Monday, March 1, 2010

Orang Kurang Upaya Dan Hak Mereka

Orang Kurang Upaya Dan Hak Mereka


Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Seperti mereka yang berupaya, orang kurang upaya (OKU) juga melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti melancong, bekerja, membeli rumah dan menguruskan perniagaan.

Justeru, bagi memenuhi keperluan dan kehendak khas mereka, Kerajaan telah mewujudkan garis panduan dan peraturan.

Ini termasuklah membina bangunan-bangunan yang mesra OKU, membantu mereka membeli kediaman, mencari rezeki dan pelbagai peruntukan lain yang dianggap penting bagi kebajikan mereka.

Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menggariskan beberapa garis panduan dan peraturan sedia ada yang menjamin kebajikan OKU, sebagaimana yang terkandung dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi.

Peraturan-peraturan itu ialah:

* Akta Cukai Jualan 1972

* Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976

* Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak (Penjagaan), 1950 (Pindaan 1981)

* Akta Harta Pusaka (Peruntukan Keluarga), 1971



PERATURAN

Akta Cukai Jualan, 1972

Sudah sedia maklum bahawa peralatan bantuan atau sokongan untuk OKU boleh menjadi agak mahal. Oleh itu, Kerajaan telah memberi pengecualian cukai jualan ke atas peralatan sokongan, yang diklasifikasikan sebagai peralatan perubatan atau pendidikan.

Dengan mengecualikan cukai jualan, kos yang dijimat disampaikan kepada mereka yang kurang upaya. Justeru, peralatan menjadi lebih murah dan lebih senang perolehi oleh mereka.

Alat-alat sokongan ini termasuk peralatan ortopedik, bantuan pendengaran dan kerusi roda.

Selain pengecualian cukai jualan, mereka juga boleh memohon untuk mendapatkan dana khas untuk membeli motosikal roda tiga dan peralatan lain daripada Yayasan Kebajikan Negara.



Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), 1976

Telah dinyatakan dengan jelas dalam Akta ini bahawa jika berlaku sesuatu perceraian, mahkamah akan membuat peruntukan mengenai penjagaan dan pengendalian kanak-kanak hasil perkahwinan itu. Namun, perintah itu tidak lagi terpakai jika berlaku salah satu daripada keadaan berikut:

* kanak-kanak telah mencapai usia matang iaitu 18 tahun; atau

* kanak-kanak kurang upaya daripada segi mental atau fizikal tidak lagi menderita daripada ketidakupayaan itu.

Dengan peruntukan ini, hak kanak-kanak, terutama yang kurang upaya, dilindungi.

Jadi, jika kanak-kanak kurang upaya diletakkan di bawah jagaan ibu mereka, misalnya, si ibu tidak perlu bimbang kerana perlu mencari pendapatan tambahan untuk menyara kanak-kanak kerana ia adalah tanggungjawab si ayah.

Dan jika si ayah sengaja mengabaikan perintah itu, mahkamah boleh mengambil tindakan terhadapnya.



Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak, 1950 (Pindaan 1981)

Di bawah Akta Wanita Berkahwin dan Kanak-kanak (Penjagaan), 1950, si isteri mempunyai hak untuk menuntut biaya penjagaan daripada suami sebelum perbicaraan perceraian di mahkamah diadakan.

Dan jika si isteri mengalami ketidakupayaan daripada segi mental atau fizikal, mahkamah akan juga mempertimbangkan keadaannya apabila mengeluarkan perintah penjagaan.

Malah, jika si ayah gagal menyediakan biaya penjagaan untuk kanak-kanak kurang upaya, mereka akan membuat pemohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah memaksa si ayah membayar elaun bulanan mereka.



Akta Harta Pusaka (Peruntukan Keluarga), 1971

Akta ini melindungi hak kanak-kanak kurang upaya seandainya ibu bapa mereka meninggal dunia.

Di bawah Akta ini, harta si mati akan diagih secara adil di kalangan semua yang bergantung kepada ibu bapa. Mereka yang bergantung kepada ibu bapa ini merujuk kepada kanak-kanak lelaki atau anak lelaki, yang kurang upaya daripada segi mental atau fizikal, tidak mampu untuk menjaga dirinya sendiri dan seorang anak perempuan yang belum berkahwin atau sesiapa, yang kurang upaya daripada segi mental atau fizikal, dan tidak mampu menjaga dirinya sendiri.

Akta ini seterusnya menjelaskan bahawa jika wasiat si mati tidak menyediakan biaya penjagaan yang mencukupi untuk mereka yang bergantung kepada ibu bapa ini, mereka ada hak untuk memohon supaya peruntukan itu dibahagikan berlainan daripada apa yang ternyata dalam wasiat.



INSENTIF

Selain undang-undang ini, terdapat beberapa insentif lain yang khususnya diwujudkan untuk orang kurang upaya.

Antaranya ialah:

Perumahan

Untuk mengurangkan bebanan kewangan bagi memiliki rumah, Kerajaan, melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada OKU yang berpendapatan rendah. Ini adalah untuk membolehkan mereka memiliki rumah kos rendah atau sederhana.



Pendidikan

Bagi mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya, elaun bulanan diberikan kepada setiap anak untuk menghadiri persekolahan. Pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah diperuntukkan wang sebanyak RM25 setiap seorang; dan RM300 untuk mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Pengangkutan

Sehingga 50 peratus diskaun untuk tiket diberikan kepada orang kurang upaya untuk membantu mereka bergerak. Antara syarikat pengangkutan yang menyediakan khidmat sedemikian ialah Penerbangan Malaysia (MAS), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transnasional dan Syarikat Prasarana Negara. Malah mereka turut dikecualikan daripada membayar cukai jalan.

Bagaimanapun, ia hanya terpakai untuk kenderaan-kenderaan yang diperbuat dalam negeri. Dan mereka juga diberi diskaun 50 peratus ke atas duti kerajaan untuk kenderaan-kenderaan buatan dalam negeri.

Perhubungan

Untuk memastikan akses sama rata untuk berkomunikasi, Telekom Malaysia, melalui Pakej Penyayang, menawarkan sewa bulanan percuma dan kemudahan telefon percuma merangkumi panggilan menunggu dan khidmat panggilan pindahan untuk orang kurang upaya.

Bagaimanapun, untuk menikmati faedah ini, mereka perlu menjadi ahli berdaftar Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) atau mana-mana badan kerajaan yang lain.

Menubuhkan Perniagaan

Orang kurang upaya juga diberi geran permulaan berjumlah RM2,700 untuk tujuan memulakan perniagaan. Geran tambahan turut diberikan untuk memperbesarkan perniagaan.

Persatuan Bagi Orang Buta mempamerkan contoh yang baik dalam menggalakkan semangat keusahawanan apabila mereka menubuhkan rangkaian Kedai-kedai francais, memberi peluang kepada orang buta untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri.

Insentif-insentif yang banyak diberikan kepada OKU direkabentuk dengan tujuan mengurangkan pergantungan kewangan dan lebih penting, untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

Namun untuk membolehkan mereka menikmati manfaat ini, paling penting, mereka perlu mendaftarkan diri mereka dengan JKMM yang kemudiannya akan mengeluarkan Kad Pengenalan Orang Kurang Upaya yang melayakkan mereka meraih faedah-faedah itu.

-- BERNAMA

No comments: