Friday, October 10, 2008

berita 1

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Satu kajian mendapati hampir separuh (45.6 peratus) guru yang bukan dari khusus pendidikan khas mengajar di program pendidikan khas masalah pembelajaran. Aliza Alias dan Mohd Mokhtar Tahar dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kertas kerja mereka berkata 54.4 peratus guru mempunyai pengkhususan pendidikan khas pula mendidik pelajar dalam aliran biasa.

“Hanya 13.3 peratus sahaja guru yang terlibat dalam kajian ini mempunyai bidang pengkhususan masalah pembelajaran. Secara keseluruhannya 86.7 peratus guru yang mengajar dalam program ini adalah guru yang tidak dilatih mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran,” menurut kajian itu.

Kertas kerja kajian itu yang bertajuk Penempatan Guru di Program Integrasi Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Ketiga: Dasar dan Pelaksanaan.

Menurut kajian itu, jumlah guru yang telah mengikuti pelbagai kursus dalam bidang pendidikan khas amat menggalakkan.

Bagi guru yang bukan pengkhususan masalah pembelajaran didapati hanya 7.8 peratus sahaja tidak pernah mengikuti sebarang kursus yang berkaitan pendidikan khas dan hampir separuh daripada guru itu hanya mengikuti kursus yang kurang daripada sebulan.

“Kursus yang pendek kurang dari sebulan tidak cukup untuk membantu dan mendedahkan guru-guru ini kepada pengetahuan serta pengalaman yang diperlukan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran,” menurut kajian itu.

Menurut kajian itu, guru perlu mempunyai pengetahuan tentang ciri-ciri kanak-kanak masalah pembelajaran supaya perhatian dapat diberikan kepada keperluan tertentu kanak-kanak itu dalam proses pembelajaran seperti memilih pedagogi sesuai dengan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran.

Menurut Aliza dan Mohd Mokhtar, bidang pengkhususan lain dalam pendidikan khas seperti pintar cerdas, masalah pendengaran, masalah penglihatan dan pemulihan adalah berbeza antara satu sama lain sama ada dari aspek kanak-kanak tersebut mahupun kaedah pedagogi yang sesuai.

“Guru harus mempunyai pengetahuan yang menyeluruh dan mendalam tentang ciri-ciri kanak-kanak masalah pembelajaran yang menempatkan pelbagai kategori seperti autistik, hiperaktif, sindrom down dan juga disleksia,” menurut kajian itu.

Kajian ini dilakukan terhadap 90 guru yang mengajar di program integrasi di sekolah rendah dan menengah.

– Bernama

No comments: