Monday, February 11, 2013

JKM kemas kini pendaftaran OKU

                                   JKM kemas kini pendaftaran OKU



Adnan Abu Bakar (tiga dari kanan) menyampaikan kad OKU sempena program Cakna OKU di PDK Peringat, Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU 2 Nov. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengemaskini pendaftaran orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan golongan itu mendapat akses terbaik bagi mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Pengarah Pembangunan OKU JKM, Adnan Abu Bakar berkata, di bawah pengurusan sistem maklumat orang kurang upaya (SMOKU) pendaftaran golongan berkenaan boleh dilakukan secara dalam talian bagi mempercepatkan mereka mendapat kad OKU.
Beliau berkata, hanya dengan mempunyai kad berkenaan, golongan OKU layak memohon pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk mereka.
"Bantuan yang disediakan termasuk tambahan elaun untuk pekerja kurang upaya, elaun penjaga pesakit kronik dan insurans sebagaimana disebut dalam Bajet 2012 baru-baru ini," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Penutup Program Cakna Daftar OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Peringat di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik,
Sebanyak lima PDK menyertai program berkenaan dan berjaya mendaftarkan 300 permohonan. Pada majlis itu juga sebanyak 50 kad OKU telah diproses serta diserahkan kepada pemiliknya.
Adnan berkata, pelaksanaan SMOKU bertujuan meningkatkan kecekapan pendaftaran golongan OKU di kaunter, selain mempercepatkan kelulusan di peringkat negeri.
Beliau berkata, statistik pendaftaran golongan OKU di seluruh negara sehingga Jun lalu berjumlah 331,606 orang.
Menurutnya, OKU yang mempunyai masalah pembelajaran merupakan bilangan tertinggi didaftarkan iaitu seramai 126,000 orang, diikuti cacat fizikal (115,000), pendengaran (40,915), penglihatan (28,732), pelbagai (14,462), mental (5,873 ) dan pertuturan (505).
Di peringkat negeri pula katanya, Selangor mencatat bilangan OKU tertinggi didaftarkan iaitu seramai 48,924 orang, diikuti Johor (37,411), Perak (32,738), Kelantan (28,927) dan Kuala Lumpur (24,535).
"Mereka yang berkenaan perlu mendaftar semula di pejabat kebajikan berhampiran supaya dapat dikenal pasti bantuan lain yang boleh diberikan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_02.htm#ixzz2KfJ4zvzl
© Utusan Melayu (M) Bhd