Wednesday, March 30, 2011

LAWATAN KE PUSAT-PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) DI TANAH-TANAH RANCANGAN FELDA SELURUH MALAYSIA (JULAI - NOVEMBER 2009)

http://www.gwgf.org.my/news_lawatan_pdk.htm

Sejak Julai yang lalu, Urusetia Sekretariat GWGF sedang giat melaksanakan kerja-kerja mengemaskini data dan maklumat mengenai pusat-pusat PDK di tanah-tanah rancangan Felda. Pada masa kini terdapat 64 buah pusat PDK di tanah-tanah rancangan tidak termasuk Johor. Urusetia GWGF telah turun melihat sendiri perkembangan yang berlaku di pusat-pusat PDK. Sehingga kini, negeri-negeri yang telah dilawati ialah Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu. Manakala sesi lawatan ke Negeri Pahang, iaitu negeri yang paling banyak mempunyai pusat PDK di tanah rancangan masih lagi berjalan dan akan bersambung selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Sehingga 8 Sept. 2009, Urusetia Sekretariat GWGF telah selesai melawat 41 buah PDK yang melibat negeri Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Masih terdapat sebahagian PDK di negeri Pahang yang belum dilawati kerana Pahang adalah negeri yang mempunyai PDK yang paling banyak. Penyelia PDK diberikan tempoh masa yang sesuai untuk memberikan maklum balas mengenai maklumat yang diperlukan oleh GWGF. Kesemua PDK memberikan respon dan kerjasama yang amat baik dan mengalu-alukan kehadiran GWGF.

Semasa lawatan berkenaan, Urusetia Sekretariat GWGF melihat kesemua aspek di sesebuah PDK dari segi fizikal bangunan, pentadbiran, kepadatan, perjalanan aktiviti seharian PDK, modul-modul pembelajaran yang digunakan, aktiviti ekonomi sama ada pertanian atau kraftangan serta penyusunan aktiviti. Meskipun sebahagian besar PDK di tanah-tanah rancangan Felda telah memiliki premis mereka sendiri, namun masih ada lagi PDK yang menumpang atau menyewa sama ada di rumah kakitangan Felda, GPW atau belia. Sebahagiannya pula telah diluluskan peruntukan untuk mendirikan bangunan sendiri dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Berdasarkan pengamatan GWGF, kerjasama yang erat antara kesemua pihak akan mampu menjamin keberkesanan pemulihan anak-anak istimewa ini. Warga Felda bertuah kerana berada di bawah naungan pengurusan Felda yang tersusun. Jalinan kerjasama antara pengurusan Felda, Kerajaan Negeri, JKM, Jawatankuasa PDK dan badan-badan amal isteri wakil rakyat mampu memberikan impak yang positif kepada perkembangan dan pembangunan PDK sekaligus membela nasib golongan OKU di tanah-tanah rancangan Felda.

No comments: