KUALA LUMPUR 18 Mei - Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) San Peng di sini memerlukan ruang yang lebih besar bagi membolehkan lebih ramai pelatih diambil.
Penyelia PDK San Peng, Malia Omar berkata, pada masa ini, pihaknya terpaksa menolak pendaftaran ramai pelatih kurang upaya kerana ruang kelas yang terhad.
"Hampir setiap tahun kami menerima banyak pendaftaran pelatih baru tetapi keadaan kelas yang kecil membataskan pengambilan pelatih yang ramai.
"Pelatih yang diterima mendaftar adalah berumur antara tiga hingga 45 tahun. Para petugas di sini pula ada empat orang," katanya selepas menerima kunjungan isteri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datin Nafesah Nong Chik.
PDK San Peng beroperasi di Kompleks Sri Selangor sejak tahun 1993 di bawah seliaan Wisma Harapan sebelum diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2007.
PDK itu kini mempunyai 30 orang pelatih terdiri daripada kaum Melayu dan Cina.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Fairuzatasya pula berkata, JKM memang bercadang untuk memindahkan PDK San Peng kepada lokasi yang lebih luas dan selesa.
"Kami sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh setiap pelatih, namun pada waktu ini, kita menghadapi kesukaran mencari tempat yang sesuai," katanya.
Sementara itu, lawatan di bawah program Semai Bakti itu adalah yang pertama di PDK San Peng dan keenam di bawah program tersebut.
"Lawatan ini bertujuan mengetahui dan melihat sendiri pengendalian PDK, selain untuk memberi sokongan moral kepada pelatih, keluarga dan petugas pelatih," kata Nafesah.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Pengerusi Puspanita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datin Seri Norkhayati Hashim dan Pengarah JKM Kuala Lumpur, Noormah Datuk Abdul Rauf.
Nafesah turut menyampaikan hamper dan wang tunai kepada setiap pelatih di situ dan menyaksikan persembahan tarian oleh para pelatih PDK San Peng.
No comments:
Post a Comment