Friday, May 23, 2008

Pencapaian KPWKM

PENCAPAIAN KPWKM DALAM PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN MASYARAKAT



Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diberikan tanggungjawab dan amanah untuk menjaga hal ehwal, kebajikan dan pembangunan masyarakat pada bulan April 2004. Dalam masa yang singkat, KPWKM telah berjaya menyelesaikan isu-isu dan masalah yang berkaitan dengan kumpulan sasar, terutamanya kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, orang papa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mangsa-mangsa bencana. Kejayaan yang telah diperolehi semenjak tahun 2004 sehingga kini adalah:
Pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000. Bagi pasangan yang kurang upaya pula, pelepasan cukai tambahan dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,500.


Pemberian elaun bulanan sebanyak RM25 seorang kepada pelajar kanak-kanak kurang upaya yang mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti dan Sekolah Khas kelolaan pertubuhan sukarela kebajikan.


Perbelanjaan makanan dan minuman harian penghuni institusi pemulihan dan perlindungan yang terdiri daripada golongan kanak-kanak, warga tua dan OKU dinaikkan daripada RM3.90 seorang kepada RM8 seorang.


Di bawah Skim Bantuan Kebajikan, kerajaan telah menaikkan bantuan kanak-kanak daripada RM80 seorang kanak-kanak sebulan dan maksimum RM350 satu keluarga kepada RM100 seorang kanak-kanak sebulan dan maksimum RM450. Selain itu, bantuan kepada warga emas pula telah dinaikkan daripada RM135 sebulan kepada RM200 sebulan.


Badan-badan sukarela kebajikan (NGO) warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya tetap mendapat perhatian daripada kerajaan. Pada tahun 2005, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM13 juta bagi pembiayaan geran tahunan kepada 210 NGO kebajikan. Geran yang diberikan ini adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan bagi makan minum penghuni pusat-pusat jagaan yang dikelolakan oleh NGO, perbelanjaan pentadbiran NGO dan gaji guru bagi sekolah-sekolah khas.


Selain daripada geran tahunan di atas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memperuntukkan RM5 juta setahun kepada NGO untuk membiayai aktiviti-aktiviti bagi menjayakan dasar dan program kerajaan. Pemberian geran ini adalah mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.


Pemberian bantuan segera kepada golongan yang memerlukan melalui ahli Parlimen: RM20,000 pada tahun 2004 dan RM30,000 pada tahun 2005.


Penubuhan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) di peringkat negeri, daerah dan kawasan Parlimen pada bulan Julai 2005. Majlis ini ditubuhkan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program dan projek di peringkat akar umbi serta meluaskan outreach KPWKM kepada kumpulan sasar.


KPWKM telah memperolehi kelulusan untuk menubuhkan 10 buah TASKA Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM 1,190,000.00. Projek ini akan bermula pada tahun 2006, dengan TASKA komuniti pertama ditubuhkan di Kompleks Penyayang Bakti di Sungai Buloh, Selangor.


Program menaik taraf institusi-institusi JKM telah bermula pada tahun 2004 dengan peruntukan hanya sebanyak RM23,000. Walau bagaimanapun, pada tahun 2005, KPWKM telah memperolehi peruntukan sebanyak RM10.4 juta bagi memastikan institusi-institusi JKM berada dalam keadaan yang baik demi keselesaan penghuni-penghuninya. Ini merupakan satu pencapaian yang besar kerana KPWKM telah berjaya menaik taraf institusi-institusi JKM dalam tempoh yang singkat.


Bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian KPWKM, tindakan proaktif telah diambil bagi meneliti dan meminda akta-akta yang berada di bawah tanggungjawab KPWKM. Akta-akta ini perlu dipinda dan kemas kini selaras dengan keperluan semasa. Sehubungan itu tindakan meminda telah dilaksanakan ke atas akta-akta berikut:
Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) 1984;

Akta Pusat Jagaan 1993;

Akta Kanak-kanak 2001;

Akta Keganasan Rumah Tangga 1996; dan

Akta Orang Papa 1977.

Pindaan-pindaan ini wajar dilakukan kerana sebahagian besar daripadanya tidak dipinda semenjak akta-akta berkenaan digubal.


Selain itu, KPWKM sedang merangka tindakan susulan ke atas penggubalan Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya. Akta ini bertujuan untuk memastikan kepentingan dan kesejahteraan OKU terpelihara.


Selain itu, KPWKM juga telah melaksanakan kempen-kempen untuk menimbulkan kesedaran di kalangan kumpulan sasar dan masyarakat ke arah kesejahteraan mereka. Antara kempen yang telah dijalankan oleh KPWKM ialah:
Kempen mendaftar OKU bagi memastikan OKU menerima kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan (1 Disember 2005 hingga 31 Januari 2006);

Kempen mesej sosial menerusi media elektronik.



http://www.kpwkm.gov.my/bm/pcn_pencapaianmasyarakat.asp

No comments: