Monday, June 11, 2007

pekerja pusat pemulihan diabai - Berita Harian 3 Oktober 2006

ANAK sulung saya berumur 13 tahun mengalami cacat anggota (cerebral palsy). Dia mendapat latihan pemulihan fizioterapi dan terapi cara kerja serta pendedahan lain di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di Hulu Selangor sejak 1999.

Melihatkan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan setiap kakitangan bertugas, walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan daif ketika itu, saya terpanggil untuk membabitkan diri secara sukarela membantu mereka.

Hingga sekarang hampir lima tahun saya menjadi anggota jawatankuasa pusat berkenaan. Tugas utama kami adalah mencari sumber kewangan untuk menguruskan pusat itu. Sebenarnya banyak perkara perlu disentuh dan diambil perhatian pihak bertanggungjawab apabila bercakap mengenai pusat berkaitan, tetapi saya ingin menyentuh mengenai kebajikan kakitangan pusat pemulihan dalam komuniti.

Setiap kali bajet dibentangkan pelbagai pihak mendapat kebaikan dan faedah serta diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Bajet 2007 yang baru dibentangkan. Pelbagai pihak dan lapisan masyarakat menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam, bonus, kenaikan elaun sara hidup dan pelbagai kenaikan lagi.

Bagaimana pula dengan nasib kakitangan yang bekerja di PDK ? Selepas dipotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan, mereka hanya mendapat RM445 sebagai elaun bulanan.

Di PDK saya dan kebanyakan yang lain juga bekerja dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, Isnin hingga Jumaat sepanjang tahun. Tidak ada cuti persekolahan seperti sekolah biasa, tidak ada cuti bersalin sedangkan majoriti pekerja PDK terdiri daripada wanita.

Apakah taraf mereka ini? Mereka bukan kakitangan kerajaan walaupun mendapat elaun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tertakluk kepada syarat JKM.

Mereka juga bukan sukarelawan kerana mereka ada cuti tahunan dan potongan KWSP. Tetapi, walaupun sudah lebih 10 tahun mereka bekerja, tidak ada kenaikan gaji atau pangkat apatah lagi bonus.


Sehingga kini tiada siapa yang membela nasib pekerja PDK ini. Saya bersama PDK hampir tujuh tahun dan mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan PDK. Saya juga bersama mereka mengikuti beberapa kursus, seminar, mesyuarat dan konvensyen yang dianjurkan JKM, sebagai ibu bapa dan kadang-kadang sebagai ahli Jawatankuasa PDK.

Usaha membela dan memperbaiki nasib orang kurang upaya (OKU) perlu dilakukan secara menyeluruh. Pertama sudah tentu dengan memberikan mereka hak sama dengan kanak-kanak normal tetapi mengikut keperluan OKU lebih menjurus kepada pemulihan.

Ia bermaksud tempat, peralatan dan persekitaran serta program sesuai mengikut kehendak dan keperluan OKU menjurus kepada menjadikan mereka individu yang berdikari dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.



ZURAIDAH KADIRUN,

Sungai Choh, Rawang.

No comments: