Monday, June 11, 2007

‘Ibu bapa jangan malu hantar anak istimewa ke PDK’

RAUB: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, semalam menggesa ibu bapa menghantar anak mereka yang mempunyai kecacatan teruk ke institusi orang kurang upaya (OKU) atau pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Shahrizat berkata, ibu bapa terbabit tidak seharusnya malu kerana kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjaga dan merawat kanak-kanak itu seperti anak sendiri.

"Saya tahu ada sesetengah ibu bapa merantai anak mereka di rumah, jangan buat begitu. Dulu mungkin (wajar dirantai) kerana mereka takut tetapi sekarang kerajaan amat prihatin dan akan pastikan layanan terbaik.

"Daripada dirantai di rumah, setidak-tidaknya hantar ke institusi penuh atau ke PDK terdekat. Kalau kes itu teruk, maklumkan kepada JKM," katanya selepas majlis mesra Mayang (Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat) di Balai Raya Kampung Melayu Cheroh dekat sini, semalam.

Beliau mengulas kes kematian lelaki kurang siuman, Mohd Mujid Harun, 37, dalam kebakaran di rumah keluarganya di Kampung Acheh, Pekan, Pahang, kelmarin selepas terperangkap kerana dirantai di bilik belakang.

Shahrizat berkata, kerajaan juga akan menaik taraf kemudahan di semua 364 PDK di seluruh negara selain melatih semua 1,433 guru PDK dengan modul kemahiran baru supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada 9,683 pelatih.

Sambil menyatakan kerajaan sudah menambah peruntukan untuk program PDK daripada RM14.3 juta tahun lalu kepada RM17.5 juta tahun ini, beliau memberi jaminan akan mengkaji permintaan guru PDK supaya elaun bulanan RM500 sekarang ditambah.

"PDK banyak membantu anak OKU di luar bandar, mereka tidak ada tempat lain untuk menghantar anak dan PDK menjadi tumpuan. Justeru, saya akan pastikan peralatan dan guru PDK adalah terbaik," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berharap anggota Mayang yang turut membabitkan pemimpin tempatan supaya peka kepada keperluan OKU di kawasan masing-masing.

Katanya, kementerian mahu OKU yang mempunyai kecacatan serius dibantu dalam tempoh 24 jam sebelum JKM mengambil tindakan susulan.

"Masyarakat juga perlu memberitahu anggota Mayang supaya mereka dapat dibantu segera," katanya

Pada majlis itu, Shahrizat turut menyampaikan geran pelancaran dan dua kerusi roda kepada PDK dan OKU di kawasan berkenaan.

No comments: