Saturday, October 8, 2011

SOROTAN BAJET NEGARA 2011

SOROTAN BAJET NEGARA 2011Bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”,

Bajet 2011 sejumlah RM212 bilion akan menumpu kepada empat strategi utama:

Pertama : Mendaya Kembali Pelaburan Swasta;

Kedua : Membangunkan Modal Insan;

Ketiga : Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan

Keempat : Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

Mendaya Kembali Pelaburan Swasta

1. Mempergiatkan inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

a) Beberapa projek PPP telah dikenal pasti dalam RMK-10 yang akan mula dilaksanakan pada 2011 dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.

b) Projek PPP Academic Medical Centre melibatkan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion.

2. Projek strategik berimpak tinggi seperti transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai 2011, dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion.

3. Mencergaskan pasaran modal. Antaranya:

a) Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia.

b) GLIC akan dibenarkan meningkatkan pelaburan di luar negara.

c) Bursa Malaysia akan melancarkan sukuk dan bon runcit.

d) Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan 3 lesen broker saham baru kepada syarikat tempatan dan asing atau usaha sama.

4. Untuk mengunggulkan pasaran modal Islam, Bursa Malaysia akan membangunkan international board bagi membolehkan penyenaraian saham asing, termasuk produk patuh syariah.

5. Modal teroka, terutamanya sektor berteknologi tinggi.

a) Kerajaan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur.

b) Dana Permulaan Perniagaan berjumlah RM100 juta untuk memberi pembiayaan mudah.

6. Skim Amanah Hartanah Bumiputera akan dilancarkan di bawah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera tahun ini bernilai RM1 bilion dan patuh syariah.

7. Dana Pencen Swasta akan dilancarkan pada 2011 untuk memanfaatkan pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

8. Peruntukan RM857 juta disediakan bagi syarikat tempatan yang melabur dalam aktiviti industri Elektrik & Elektronik (E&E) bernilai tambah tinggi.

9. Industri minyak, gas dan tenaga:

a) Peruntukan RM146 juta untuk memperkembangkan industri terutamanya aktiviti hiliran.

b) Petronas akan melaksanakan projek regasification dengan kos pelaburan RM3 bilion di Melaka yang dijangka beroperasi bermula 2012.

10. Memajukan teknologi hijau termasuk:

a) Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015.

b) Pengecualian 100% duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid.

11. Menggalakkan sektor pertanian termasuk:

a) Peruntukan RM252 juta untuk membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar di Sabah dan Sarawak.

b) RM235 juta diperuntukkan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.

c) Menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bernilai tinggi dengan peruntukan RM135 juta untuk prasarana asas.

d) RM80 juta untuk menjalin kerjasama di antara petani buah-buahan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan syarikat peneraju.

e) Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan.

12. Industri pelancongan termasuk:

a) Memperuntukkan RM80 juta untuk kemudahan infrastruktur untuk menarik pelancong ke kawasan pedalaman.

b) Membina laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

c) Memansuhkan duti import 5% – 30% ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan barangan harian.

13. Memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan:

a) Menggalakkan penanaman semula klon pokok sawit lama bermutu tinggi.

b) Mengagihkan RM127 juta untuk menyokong syarikat oleo derivatives tempatan dan RM23 juta untuk industri hiliran minyak sawit.

14. Penjanaan ekonomi digital yang inovatif.

a) Melaksanakan program MY Creative Content dengan peruntukan RM119 juta.

b) Melanjutkan tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar, dan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar sehingga 2012.

c) Mengecualikan cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

15. Menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan untuk memenuhi permintaan membaik pulih dan menyelenggara kapal terbang serta helikopter dengan peruntukan RM91 juta.

16. Pembangunan koridor dan wilayah:

a) Peruntukan RM339 juta untuk Wilayah Pembangunan Iskandar.

b) Peruntukan RM133 juta untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan RM178 juta untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

c) Peruntukan RM93 juta untuk Wilayah SCORE dan RM110 juta untuk Koridor Pembangunan Sabah.

17. Aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) akan dipergiatkan dengan peruntukan RM411 juta.

18. Akta Insolvensi baru akan memperkenalkan peruntukan berkenaan mekanisme penyelamat bagi syarikat dan individu bermasalah kewangan, termasuk mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

19. Peruntukan RM200 juta untuk perolehan hasil tempatan berkualiti dalam industri kreatif meliputi animasi, pengiklanan, perfileman dan lain-lain.

20. Menaikkan cukai perkhidmatan kepada 6%, termasuk perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

21. Memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memperkukuhkan sistem kutipan cukai.

Membangunkan Modal Insan

1. Menambah bilangan tenaga kerja berkualiti dengan penubuhan Talent Corporation pada awal 2011.

2. Sistem pendidikan negara akan dirombak, termasuk:

a) Peruntukan RM6.4 bilion untuk membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

b) Pengagihan ganjaran sejumlah RM213 juta kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

c) Penambahan 1,700 kelas, memantapkan kurikulum dan melantik 800 guru pra-sekolah lepasan ijazah.

d) Memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA.

e) Menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM250 juta untuk Sekolah Bantuan Modal Agama, Sekolah Kebangsaan Cina & Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Bantuan Kerajaan.

f) Membiayai bantuan per kapita untuk Sekolah Agama Rakyat (rendah dan menengah) dengan peruntukan RM95 juta.

g) Biasiswa bernilai RM576 juta disediakan bagi tenaga pengajar untuk melanjutkan pelajaran dan meningkatkan keupayaan.

h) Peruntukan RM213 juta untuk mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah, termasuk mengambil 375 guru penutur jati Bahasa Inggeris.

3. Memperkasa institusi pengajian tinggi seperti:

a) Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75% bagi universiti penyelidikan dan 60% bagi IPTA lain.

b) Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA ke peringkat tertinggi Gred Turus III, II dan I serta penganugerahan Profesor Ulung.

4. Meningkatkan kemahiran graduan termasuk:

a) Mempergiatkan program Industrial Skill Enhancement di Pusat Latihan Kemahiran Negeri untuk graduan kejuruteraan dan pekerja teknikal.

b) Peruntukan RM50 juta untuk melatih graduan bidang ICT.

c) Peruntukan RM200 juta untuk pelbagai program untuk mengembangkan kompetensi dan kebolehpasaran siswazah jurusan lain.

5. Pengagihan RM474 juta untuk meningkatkan produktiviti dan kemahiran golongan bukan siswazah.

6. Pelaksanaan Program Latihan 1Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru, dengan peruntukan RM500 juta.

7. Peningkatan produktiviti golongan pekerja termasuk:

a) Penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara sebagai platform utama penetapan gaji dan pengenalan gaji minimum mulai Januari 2011.

b) Menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor ke atas pengambilan pekerja asing, serta mewajibkan insurans kesihatan ke atas majikan bagi pengambilan pekerja asing.

8. Golongan wanita

a) Peruntukan RM30 juta untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan.

b) Pelaksanaan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama 3 bulan.

c) Menjenamakan semula 40 buah TASKA 1Malaysia untuk golongan wanita tidak berkemampuan mendapatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal berkualiti bagi anak-anak.

d) Memberi fleksibiliti dengan menentukan sendiri cuti bersalin sehingga 90 hari kepada penjawat awam wanita tertakluk kepada had semasa 300 hari.

9. Pembangunan dan penyelidikan sukan dengan peruntukan RM365 juta dan peruntukan RM20 juta untuk penubuhan Akademi Bola Sepak.

Mensejahterakan Hidup Rakyat

1. Golongan kurang bernasib baik diberi perhatian dengan peruntukan RM1.2 bilion, termasuk:

a) RM166 juta untuk program kebajikan warga emas.

b) RM121 juta untuk program bantuan bagi memanfaatkan 97 ribu kanak-kanak.

c) RM218 juta untuk program bantuan bagi memanfaatkan 80 ribu OKU.

d) Mengecualikan duti eksais 100% ke atas pembelian sebuah kenderaan nasional oleh OKU.

e) Membina pusat intervensi untuk golongan tuna wisma dan gelandangan dan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling.

2. Program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan diteruskan.

3. Pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa diperluaskan sehingga RM5,000.

4. Kemudahan perumahan, termasuk:

a) Peruntukan RM568 juta untuk membina unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, Program Perumahan Rakyat Bandar dan Projek Bantuan Sewa Rumah.

b) Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh Bank Simpanan Nasional.

c) Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10% bagi harga rumah pertama di bawah RM220,000.

d) Pengecualian 50% duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi rumah kediaman pertama berharga tidak lebih dari RM350,000.

5. Rakyat luar bandar, sejumlah RM6.9 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan infrastruktur asas termasuk:

a) Membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak sebanyak RM2.1 bilion dan Semenanjung sebanyak RM696 juta.

b) Menyediakan bekalan air dan elektrik dengan peruntukan RM1.5 bilion di Sabah, RM1.2 bilion di Sarawak dan RM556 juta di Semenanjung.

c) Program Bantuan Rumah sebanyak 12 ribu unit untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

d) Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftar kerakyatan penduduk kawasan terpencil.

6. Peruntukan RM974 juta untuk subsidi padi dan RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi. Sebanyak RM170 juta diagihkan sebagai insentif untuk meningkatkan hasil tangkapan nelayan.

7. Pengguna

a) Memperuntukkan RM200 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu untuk menyeragamkan harga barangan.

b) Mewujudkan portal interaktif “1Malaysia Pengguna Bijak” untuk mengikuti perkembangan harga terkini barangan meliputi 7 ribu premis perniagaan di seluruh negara.

c) Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

8. Meneruskan Projek PIA dan PIAS dengan peruntukan RM500 juta.

9. Golongan pemimpin masyarakat diberi perhatian, antaranya:

a) Menaikkan elaun Pengerusi JKKK dan JKKP, Tok Batin dan Pengerusi JKKK Orang Asli, Pengerusi JK Kampung Baru kepada RM800 dari RM450.

b) Elaun kehadiran mesyuarat dinaikkan bagi semua ahli JK dari RM30 ke RM50.

c) Menaikkan elaun bulanan Imam kepada RM750.

d) Menaikkan imbuhan guru KAFA kepada RM800 sebulan.

10. Bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi, RM100 juta diperuntukkan termasuk untuk merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli diperkukuhkan dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.

11. Kadar tol di 4 lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta-merta.

12. Untuk memastikan kesihatan berkualiti:

a) Peruntukan RM15.2 bilion bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta bekalan ubat dan peralatan perubatan.

b) Penambahan lagi 25 buah Klinik 1Malaysia.

13. Keselamatan awam diperuntukkan RM350 juta untuk pelaksanaan pelbagai program.

14. Peranan badan NGO diiktiraf dengan peruntukan RM70 juta untuk melaksanakan program bersepadu bersama agensi Kerajaan.

15. Peruntukan RM1.9 bilion untuk membiayai projek pemuliharaan alam sekitar.

16. Bagi membantu melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat:

a) 10 buah sekolah akan dijadikan Sekolah Amanah dan menerima sumbangan dari Khazanah Nasional Berhad.

b) Multi-vitamin akan disediakan bagi pelajar sekolah rendah seluruh negara.

c) Dana Belia 1Malaysia akan ditubuhkan dengan tabung RM20 juta.

d) 4 buah bas Klinik Bergerak 1Malaysia akan disediakan.

Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

1. Inisiatif MyCoID Gateway akan diperluaskan ke banyak lagi kementerian dan agensi Kerajaan.

2. Permohonan taraf Penduduk Tetap (PR) boleh dilakukan selepas 5 tahun.

3. Akta Setem 1949 dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah dilakukan selepas duti setem dibayar.

4. Bagi penjawat awam:

a) Kerajaan memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

b) Bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, pegawai kontrak dan pesara Kerajaan.

c) Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000.

d) Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh 1 tahun lagi.

e) Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik.

f) Menaikkan kadar pinjaman kepada RM20,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.

g) Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000.


Tags: Budget

No comments: