Tuesday, August 28, 2007

OKU bukan golongan lemah

Utusan Malaysia, 28 Julai 2006

SARANAN Perdana Menteri supaya kualiti kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU) dipertingkatkan amatlah dialu-alukan. Tanpa kita sedari, golongan ini sentiasa terpinggir walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk mengetengahkan mereka dalam masyarakat.

Masih ramai lagi di kalangan kita mempunyai persepsi yang negatif tentang keupayaan dan kemampuan mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara secara amnya.

Saya ingin menyarankan supaya perkataan cacat dan kurang upaya itu sendiri harus digantikan dalam mendefinisikan golongan sebegini.

Adalah dirasakan perkataan golongan istimewa lebih sopan dan sesuai dalam mendiskripsikan mereka ini secara positif. Secara tidak langsung kita dapat memberi mereka keyakinan untuk menempatkan diri dan bergaul dalam masyarakat.

Secara amnya mereka bukanlah golongan yang terlalu lemah hingga membebankan kepada yang menanggungnya. Ketidakupayaan mereka ini dapat di kategorikan kepada dua iaitu kelemahan fizikal dan kelemahan mental.

Mereka yang ada masalah fizikal tidak semestinya dianggap lemah kerana golongan ini masih mampu menggunakan kecerdasan mental dan minda untuk menyumbang dalam kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan.

Syarikat-syarikat besar seperti penggendali lebuh raya harus mengambil lebih ramai golongan ini kerana mereka tidak mempunyai masalah untuk menjadi jurutol yang cekap.

Saya amat menghargai dan terharu dengan beberapa syarikat makanan segera yang perihatin dan mengambil golongan istimewa ini bekerja sebagai pelayan restoran. Usaha ini perlu di perluaskan lagi.

Kerajaan sepatutnya memberi kuota untuk golongan seperti ini untuk menempatkan mereka di sektor pekerjaan awam. Pihak swasta juga harus diberi insentif seperti rebat cukai apabila mengambil golongan istimewa bekerja di syarikat mereka.

Pelaksanaan

Tanpa adanya kuota dan insentif, saya percaya mereka ini kurang diberi peluang untuk menjawat sebarang jawatan. Sudah lumrah bagi sesetengah masyarakat, tanpa paksaan dan imbuhan, sesuatu pelaksanaan itu kurang berkesan dan mendapat perhatian.

Hospital-hospital swasta juga harus memberi harga rawatan istimewa kepada golongan sedemikian. Setakat ini hanya hospital kerajaan sahaja yang memberi pengecualian rawatan perubatan.

Syarikat insurans juga harus mengenakan premium insurans minimum kepada mereka kerana tidak mampu untuk membayar premium yang tinggi.

Kita harus sedar bahawa mereka ini amat bergantung kepada rawatan untuk hidup secara sempurna. Kekerapan mereka untuk menjalani rawatan mungkin menjadi punca kepada syarikat insurans mengenakan premium yang tinggi.

Kita seharusnya insaf dan sedar bahawa mereka bukan diminta untuk dilahirkan dengan segala kekurangan fizikal atau mental.

Seiring dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang, setiap dari kita harus memberi ruang kepada insan-insan istimewa ini menjalani kehidupan tanpa ada unsur prejudis.


– SHUKRI A.M,

Subang Jaya, Selangor.

No comments: