2-Kumpulan 1: Melaka dan Johor), malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Program Semai Bakti, Prof. Datin Seri Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Pegawai-pegawai kanan dari agensi kebajikan.
Sehubungan dengan itu beliau menggesa semua penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) supaya mengaplikasikan serta mempraktikan segala ilmu yang diperolehi dari kursus kemahiran kejurulatihan untuk faedah para pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di semua PDK.
"Saya percaya kursus dua hari yang berkonsepkan 'Training Of Trainers (TOT) ini mampu meningkatkan pengetahuan, kefahaman, kesedaran dan kemahiran asas kejurulatihan di samping meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penyediaan serta penyampaian yang berkesan, selain asas fisioterapi dan cara kerja," ujar beliau.
Asmah yang juga isteri kepada Ketua Menteri, seterusnya berharap semua Penyelia dapat mengaplikasikan dan mempraktikkan setiap ilmu yang dipelajari itu untuk manfaat para pelatih di PDK masing-masing.
Seramai 72 Penyelia PDK dari Johor dan Melaka menyertai kursus selama lima hari anjuran Sekretariat Program Semai Bakti
No comments:
Post a Comment