Tuesday, June 22, 2010

Bantu OKU jalani kehidupan normal

ARKIB : 30/01/2008

Bantu OKU jalani kehidupan normal

Oleh MALIM HASNAN

PELANTIKAN Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh sebagai Senator pertama daripada orang kurang upaya (OKU) telah mencipta sejarah tetapi ia tidak patut terhenti dan sudah memadai dalam membantu golongan ini.

Ini kerana nasib sebilangan besar golongan OKU masih memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat yang sihat mental dan fizikal.

Hakikatnya, OKU bukan golongan kelas kedua. Ini kerana selepas Rang Undang-Undang OKU dibentangkan di Parlimen Disember lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menubuhkan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya untuk menjaga kebajikan golongan itu.

“Penubuhan jabatan ini akan membolehkan OKU dapat dibantu dengan lebih sempurna dan teliti bagi memastikan mereka mendapat layanan yang sama seperti golongan masyarakat lain,” kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Langkah mewujudkan undang- undang khas itu akan membolehkan kerajaan menentukan hala tuju OKU dalam pembangunan negara dan komitmen kerajaan untuk menjayakannya.

Kata Shahrizat, peruntukan-peruntukan dalam undang-undang itu bukan sahaja menitikberatkan soal kualiti hidup OKU malah diskriminasi terhadap golongan tersebut dapat diatasi sebaik-baik sahaja ia diluluskan.

Kurangnya kemudahan, peluang pekerjaan dan pendidikan kepada OKU menyebabkan golongan tersebut terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Golongan OKU juga mahukan hak dan peluang yang sama seperti golongan yang lain supaya mereka tidak berasa terpinggir.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), 210,288 orang OKU sudah mendaftar dengan jabatan ini sehingga Oktober 2007.

Menurut perangkaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sehingga September 2006 pula menunjukkan pekerja OKU yang diterima bekerja di sektor awam ialah seramai 325 membabitkan mereka yang cacat penglihatan, anggota dan pekak di pelbagai kumpulan pekerjaan termasuklah profesional, dan kumpulan sokongan, manakala di sektor swasta pula seramai 6,691 orang.

Kerajaan memang menyediakan peluang latihan dan pekerjaan untuk membantu OKU berdikari melalui Pusat Pemulihan dan Latihan Industri, Bangi. Untuk menggalakkan OKU bekerja, kerajaan menaikkan elaun daripada RM200 kepada RM300 bagi yang berpendapatan kurang RM750.

Geran bantuan dan galakan OKU menceburi perniagaan berjumlah RM22 juta turut disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Bagi sektor swasta memainkan peranan membantu OKU, kerajaan membenarkan potongan cukai kepada majikan yang mengeluarkan belanja mengubah suai tempat kerja untuk pekerja OKU.

Begitu juga kepada pemaju perumahan dikehendaki memperuntukkan 10 peratus daripada rumah pangsa yang dibina dilengkapi kemudahan mesra OKU. Malah banyak bantuan dan kemudahan disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan golongan OKU menjalani kehidupan normal terus dipergiatkan.

Sehubungan itu langkah Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) melalui Program Semai Bakti yang akan diperluaskan ke pusat-pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negara amat dihargai. Sebelum ini program tersebut terhad kepada tanah rancangan Felda.

Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Jeanne Abdullah pada pertengahan bulan lalu berkata, projek khas itu memberi peluang kepada orang kurang upaya untuk berdikari selain menyediakan latihan kepada sukarelawan dan ibu bapa OKU.

Pelancaran program Semai Bakti akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Februari ini di Pulau Pinang.

“Program Semai Bakti bertepatan dengan objektif Bakti membantu OKU secara lebih berkesan,” kata Jeanne.

Melalui pusat-pusat PDK yang diwujudkan pada 2004, kebajikan OKU diurus bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti.

Program PDK Fasa Kedua yang bertemakan ‘Masyarakat Prihatin dan Penyayang’ diusahakan bersama oleh Bakti dan rakan kongsi utamanya iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama badan-badan amal isteri pemimpin- pemimpin negeri, beberapa kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) dan Pasukan Sukarelawan (skuad khas) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rozali Ismail.

Untuk menyambung kemajuan dalam Rancangan Malaysia Kelapan, yang mana kerajaan telah menubuhkan 313 buah pusat pemulihan berasaskan masyarakat untuk manfaat 8,453 OKU, kini terdapat 379 buah pusat PDK di seluruh negara untuk faedah 10,670 OKU.

Pusat PDK menyediakan tempat latihan dan kelas bimbingan bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang mengalami masalah terencat akal, penyakit sindrom down, autisme ringan atau kecacatan anggota dan mengalami masalah pembelajaran spesifik yang tidak dapat ditempatkan di pusat-pusat pemulihan kanak-kanak kurang upaya.

Terbukti program PDK berkesan dari segi kos dan merupakan kaedah yang berkesan dipilih oleh institusi pemulihan OKU.

Dengan Program Semai Bakti Fasa Kedua PDK yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri di Pulau Pinang Jumaat ini, lebih banyak pusat pemulihan komuniti akan dibangunkan sebagai pusat setempat yang menyediakan perkhidmatan komprehensif.

Dengan wujudnya pusat setempat ini ia boleh dimanfaatkan sebagai tempat pemeriksaan dan pengesahan ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai OKU, latihan vokasional, penempatan pekerjaan, pendaftaran OKU dan perkhidmatan sokongan.

Sesungguhnya Program Semai Bakti yang diilhamkan Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood dan disambung oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan kini Datin Seri Jeanne mempunyai hasrat murni untuk mengetengahkan bahawa golongan OKU berhak mendapat pembelaan, keistimewaan dan kemudahan.

No comments: