2 persekitaran latih anak istimewa, kurang upaya
Oleh Samsudin Awang
Program PDK Taman Guru Kuantan babitkan keluarga beri peluang kanak-kanak nikmati hidup normal
PENEKANAN terhadap peranan ibu bapa dalam usaha pemulihan dan pendidikan kanak-kanak istimewa, menjadi pendekatan berkesan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Taman Guru, Kuantan untuk pembangunan golongan kurang upaya di situ.
Justeru, PDK Taman Guru mengimbangi peranan pemulihan di pusat itu dengan peranan pendidikan dan kasih sayang daripada ibu bapa sendiri terhadap anak mereka yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).
Kaedah itu diharap dapat mengubah mentaliti ibu bapa yang hanya lepas tangan terhadap penjagaan dan pemulihan anak OKU mereka sebaliknya diserahkan 'bulat-bulat' kepada pihak PDK sedangkan peranan ahli keluarga lebih berkesan dalam melaksana tanggungjawab itu.
Dengan keyakinan tinggi bahawa semua kanak-kanak OKU mampu diberi bimbingan untuk menjalani kehidupan normal, lima pengasuh dan pengajar di PDK Taman Guru, gigih memberi bimbingan kepada apa jua kategori kanak-kanak istimewa yang dihantar ke situ.
Tanpa mengira batas usia dan latar belakang keluarga, seramai 22 OKU diterima masuk ke situ yang berusia antara tiga hingga 20 tahun dari kategori palsi serebrum, spastik, sindrom down, lembam dan hiperaktif.
Kesemua mereka diambil daripada penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Panching melalui pemilihan dan bantuan kebajikan daripada Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC), Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Abdul Manan Ismail, berkata OKU terbabit hanya dibimbing empat jam saja setiap hari di PDK itu, manakala waktu selebihnya, keluarga masing-masing perlu membimbing sendiri di rumah.
"Dengan demikian, setiap yang diajar di PDK akan dapat dipraktikkan di rumah melalui pemantauan ahli keluarga supaya OKU dilatih secara berterusan di dua persekitaran, manakala ibu bapa pula tidak lepas tangan.
"Berbeza dengan PDK lain, kebanyakannya memberi jagaan OKU sehingga lapan jam sehari iaitu hingga habis waktu bekerja ibu bapa, seolah-olah PDK berkenaan berfungsi seperti taman asuhan kanak-kanak (Taska).
"Pendekatan salah itu menyebabkan kanak-kanak OKU terus kekal membesar dengan keadaan sedemikian tanpa dapat dipulihkan hingga ke peringkat mampu belajar di sekolah, berkerja dan sebagainya," katanya.
Abdul Manan berkata, selain bimbingan di pusat berkenaan, pengajar dari PDK itu juga akan melawat ke rumah mereka pada setiap dua minggu untuk melihat perkembangannya dan kaedah pemulihan oleh keluarga mereka di rumah.
Sementara itu, pengasuh di PDK berkenaan, Nurshamsiah Abdul Kadir, berkata dengan yuran hanya RM30 sebulan bagi seorang OKU, mereka akan dibimbing untuk menguruskan diri sendiri seperti mandi, makan, menukar pakaian dan berkomunikasi.
"Bagi yang sudah berusia belasan tahun pula, mereka dilatih untuk membuat kerja ringan seperti menyiram bunga, mencuci pinggan, kerja di kedai runcit dan sebagainya. Walaupun kemahiran berkerja yang dilatih itu tidak mampu memberikan mereka majikan atau mendapat pekerjaan, memadailah sekiranya dapat membantu aktiviti harian keluarga masing-masing.
"Bagi kanak-kanak pula, sasaran kami di PDK ini adalah untuk memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan di sekolah apabila sudah cukup umur kelak, dan bukannya berterusan bergantung di pusat ini," katanya.
No comments:
Post a Comment