Saturday, March 12, 2011

Perlu sabar didik anak autisma

http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story8846766.asp

Perlu sabar didik anak autisma

KUANTAN - Kemahiran yang bersesuaian dan sistematik diperlukan penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk membimbing dan mendidik kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) terutama autisma.

Justeru, penganjuran kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Pe-nyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) ternyata memberi input berguna kepada 125 penyelia yang terlibat.

Penyelia PDK Kompleks Penyayang, Kemaman, Haliza Ariffin berkata, kursus yang memberi fokus kepada bimbingan untuk kanak-kanak autisma itu sangat berguna kerana menerangkan kaedah pendidikan terbaik.

Menurutnya, kaedah yang sistematik di samping tumpuan penuh kepada kanak-kanak terbabit mampu memberi hasil yang mengagumkan.

“Di PDK saya terdapat 64 kanak-kanak pelbagai kecacatan justeru, sebagai penyelia, saya perlu membahagikan tugas kepada tenaga pengajar dengan tersusun.

“Cara didikan kanak-kanak autisma memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka berbeza dengan kanak-kanak sindrom down,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Penyelia PDK Seri Nilam Cahaya, Balok, Mimi Azura Zaidin berkata, penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) yang sesuai dan pelbagai mampu merangsang deria dan perkembangan otak kanak-kanak autisma dengan lebih efektif.

“Sepanjang lebih 15 tahun mengendalikan kanak-kanak autisma, mereka agak sukar menyesuaikan diri malah cepat memberontak.

“Bagaimana pun, jika kaedah sesuai digunakan, tempoh sebulan diambil untuk mereka sesuaikan diri dan setahun adalah tempoh paling lama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Induk Program Semai Bakti, Prof Datin Sri Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim berkata, program itu akan dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat bagi memberi pendedahan kepada penyelia PDK mengenai tanggungjawab dan cabaran mereka terhadap kanak-kanak autisma.

No comments: