http://razlans.blogspot.com/2011/11/membela-nasib-pekerja-kontrak-yang.html
Saudara Pengarang,
Lewat ini, Kerajaan telah mengumumkan pelbagai
insentif dan buah tangan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya mereka yang
berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di seluruh Negara tanpa mengira
sektor.
Pengumuman YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib ketika beliau
membentangkan Bajet 2012 merupakan satu berita gembira kepada semua penjawat
awam.
Namun di dalam menyambut dan meraikan berita gembira, haruslah kita
semua beringat di mana hari ini kos sara hidup semakin meningkat dan harga
barang-barang keperluan turut sama mengalami inflasi sekaligus meletakkan satu
tekanan tambahan kepada rakyat Malaysia amnya dan penjawat awam
khususnya.
Selain daripada peningkatan harga barangan keperluan, kos
perubatan turut sama melonjak naik dengan akhbar The Star melaporkan pada 14
march 2009 di dalam artikel bertajuk “ Rising pressure of healthcare” bahawa kos
perubatan dunia melalui inflasi sebanyak 10 peratus setiap tahun dan 15 peratus
di Malaysia.
Inflasi kos perubatan yang berlaku sekaligus memberikan
tekanan secara tidak langsung ke atas kewangan rakyat Negara ini. Kos perubatan
yang saya perkatakan tidaklah hanya tertakluk kepada kos ubat-ubatan dan rawatan
yang merupakan kos secara langsung tetapi turut melibatkan kos tidak langsung
seperti produktiviti, sara diri , pendapatan yang hilang ketika sakit,
pendapatan yang hilang akibat kecacatan yang diterima ketika bertugas dan
sebagainya lagi.
Jelas jika kita mengambil kira kesemua item yang saya
sebutkan sebentar tadi bahawa seandainya seseorang itu dimasukkan ke hospital
tanpa mengira sebabnya, individu tersebut bakal menanggung kos dan mengalami
kerugian yang besar.
Sepertimana yang kita semua ketahui, Kerajaan terus
menerus dalam usaha mereka dalam memperbaiki mutu perkhidmatan dan prestasi
pelbagai sektor termasuklah sektor kesihatan dan penjawat awam.
Dewasa
ini kita melihat bahawa pihak Kerajaan lebih cenderung untuk menggaji
pekerja-pekerja perkhidmatan awam atas dasar kontrak sebelum menyerap mereka ke
dalam perkhidmatan awam secara tetap. Saya yakin dan pasti bahawa langkah ini
mempunyai kelebihan dan kekuranganya.
Melihat kepada perenggan saya yang
terdahulu, peningkatan kos perubatan tidak boleh tidak menjurus kepada para
pekerja di dalam perkhidmatan awam mengambil insurans perubatan sebagai tambahan
kepada perlindungan insurans dan perubatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan.
Selaku seorang pekerja (penjawat awam), seseorang itu berhak mendapat
perlindungan secara komprehensif daripada majikan nya daripada sebarang
kecacatan dan kecederaan ketika menjalankan tugas serta ketentuan bahawa
sebarang kehilangan punca pendapatan bakal diganti dan dibayar pampasan oleh
majikan agar seseorang penjawat awam itu dapat menjalankan tugas beliau tanpa
rasa gusar.
Perlindungan komprehensif yang saya nyatakan ini jelas
dinikmati oleh penjawat awam yang berjawatan tetap namun begitu saya merasakan
bahawa kita tidak boleh melupakan penjawat awam yang berstatus kontrak. Cuepacs
mengganggarkan bahawa terdapat 50,000 penjawat awam yang berstatus kontrak dan
tidak berjawatan tetap.
Secara idealnya semua penjawat awam sepatutnya
menerima perlindungan komprehensif yang sama namun setelah salah seorang ahli
Pemuda yang merupakan penjawat awam berstatus kontrak di JPN di kawasan saya
menerima kecederaan hingga menyebabkan kecacatan ketika dalam perjalanan ke
tempat kerja, barulah saya mengetahui bahawa penjawat awam kontrak tidak
mendapat perlindungan komprehensif terhadap kecederaan sedemikian di samping
tidak diletakkan di bawah skim PERKESO.
Senario ini amat menyedihkan dan
merunsingkan di mana pemuda tersebut tidak dapat memohon apa-apa jenis pampasan
bagi membantu beliau dengan bil perubatan dan kos sara hidup beliau.
Saya
merasakan bahawa satu kaji selidik perlu dilakukan berkaitan dengan permasalahan
ini kerana adalah amat menyedihkan sekiranya rakan-rakan penjawat awam kita yang
berstatus kontrak tidak dapat menikmati perlindungan PERKESO ataupun mana-mana
pelan perlindungan komprehensif sepertimana yang dinikmati oleh pekerja di
sektor swasta dan penjawat awam berjawatan tetap.
Saya ingin mencadangkan
bahawa satu mekanisme yang mempunyai objektif yang sama dengan PERKESO
diwujudkan bagi memenuhi keperluan perlindungan penjawat awam yang berstatus
kontrak ataupun mungkin pihak Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuat
caruman PERKESO bagi memberikan perlindungan kepada mereka.
Sebaliknya
Kerajaan juga boleh turut mempertimbangkan untuk mewujudkan satu dana khas bagi
membantu penjawat awam berstatus kontrak seandainya mereka ditimpa kemalangan
ketika waktu bertugas yang mana insiden itu mengakibatkan kecederaan serius
ataupun kecacatan di mana peruntukan untuk dana khas tersebut diperolehi
daripada Bajet pengurusan satu-satu Kementerian ataupun melalui skim potongan
gaji daripada penjawat awam berstatus kontrak.
Jelas sekali bahawa
walaupun mereka ini berstatus kontrak, namun mereka merupakan sebahagian
daripada tenaga kerja yang membantu melicinkan dan melancarkan urusan
pentadbiran Negara ini dan saya berharap bahawa nasib mereka akan terbela dan
mereka diberi perlindungan yang sewajarnya agar mereka dapat terus memberikan
perkhidmatan yang bermutu tinggi.
Mohd Razlan Muhammad Rafii
Ketua
Pemuda UMNO Bahagian Seputeh
Http://razlans.blogspot.com