KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengetengahkan lima isu utama berkaitan kakitangan awam dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Mac ini.
Perkara yang akan dibincangkan adalah isu tuntutan kenaikan gaji hampir 1.2 juta kakitangan awam, menambah jumlah kakitangan awam, lanjutan umur bersara, pencen mengikut tempoh perkhidmatan dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun pelbagai perkara akan dibawa dalam perbincangan itu, topik utama yang bakal dikemukakan adalah mengenai semakan gaji kakitangan awam yang kali terakhir dibuat 14 tahun lalu.
“Isu gaji ini penting untuk membela kebajikan pekerja awam supaya mereka lebih bersemangat dan memberi komitmen penuh kepada kepada tugas mereka jika ia dilaksanakan.
“Selain itu, melaluinya budaya rasuah yang sering dikaitkan dengan kakitangan awam akan dapat dibanteras kerana melaluinya ia dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka tanpa perlu melakukan kerja kotor,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Bulan lalu, Perdana Menteri ketika mengulas penyerahan Memorandum Semakan Gaji Anggota Sektor Awam oleh Cuepacs berkata, beliau akan memperhalusi semua hujah Cuepacs dan sebarang keputusan bergantung kepada kedudukan kewangan negara.
Memorandum itu juga mengandungi kadar tuntutan semakan gaji yang diubah sedikit iaitu antara lima hingga 40 peratus, bukannya antara 10 hingga 40 peratus seperti diumumkan sebelum ini.
Kadar bagi Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1 hingga 16) kekal 40 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (Gred 17 hingga 40) kekal 30 peratus dan Kumpulan Pengurusan profesional (Gred 41 hingga 54) kekal 20 peratus.
Cuepacs dalam tuntutan itu berkata, kenaikan gaji wajar diberikan kerana kira-kira 600,000 kakitangan sokongan mungkin berada di bawah paras kemiskinan jika kerajaan tidak membuat semakan gaji dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang.
Omar berkata, selain itu pihaknya juga akan mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk menambah kakitangan awam sebanyak 200,000 terutama dalam bidang profesional seperti doktor, perundangan dan kejuruteraan menjelang 2020.
“Walaupun ada dakwaan sebelum ini yang mengatakan ia tidak perlu kerana kebanyakan urusan pada masa itu akan dijalankan secara elektronik atau tanpa kertas tetapi masih ada banyak kekosongan untuk bidang profesional.
“Jawatan ini perlu diisi kerana kemajuan globalisasi pada masa depan memerlukan kita mempunyai lebih ramai anggota profesional supaya produktiviti sektor awam ini setara dengan negara luar,” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga pihaknya dijangka meminta Perdana Menteri memansuhkan PTK yang dianggap tidak mencapai matlamatnya untuk menguji tahap kompetensi pekerja sektor awam.
“Walaupun jumlah yang mencapai aras 4 iaitu cemerlang agak ramai tetapi mereka dinafikan kenaikan pangkat atau gaji dengan alasan kuota untuk jawatan itu sudah dipenuhi.
“Apa guna kami bersusah payah untuk mendapat keputusan yang baik tetapi tidak mendapat apa yang diingini (naik pangkat dan gaji),” katanya.
Sumber: Berita Harian/18.02.2007
No comments:
Post a Comment