Tuesday, March 5, 2013

perbincangan bersama pegawai Jabatan Tenaga Kerja ......... untuk makluman kita semua

Baru baru ini saya telah ke Pejabat Tenaga Kerja untuk mendapatkan makluman/ pertanyaan  sekiranya ada peluang kepada semua petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti seMalaysia untuk mendapatkan gaji minimum RM 900 seperti dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013.

Setibanya di sana amat memeranjatkan apabila diceritakan oleh pegawai di Jabatan Tenaga Kerja bahawa beliau pernah membawa kes petugas/ pekerja PDK di mahkamah buruh namun gagal ....

Nak tahu ini adalah kerana terma dalam syarat penerimaan jawatan anda iaitu CONTRACT FOR SERVICES/ KONTRAK UNTUK PERKHIDMATAN

Secara otomatik ..... anda tidak layak mendapat perlindungan seperti tertera dalam Akta Kerja 1955 seperti di bawah ini
                                   AKTA KERJA 1955
Adakah anda seorang pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955?
Pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 ialah semua pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM1,500.00 sebulan dan juga semua pekerja tanpa had gaji. Jika anda seorang pekerja asing yang sah penggajiannya di negara ini, anda juga dilindungi oleh Akta Kerja 1955.

Apakah Kontrak Perkhidmatan?

Kontrak Perkhidmatan ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

Apakah keadaan menyebabkan sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi?

Keadaan yang boleh membawa kepada sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi adalah jika:- Majikan gagal membayar gaji dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir bagi tempoh pembayaran upah. Pekerja yang tidak hadir kerja selama lebih daripada dua hari berturut-turut tanpa makluman atau kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan waktu kerja biasa?
“Waktu Kerja Biasa” ialah waktu kerja seperti yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi:

  1. 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; atau,
  2. 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit; atau
  3. 48 jam seminggu.
Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'kerja lebih masa' ?
Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal sehari.

Berapakah kadar bayaran kepada pekerja yang bekerja lebih masa?
Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut:
Pada hari kerja biasa, 1 1/2 kali kadar gaji sejam.
Pada hari rehat, 2 kali kadar gaji sejam.
Pada hari cuti am, 3 kali kadar gaji sejam.

Adakah had jumlah jam kerja lebih masa yang boleh dilakukan oleh pekerja dalam sebulan?
Seseorang pekerja tidak boleh dikehendaki bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan.

Adakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji?
Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?
Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak melebihi satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?
Gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh pembayaran gaji. Majikan boleh memohon melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

Bilakah gaji patut dibayar kepada pekerja apabila sesuatu kontrak perkhidmatan telah tamat tempohnya?
Gaji patut dibayar kepada pekerja tidak lewat daripada hari penamatan kontrak.

Bilakah gaji harus dibayar jika pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1) atau (2) atau Seksyen 14(3) Akta?
Dalam situasi bila mana pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis, gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) hendaklah dibayar tidak lewat dari hari ketiga selepas kontrak ditamatkan.

Bilakah gaji harus dibayar jika majikan telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1, (2) atau 14(1) Akta?
Gaji patut dibayar kepada pekerja sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

Adakah sah dari segi undang-undang bagi majikan yang membuat potongan dari gaji pekerjanya?

Majikan boleh membuat potongan dari gaji pekerjanya tanpa kebenaran pekerjanya dalam bentuk-bentuk berikut:-
  • Terlebih bayar dengan tidak sengaja dalam masa tiga bulan terdekat dari tempoh bulan pengurangan itu dibuat;
  • Indemniti kepada majikan oleh pekerja di bawah Seksyen 13(1);
  • Pendahuluan gaji tanpa sebarang faedah yang dikenakan kepada pendahuluan gaji tersebut;
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sumbangan keselamatan sosial, cukai pendapatan serta lain-lain perkara yang dibenarkan oleh undang-undang.
Apakah jenis pekerjaan yang mana wanita dilarang melakukannya di bawah Akta?
Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:
i. Kerja bawah tanah;
ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 mlm sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

Secara amnya, apakah faedah-faedah bersalin yang diberikan kepada pekerja-pekerja wanita di bawah Akta?

Secara amnya, setiap pekerja wanita adalah layak untuk mendapat cuti bersalin untuk tempoh masa tidak kurang dari 60 hari berturut-turut (tempoh masa yang diperuntukkan) dan elaun bersalin adalah tertakluk kepada tempoh kelayakan.

Bilakah sepatutnya cuti bersalin bermula?

Cuti bersalin boleh bermula dalam tempoh tiga puluh hari sebelum bersalin.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum pekerja layak mendapat elaun bersalin?
Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-
i. mempunyai kurang daripada lima orang anak yang hidup.
ii. mesti bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

Bagaimanakah elaun bersalin dikira?
Elaun bersalin adalah berdasarkan gaji bulanan jika pekerja dibayar gaji mengikut kadar bulanan yang diterima. Elaun bersalin boleh juga dibayar mengikut kadar upah biasa harian atau mengikut kadar RM6.00 sehari, yang mana lebih tinggi untuk tempoh 60 hari berturut-turut.

Bilakah elaun bersalin harus dibayar?
Elaun bersalin hendaklah dibayar sebagaimana pembayaran gaji seolah-olah elaun itu adalah gaji dan hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji.

Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?
Kelayakan cuti sakit bergaji adalah seperti berikut:
  • Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari dalam setahun kalendar.
  • lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari dalam setahun kalendar.
  • 5 tahun dan lebih - 22 hari dalam setahun kalendar.
Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit?
Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Berapa lamakah tempoh notis penamatan kontrak perkhidmatan yang perlu majikan dan pekerja berikan?

Sekiranya kontrak perkhidmatan tidak menetapkan tempoh notis, tempoh notis hendaklah seperti berikut:
  • 4 minggu notis – jika bekerja kurang daripada dua tahun;
  • 6 minggu notis – jika bekerja 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun;
  • 8 minggu notis – jika bekerja 5 tahun atau lebih.
Adakah boleh bagi majikan atau pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis?
Majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis dalam keadaan berikut:- Dengan membayar indemniti ganti notis. Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan.


Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara (Termination and Lay-off benefits) yang diliputi di bawah Akta ini?
Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat faedah pemberhentian kerja?
Seseorang pekerja tidak layak menerima faedah penamatan kerja dan rentikerja sentara dalam keadaan-keadaan berikut:- bekerja kurang daripada 12 bulan sebelum tarikh penamatan. kontrak perkhidmatan telah diperbaharui atau kontraknya disambung semula dengan syarat-syarat perkhidmatan yang tidak kurang faedahnya daripada syarat-syarat dahulu. sekiranya majikan telah memberi notis penyambungan kontrak sebelum 7 hari daripada kontrak ditamatkan dengan syarat-syarat perkhidmatan tidak kurang faedahnya. Selepas menerima notis penamatan, pekerja meninggalkan tempat kerja tanpa persetujuan majikan atau membayar bayaran ganti notis.

Berapakah kadar bayaran faedah penamatan kerja?

Pekerja layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja tidak kurang daripada:-
  • bekerja lebih daripada setahun tetapi kurang daripada dua tahun - 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
  • lebih dua tahun tetapi kurang lima tahun - 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
  • lima tahun dan lebih - 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Bilakah sepatutnya bayaran faedah penamatan kerja dibuat?
Bayaran faedah penamatan kerja perlu dibayar dalam masa 7 hari selepas penamatan.

Bila bercakap tentang undang-undang buruh atau pekerjaan (Employment Law) di Malaysia, pastinya ramai yang terfikir mengenai Akta Pekerjaan 1955. Ia sememangnya satu perundangan buruh yang amat penting yang menyediakan satu rangka-kerja undang-undang yang menyeluruh meliputi soal pembayaran gaji pekerja, hari rehat, cuti umum, pemberhentian kerja dan sebagainya. Selain dari Akta Pekerjaan 1955, terdapat juga perundangan lain yang berkaitan seperti Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Gantirugi Pekerja 1952, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Perkilangan Dan Mesin 1967, Akta Kanak-Kanak Dan Remaja (Pekerjaan) 1966, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Ordinan Buruh Sabah dan lain-lain lagi.
Undang-Undang Buruh
Gambar Kredit kepada topah.dnsdot.net

Akta Pekerjaan 1955 atau Akta 265 di gubal pada tahun 1955 dan telah dipinda hampir keseluruhannya pada tahun 1998. Akta ini mengandungi peruntukan-peruntukan yang bertujuan melindungi pekerja dari sebarang ekploitasi oleh majikan dan meletakkan faedah-faedah minima yang perlu diberikan pada pekerja YANG DILINDUNGI di bawah Akta ini.

Dengan ini mana-mana kontrak pekerjaan yang tidak mengikuti peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini adalah terbatal dan tidak efektif. Pekerja yang dilindungi di bawah Akta ini boleh membuat lapuran dan tuntutan jika majikan gagal mematuhi faedah minima yang ditetapkan oleh Akta Pekerjaan 1955.
Harus diingat terlebih dahulu bahawa BUKAN SEMUA pekerja adalah dilindungi di bawah Akta ini. Ianya cuma melindungi pekerja yang memperolehi pendapatan kurang dari RM 1,500 atau jika gaji mereka melebihi dari jumlah itu, mereka mestilah yang tergolong senarai yang dinyatakan di dalam Jadual 1 pada Akta ini.

UPDATED:

Pindaan Pada Jadual Pertama – Akta kini melindungi pekerja-pekerja yang gaji nya tidak melebihi RM 2,000!

Bagi maksud Akta ini, pekerja adalah mereka yang di bawah kontrak perkhidmatan (Contract of Service) dan bukannya kontrak bagi perkhidmatan (Contract For Service) . Kontrak Perkhidmatan ini termasuk juga kontrak perantisan. Bagi maksud Akta ini, kontrak meliputi kontrak lisan dan bertulis. Jika anda tidak mempunyai kontrak pekerjaan yang bertulis, maka peruntukan-peruntukan dalam Akta ini secara automatik digunakan bagi kontrak anda.
Akta Pekerjaan 1955 hanyalah mengariskan faedah MINIMA sahaja. Ia tak bermakna majikan tidak boleh menyediakan kontrak yang tidak mengikuti peruntukan Akta. Majikan boleh memberikan faedah mengikut apa yang mereka mampu bagi menarik ramai pekerja di tempat mereka, namun faedah yang diberikan hendaklah TIDAK KURANG dari apa yang diperuntukan oleh Akta.
Akta ini juga mengariskan penalti bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta ini, namun pekerja-pekerja juga boleh membuat tuntutan di bawah Akta-Akta lain yang berkaitan. Sebarang aduan terhadap majikan, haruslah dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran. Jika pekerja diberhentikan kerja secara salah dan perkerja inginkan pampasan, maka dalam tempoh 60 hari dari tarikh dia diberhentikan secara salah itu, beliau hendaklah membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja [Seksyen 69 Akta Pekerjaan].
 

Undang-Undang Buruh | Upah Atau Gaji

Akta-Pekerjaan-1955
Adalah menjadi suatu lumrah hidup manusia bahawa kita bekerja untuk mencari rezeki. Rezeki yang diperolehi biasanya dalam bentuk makanan, barangan atau dalam zaman ini lebih berbentuk wang atau upah (gaji). Seperti yang diterangkan, Akta yang mengawalselia faedah-faedah pekerja adalah Akta Pekerjaan 1955. Di Sabah dan Sarawak pula terdapat Ordinan yang hampir serupa dan peruntukan-peruntukan berkaitan upah ada dinyatakan dalam perundangan-perundangan ini.
Akta Pekerjaan 1955 mahupun Ordinan Buruh yang lain tidak mengariskan soal UPAH MINIMA. Namun, ia mengandungi peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengan upah yang boleh membantu pekerja dari dieksploitasi oleh majikan. Antara peruntukan-peruntukan tersebut termasuklah soal tempoh upah, masa pembayaran upah, pendahuluan upah, keutamaan upah, potongan terhadap upah dan cara pembayaran upah. Rujuk Bahagian III, IV, V dan VI pada Akta Pekerjaan 1955.
Maksud Upah Di Bawah Akta Pekerjaan 1955:
Seksyen 2 (Tafsiran):
“upah” ertinya upah pokok dan semua pembayaran lain dengan wang tunai kepada seorang pekerja bagi kerja yang dibuat mengikut kontrak perkhidmatannya tetapi tidak termasuk –
(a) nilai mana-mana mana-mana tempat tinggal atau bekalan apa-apa makanan, minyak, lampu atau air atau rawatan perubatan atau mana-mana kemudahan atau perkhidmatan yang diluluskan;
(b) apa-apa caruman yang dibayar oleh majikan sendiri kepada mana-mana kumpulan wang pencen, kumpulan wang simpanan pekerja, skim pemberhentian kerja, mengurangkan pekerja, penamatan, rentikan sementara atau skim persaraan, skim jimat-cermat atau mana-mana kumpulan wang lain atau skim yang ditubuhkan untuk faedah dan kebajikan pekerja.
(c) apa-apa elaun perjalanan atau nilai apa-apa konsesi perjalanan;
(d) apa-apa jumlah yang kena dibayar kepada pekerja untuk menanggung perbelanjaan-perbelanjaan khas yang diperlukan olehnya kerana jenis perkerjaannya;
(e) apa-apa ganjaran yang kena dibayar atas pemberhentiaan atau persaraan; atau
(f) apa-apa bonus tahunan atau mana-mana bahagian dari apa-apa bonus tahunan.
Tempoh Dan Masa Pembayaran Upah
Seksyen 18 Akta Pekerjaan mewajibkan majikan agar membayar upah pekerja sekurang-kurangnya sekali bagi setiap satu bulan. Majikan boleh membayar lebih kerap namun tidak boleh kurang dari apa yang telah ditetapkan. Tempoh itu tidak semestinya mengikut bulan kalendar. Majikan boleh membayar bagi tempoh kerja 15hb hingga 14hb bulan seterusnya sebagai contoh atau bagi tempoh kerja 10hb hingga 9hb bulan seterusnya. Namun, setelah tempoh dan masa pembayaran itu telah ditetapkan, majikan HENDAKLAH membayar upah TIDAK LEWAT dari 7 hari selepas tempoh itu berakhir [Seksyen 19 Akta Pekerjaan 1955] kecuali jika majikan dapat memuaskan hati Ketua Pengarah (Jabatan Tenaga Kerja) yang pembayaran itu tidak dapat dibuat atas sebab-sebab yang munasabah.
Menurut Seksyen 25 (1) pula, bayaran gaji hendaklah dibuat dalam NILAI YANG SAH. Ini bermakna di Malaysia, upah hendaklah di bayar dalam RINGGIT MALAYSIA. Ia juga hendaklah dibayar dalam bentuk TUNAI, namun Seksyen 25A pula membenarkan upah dibayar dalam bentuk cek atau ke dalam akaun bank pekerja, tertakluk kepada kebenaran pekerja. Pekerja boleh menarik balik persetujuan ini dengan member notis 4 minggu dengan ALASAN YANG MUNASABAH.
Pendahuluan Upah
Terdapat majikan-majikan terutamanya yang pekerja mereka berpendapatan amat rendah seperti di tapak-tapak binaan memberikan wang pendahuluan bagi pekerja mereka. Walaupun ini dibenarkan oleh Akta, namun Seksyen 22 Akta Pekerjaan 1955 ada menyatakan bahawa majikan TIDAK BOLEH dalam mana-mana satu bulan memberi pendahuluan pada pekerja MELEBIHI JUMLAH UPAH yang diperolehi oleh pekerja itu pada bulan sebelumnya kecuali:
a) bagi membolehkannya membeli, membina atau membaiki sebuah rumah;
b) bagi membolehkannya membeli tanah;
c) bagi membolehkannya membeli ayam itik;
d) bagi membolehkannya membeli sebuah motokar, motorsikal atau basikal;
da) bagi membolehkannya membeli syer perniagaan majikan itu yang ditawarkan untuk jualan oleh majikan itu;
e) bagi mana-mana tujuan lain:
(Rujuk Seksyen 22 (e) (i), (ii) dan (iii) – yang mana permohonan dibuat dan kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah telah diperolehi.
Keutamaan Upah
Setiap majikan mesti membayar upah pada pekerjanya apabila kerja tersebut telah selesai (Rujuk Seksyen 15 (1) Akta Pekerjaan 1955). Kegagalan berbuat demikian adalah satu perlanggaran pada terma kontrak. Mengikut Seksyen 31 pula, jika harta majikan atau orang yang bertanggungjawab membayar upah pekerja dijual dengan perintah mahkamah atau wang mereka dibekukan, pihak mahkamah akan memastikan mana-mana wang yang perlu dibayar kepada pekerja empat bulan upah dibayar lebih dahulu sebelum bayaran kepada mana-mana pemiutang bercagar dibuat.
Akta-Pekerjaan-1955-b
Potongan Terhadap Upah
Potongan terhadap upah TIDAK BOLEH DI BUAT SESUKA HATI MAJIKAN dan perlu mengikuti peruntukan Akta Pekerjaan 1955. Menurut Seksyen 24 Akta Pekerjaan 1955, majikan dibenarkan membuat potongan terhadap upah dalam keadaan-keadaan yang berikut:
a) Potongan-potongan hingga setakat apa-apa bayaran lebih yang dibuat atas kesilapan majikan dalam masa tiga bulan sebelum itu; [Contoh: A menerima gaji sebanyak RM 1,300 atas kesilapan majikannya dari bulan Januari hingga Mei 2011. Gaji A sebenarnya hanyalah RM 1,100 sahaja. Pada bulan Jun, majikan A tersedar akan kesilapan mereka itu lalu ingin membuat potongan kepada gaji A. Berdasarkan peruntukan pada Seksyen 24, majikan A hanya boleh memotong sehingga 3 bulan ke belakang sahaja iaitu Mac, April dan Mei sahaja. Potongan bagi kesilapan bulan Januari dan Februari adalah tidak dibenarkan dan salah di sisi undang-undang.
b) Potongan-potongan bagi indemniti yang perlu dibayar oleh pekerja kepada majikan di bawah seksyen 13 (1); [indemniti yang perlu dibayar kepada majikan jika pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan di bawah Seksyen 13 (1) Akta Pekerjaan 1955]
c) Potongan-potongan bagi mendapatkan balik pendahuluan upah yang dibuat di bawah Seksyen 22 dengan tiada faedah yang dikenakan; dan
d) Potongan yang dibenarkan oleh undang-undang bertulis yang lain. [Contohnya: Caruman KWSP, PERKESO dan LHDN]
Di bawah Seksyen 24 (3) pula, majikan boleh membuat potongan upah bagi hal-hal di bawah tertakluk kepada PERMINTAAN BERTULIS dari pekerja:
a) potongan-potongan berkenaan bayaran kepada sesuatu kesatuan sekerja berdaftar atau koperasi dan persatuan pinjaman untuk apa-apa yuran, ansuran dan faedah atau lain-lain hutang;
b) potongan-potongan berkenaan dengan apa-apa bayaran bagi apa-apa syer perniagaan majikan yang ditawarkan pada pekerja.
Seterusnya Seksyen 24 (4) Akta Pekerjaan 1955 pula mengariskan potongan-potongan yang tidak boleh dibuat kecuali atas permintaan bertulis pekerja bersama kebenaran bertulis Ketua Pengarah iaitu:
a) potongan-potongan untuk pembayaran skim pencen, dana simpanan, skim kebajikan pekerja, skim insurans dan lain-lain bayaran faedah pekerja;
b) potongan-potongan untuk pembayaran semula pendahuluan upah yang dibuat kepada pekerja di bawah Seksyen 22 dimana faedah dikenakan;
c) potongan-potongan berkenaan dengan pembayaran kepada pihak ketiga bagi pihak pekerja; [Contohnya: bayaran balik pinjaman bank atau bayaran kepada Tabung Haji dan ASB].
d) potongan-potongan berkenaan bayaran bagi pembelian apa-apa barang perniagaan majikan;
e) potongan-potongan berkenaan bayaran bagi sewa tempat tinggal dan kos perkhidmatan, makanan dan minuman yang disediakan oleh majikan kepada pekerja di atas permintaan pekerja atau di bawah terma perkhidmatan. [Ketua Pengarah perlu berpuas hati bahawa ianya adalah bagi faedah pekerja].
Seksyen 24 (6) Akta Pekerjaan 1955 – membenarkan majikan membuat potongan terhadap bayaran bagi bahan makanan, bekalan atau barangan lain yag dibeli secara kredit oleh pekerja dari Pertubuhan Koperasi Berdaftar atas permintaan bertulis pekerja dan persetujuan Pengurus Kedai Koperasi.
Seksyen 24 (7) Akta Pekerjaan 1955 – Ketua Pengarah boleh membenarkan mana-mana potongan lain yang dirasakan perlu.
Seksyen 24 (8) dan (9) Akta Pekerjaan 1955 pula menyatakan jumlah besar kesemua potongan TIDAK BOLEH MELEBIHI 50% upah pekerja sebulan (tertakluk pada proviso pada seksyen ini).
Lain-Lain Peruntukan Berkaitan Dengan Upah Dalam Akta Pekerjaan 1955
Seksyen 28 mengariskan beberapa perkara mengenai CARA PEMBAYARAN UPAH. Antaranya, majikan TIDAK DIBENARKAN membayar gaji pekerjanya di kedai minuman keras, tempat hiburan atau stor jualan runcit dan sebagainya.
Di bawah peruntukan pada Seksyen 26 pula, majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat kepada pekerjanya berhubung cara perbelanjaan terhadap upah yang dibayar. Terpulang kepada pekerja bagaimana hendak membelanjakan wang upah yag diterima olehnya.
Seksyen 29 membenarkan majikan membekalkan pekerja-pekerja nya dengan makanan, rumah, minyak, letrik, air dan perkidmatan perubatan atau mana-mana kemudahan yang diluluskan sebagai tambahan kepada upah
Akta Pekerjaan 1955 memastikan kebajikan pekerja-pekerja terjaga dengan sebaiknya. Oleh kerana upah merupakan satu perkara yang amat PENTING kepada pekerja, maka Bahagian III, IV, V dan VI pada Akta Pekerjaan 1955 telah digubal dan mengariskan secara terperinci bagi melindungi pekerja-pekerja. Namun, harus saya ingatkan kembali, sebarang ketidakpuashati atau lapuran mengenai perlanggaran statut ini perlu dilakukan pada saluran yang betul. Saya nasihatkan pekerja-pekerja mendapatkan nasihat pegawai-pegawai di Jabatan Tenaga Kerja jika terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan pada tindak taduk majikan anda.

ini bermakna anda tidak layak mendapat:

1. kenaikan gaji minimum RM 900

2. pemberian gaji kerana anda diberikan elaun macam mak2 beri pada kita masa sekolah
 
3. anda diibaratkan seperti bekera sendiri lah

4. anda tidak berhak mendapat bonus

5. anda tidak berhak mendapat perlindungan semasa pergi kerja, semasa bekerja, semasa membuat lawatan ke rumah ataupun semasa pulang dari tempat kerja

6. anda tidak layak mendapat insuran untuk sakit ataupun dimasukkan ke wad ataupun anda terbujur mati tidak kiralah di mana tempat terbujur anda melainkan anda sudah ada insuran yang dibeli sendiri ataupun insuran daripada suami

7. anda tidak berhak mendapat kerja lebih masa walaupun anda dipaksa oleh penyelia PDK , Jabatan Kebajikan Masyarakat/ BAKTI untuk membuat kerja2 atapun program yang dianjurkan oleh mereka ...

8. Anda tidak layak mendapat elaun minyak walaupun anda membuat kerja kajian kes yang sepatutnya dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat itu sendiri.

9 Anda hanya dibenarkan untuk mendapat cuti sakit selama 8 hari sahaja dan tidak boleh lebih sementara cuti tahun anda hanya boleh mendapat 10 hari sahaja dalam setahun

10 walaupun anda berwarganegara Malaysia dan layak untuk mengundi dalam PRU 13 nanti namun anda diketepikan secara 100 peratus hak sebagai pekerja berwarganegara Malaysia.... wallahhu alam bi sawab .... dan lebih pelik lagi apabila warganegara asing seperti Nepal, Bangla, Filipina, Indonesia berhak mendapat keistimewaan seperti warganegara Malaysia dan mendapat gaji minimum RM 900 dan berkemungkinan juga 1 hari nanti hak mengundi diberikan kepada mereka seperti warga Indonesia yang bertapak di Malaysia.....

Anda hanya boleh menurut perintah dan tidak dibenar menyuarakan pendapat