Saturday, March 30, 2013

Kerajaan bela nasib pekerja

ARKIB : 04/05/2009

Kerajaan bela nasib pekerja

KUALA LUMPUR 3 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan dua langkah untuk membela nasib golongan pekerja
.
Dua langkah itu ialah mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja bagi menjaga kepentingan pekerja yang diberhentikan dan skim pencen pekerja-pekerja swasta sebagai jaminan hari tua mereka.

Kedua-dua langkah berkenaan dilihat sebagai tanda keprihatinan kerajaan membela nasib golongan pekerja di negara ini.

Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, menerusi tabung itu boleh meringankan bebanan pekerja selepas diberhentikan kerja.

''Skim pencen untuk pekerja swasta pula dapat menjamin masa depan mereka selepas bersara. Skim tersebut sangat sesuai kerana ganjaran yang diterima kebanyakan pekerja selepas bersara pada masa ini sangat terhad.

''Sedangkan jangka hayat lepas bersara bagi kebanyakan orang pula ada yang menjangkau hingga 15 tahun ke 20 tahun,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha kerajaan yang sedang merangka dua langkah khusus untuk kepentingan sosial pekerja di negara ini ekoran daripada kesan kegawatan ekonomi dunia.

Dalam laporan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat bagi merealisasikan penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja itu.

Najib menjelaskan apabila perundingan selesai, kementerian berkenaan akan mengemukakan cadangan mengenainya kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Syed Shahir berkata, kadar bayaran pencen tersebut hendaklah munasabah sesuai dengan keperluan semasa.

Kajian perlu dibuat oleh kerajaan dan majikan bagi menentukan kadar bayaran pencen yang wajar diberi kepada para pekerja tersebut.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Omar Osman bersetuju dengan usaha kerajaan mahu mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja dan skim pencen tersebut.

''CUEPACS mengalu-alukan penubuhan tabung tersebut untuk membantu pekerja yang diberhentikan. Langkah itu sangat tepat.

''Kami juga bersetuju skim pencen diperluaskan kepada kakitangan swasta sebagaimana yang dinikmati oleh kakitangan awam hari ini," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut dapat menjamin masa depan pekerja swasta pada hari tu
a.
Selain itu, beliau turut mencadangkan majikan-majikan swasta supaya menaikkan caruman wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk para pekerja mereka.

''Potongan yang dibuat oleh majikan kini ialah sejumlah 12.5 peratus. Saya syorkan caruman itu dinaikkan kepada 13.5 peratus demi kepentingan pekerja,'' ujarnya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm#ixzz2P0Oi03h1
© Utusan Melayu (M) Bhd