Tuesday, May 4, 2010

7 IPTA anggotai jawatankuasa kerja sosial

7 IPTA anggotai jawatankuasa kerja sosial


IPTA terbabit ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).



Pengerusi barunya, Sharima Ruwaida Abbas, berkata jawatankuasa kerja itu berfungsi menyediakan piawaian bagi pendidikan dan latihan dalam jurusan kerja sosial untuk melahirkan pekerja sosial cekap serta profesional. Beliau yang juga pensyarah Jabatan Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, UUM, berkata, ia bertanggungjawab memperincikan dasar pendidikan serta piawaian berakreditasi untuk kursus kerja sosial profesional.



“Dengan adanya dasar pendidikan kerja sosial dan piawaian berakreditasi ini, ia memberi jaminan kepada graduan mendapat pengiktirafan melalui pendaftaran serta lesen apabila mereka menjadi pengamal kerja sosial.



“Malah, dasar ini menyokong pembentukan Piawaian Kecekapan Amalan dan Pendidikan Kerja Sosial Kebangsaan yang diusahakan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).



“Selain itu, ia diperkenan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada mesyuarat ‘Stakeholders’ tahun lalu dan turut diterapkan dalam Rancangan Malaysia ke-9,” katanya kepada Berita Harian, semalam. Beliau berkata, penetapan itu juga mengambil kira piawaian global bagi Pendidikan dan Latihan Kerja Sosial (2004) yang ditetapkan International Federation of Social Work (IFSW) dan International Association of Schools of Social Work (IASSW).



Sambil menjelaskan jawatankuasa itu inisiatif awal USM iaitu universiti pertama menawarkan kursus kerja sosial dengan pensyarah kerja sosialnya, Prof Madya Dr Ismail Baba, sebagai pengerusi pertama jawatankuasa berkenaan, beliau berkata:



“Dokumen dasar pendidikan kerja sosial ini telah diserah kepada JKMM untuk diberi kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.



“Jawatankuasa ini pula menyerahkan dokumen sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi dan semua IPTA terbabit.”



Kerja sosial berbeza berbanding kerja kebajikan kerana ia satu profesion berdasarkan nilai, pengetahuan dan etika dalam meningkatkan kualiti hidup manusia serta membuat perubahan sosial. Kerja kebajikan secara sukarela dan dilakukan atas dasar kemanusiaan.


daripada: http://www.kpwkm.gov.my/new_index.php?page=news_content&newsID=91&lang=malay&pages=45

No comments: