Monday, February 11, 2013

Majikan Soalan Lazim

Soalan Lazim
» Apakah yang dimaksudkan dengan faedah?

Faedah merupakan denda yang dikenakan kepada majikan mengikut peruntukan Seksyen 49(1) Akta KWSP 1991 kerana gagal membayar caruman dalam tempoh yang ditetapkan oleh KWSP.

» Apakah yang dimaksudkan dengan kontrak perkhidmatan?

Kontrak perkhidmatan ialah suatu perjanjian, yang dipersetujui bersama antara majikan dengan pekerja untuk menyempurnakan sesuatu perkhidmatan. Perjanjian tersebut boleh dibuat secara bertulis, lisan, nyata atau tersirat.

» Apakah yang dimaksudkan dengan upah/gaji?

Upah ertinya semua saraan dalam bentuk wang yang kena dibayar kepada pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisannya sama ada dipersetujui untuk dibayar secara bulanan, mingguan, harian dan sebagainya termasuk bonus, komisyen atau elaun yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja.

» Apakah yang dimaksudkan dengan pekerja?

Pekerja bermaksud orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan. Kontrak perkhidmatan atau perantisan itu boleh dibuat secara bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.

» Apakah yang dimaksudkan dengan kontrak untuk perkhidmatan?

Kontrak untuk perkhidmatan ialah suatu perjanjian untuk memberi perkhidmatan kepada seseorang atau kumpulan orang. Orang yang memberi perkhidmatan adalah bebas dari kawalan dan pengawasan orang atau kumpulan orang yang mendapat perkhidmatan.

» Siapakah wakil majikan?

Wakil majikan adalah orang yang dilantik untuk mewakili majikan, termasuk kakitangan majikan yang menguruskan pembayaran gaji / upah pekerja.

? Apakah insentif cukai yang diberi kepada majikan berhubung caruman KWSP?

Majikan akan diberi insentif / pelepasan cukai dengan jumlah tertentu yang ditetapkan dari masa ke semasa. Untuk keterangan lanjut sila berhubung dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.