Saturday, February 26, 2011

Speeches By : Datin Paduka Seri Rosmah Mansor MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL JUALAN PRODUK PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) PERINGKAT KEBANGSAAN

http://www.pmo.gov.my/datinrosmah/_view_speech.php?submission_id=309


Speeches

By : Datin Paduka Seri Rosmah Mansor

Date : 04/12/2010

Venue : STADIUM TITIWANGSA, TAMAN TASIK TITIWANGSA, K.LUMPUR

Title : MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL JUALAN PRODUK PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) PERINGKAT KEBANGSAAN


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1. Terlebih dahulu, marilah kita mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita berhimpun dan bertemu dalam majlis yang indah pada pagi yang cukup bermakna ini. Saya berasa amat bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan BAKTI untuk menjayakan Karnival Jualan Produk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti PDK Peringkat Kebangsaan 2010 ini.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan yang tiada terhingga kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia atas kesudian untuk hadir ke majlis pada pagi ini. Walaupun dalam kesibukan tugas harian namun YAB Dato' Sri tidak pernah menolak sebarang undangan BAKTI. Kami juga ingin menyampaikan jutaan terima kasih kerana YAB Dato' Sri terus mendukung apa jua usaha murni yang telah direncana dan dilaksanakan oleh BAKTI. Pokoknya, YAB Dato' Sri adalah penyokong nombor satu BAKTI.

YAB Perdana Menteri dan para hadirin sekalian,

3. Saya sangat berbangga kerana BAKTI melalui Program Semai Bakti buat julung-julung kalinya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan ‘Karnival Jualan Produk PDK Peringkat Kebangsaan' ini. Karnival ini adalah merupakan lanjutan daripada kempen "Satu PDK Satu Produk yang di mulakan sejak tahun 2008. Kempen ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada golongan OKU untuk mempelajari dan melakukan sesuatu kerja mengikut kemampuan mereka. Ini sekaligus memberikan pulangan pendapatan kepada golongan istimewa ini melalui hasil jualan produk-produk tersebut.

4. Pada masa yang sama, Karnival ini juga bertujuan untuk memberi motivasi kepada PDK supaya lebih aktif dalam bidang keusahawanan dan membimbing PDK dalam penghasilan produk yang berkualiti supaya ia boleh dipasarkan di peringkat tertinggi. Melalui penganjuran karnival gilang-gemilang ini, saya amat berharap ianya akan memberi peluang kepada golongan OKU ini untuk menunjukkan bakat-bakat keusahawanan mereka termasuklah di dalam bidang kraftangan, pemakanan dan hasil produk tanaman dan juga penternakan. Disamping itu, produk-produk yang dihasilkan ini akan bukan sahaja di pamerkan, tetapi juga dibuka untuk jualan kepada orang ramai.

5. Selain itu, karnival ini berperanan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum bahawasanya golongan OKU juga berbakat, berpotensi dan mampu menghasilkan produk yang setanding kualitinya. Bakat mereka juga akan terus bersinar sekiranya diberi bimbingan dan peluang yang berterusan. Ini kerana golongan OKU perlu diberi lebih ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar mereka dapat mencapai potensi maksima sebagai anggota masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat serta wawasan negara.

6. Sebagai dorongan serta menanam semangat persaingan di kalangan PDK, Karnival ini memasukkan elemen pertandingan, terhadap hasil keluaran produk dan juga bagi gerai terbaik. Namun markahnya akan dikumpulkan bersama dengan pertandingan talentime yang akan di adakan pada malam ini bagi merebut Piala Pusingan Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri dan para hadirin sekalian,

7. Di kesempatan ini izinkan saya memaklumkan secara sepintas lalu mengenai program Semai Bakti. Ianya merupakan program khusus untuk menyalurkan khidmat bakti kepada golongan OKU di peringkat negeri. Sejak ia mula diasaskan, Program Semai Bakti telah pun menyumbang kepada pembangunan golongan OKU melalui pelbagai aktiviti sosial bagi membantu meningkatkan keupayaan diri golongan tersebut. Antara aktiviti yang telah dijayakan ialah dengan menganjurkan pelbagai kursus untuk para penyelia dan petugas pusat PDK serta pemimpin komuniti setempat, membaik pulih prasarana PDK, dan meningkatkan lagi mutu kemudahan latihan dan pemulihan PDK.

8. Selain itu, program ini juga turut membantu mewujudkan rangkaian jalinan kerjasama atau networking dengan mengenal pasti pakar-pakar dari pusat pengajian tinggi serta badan-badan profesional yang berkaitan bagi membantu meningkatkan lagi kualiti pengisian aktiviti-aktiviti di bawah Program Semai Bakti.

9. Program ini merupakan usaha sama BAKTI, Badan Amal Negeri, Pihak Kerajaan dan pihak swasta bergabung tenaga bagi melahirkan rasa prihatin dan penyayang rakyat Malaysia kepada setiap golongan masyarakat di Malaysia. Ini amat bersesuaian dengan seruan YAB Perdana Menteri kita yang ingin melihat terbinanya sebuah negara Malaysia yang masyarakatnya amat prihatin dan penyayang. Saya juga mempunyai kepercayaan bahawasanya di bawah gagasan 1Malaysia, keadilan dan kesaksamaan terpakai bukan hanya kepada mereka yang sempurna sifar dan berkemampuan sahaja, malahan ia juga meliputi masyarakat istimewa.

YAB Perdana Menteri dan para hadirin sekalian,

10. Sebagai sebuah NGO, BAKTI berasa penuh bertanggungjawab terhadap kesejahteraan golongan OKU ini. Tanggungjawab ini secara umumnya telah sedikit sebanyak membantu peranan kerajaan, masyarakat dan ibu bapa dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan istimewa ini. Kita sedar bahawasanya pihak kerajaan telah sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada golongan OKU ini malahan pelbagai kemudahan dan infrstruktur telah diwujudkan.

11. Namun begitu, atas sikap prihatin, BAKTI sedar yang kita juga harus sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan, NGO dan swasta. Kita yakin jika kesedaran begini kian meluas dengan dokongan dan sokongan dari syarikat dan golongan korporat yang berkemampuan, maka semakin ramailah golongan istimewa ini dapat menikmati kemudahan ini.

12. Adalah menjadi harapan saya agar kerja-kerja amal yang dilakukan oleh BAKTI ini akan dicontohi dan dijadikan rolemodel kepada NGO yang lain. Sukalah saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan badan-badan sukarela dan NGO supaya sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan rakyat terutamanya golongan OKU ini di dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.

13. Sesungguhnya, saya sedar bukan sesuatu yang mudah untuk mengelolakan program besar seperti ini lebih-lebih lagi ia merupakan satu program di peringkat kebangsaan. Walaupun begitu, dengan semangat jati diri yang ada pada ahli-ahli BAKTI sekalian, segala cabaran telah menjadi penguat semangat dan iltizam dalam memastikan program ini berjaya akhirnya. Inilah sikap serta budaya kerja yang perlu wujud dan ingin kita lihat tersemai dalam mana-mana persatuan sukarela dan NGO.

14. Lantaran itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan, ucapan terima kasih serta syabas dan tahniah kepada BAKTI yang telah bukan sahaja mencetuskan idea seumpama ini tetapi juga melaksanakannya dengan baik. Rasa penghargaan dan terima kasih juga di sampaikan kepada isteri YAB Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta Badan-badan Amal Negeri di atas komitmen dan kerjasama yang jitu bagi menjayakan karnival ini.

15. Kejayaan karnival ini juga adalah di atas sokongan padu pelbagai pihak dari itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan sekalung penghargaan kepada ketua-ketua jabatan yang telibat, pihak RTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah meyediakan tempat tinggal, pengangkutan dan kemahiran seni serta para juri; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta seluruh anggota yang terlibat dalam penyediaan dewan, gerai jualan, keselamatan, kesihatan dan kebajikan. Sesungguhnya, kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam membela nasib golongan kelainan upaya sangat membanggakan. Sememangnya kita semua sedia maklum bahawa anak-anak istimewa ini memerlukan perhatian daripada semua.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

16. Pada malam ini kita akan menyaksikan ‘Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010' di mana bakat-bakat nyanyian solo, duet dan tarian akan dipertandingkan. Saya menyeru agar hadirin sekalian sudi meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama menyaksikan dan memeriahkan konsert mini pada malam ini. Untuk pengetahuan hadirin sekalian, mereka yang bertanding merupakan mereka yang telah terpilih dari seluruh Malaysia dan akan mewakili setiap negeri masing-masing.

17. Sebagai akhir kata, terima kasih sekali lagi kepada YAB Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian untuk merasmikan karnival ini. Serangkap pantun khas untuk YAB Perdana Menteri :

Pokok selaseh tumbuh dipagar
Lebat berbunga bagai sutera
Rasa kasih semakin segar
Rakyat gembira mendoakan sejahtera

18. Semoga segala kenangan manis dan layanan mesra ahli-ahli BAKTI sekalian akan terukir di hati kita semua. Mudah-mudahan segala khidmat bakti dan usaha yang dibuat bagi mewarnai karnival ini diberkati Allah hendaknya.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

No comments: