Wednesday, November 14, 2012
Taska OKU bantu ringankan beban ibu bapa
Sinar Harian
6 Oktober 2012
Taska OKU bantu ringankan beban ibu bapa
GEORGE TOWN - Idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan projek perintis Taska Orang Kurang Upaya (OKU) bagi enam kategori kanak-kanak dalam pembentangan Belanjawan 2013 baru-baru ini disifatkan paling baik dalam membantu meringankan beban ibu bapa menjaga golongan berkenaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata cadangan itu juga dapat memberi peluang kepada graduan yang sedang mencari pekerjaan dan ilmu pengetahuan serta bimbingan untuk mengendalikan golongan berkenaan.
"Satu mesyuarat akan diadakan bersama ibu bapa, persatuan OKU dan pihak berkaitan minggu depan bagi membincangkan mengenai penubuhan taska itu dan ia dijangka akan dilancarkan Disember depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Merisik Khabar'anjuran KPWKM di Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong di sini,hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noraini Mohd Hashim dan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman.
Noorul Ainur berkata taska pertama untuk OKU itu nanti diharap dapat dijadikan model dalam mewujudkan taska-taska OKU lain di negara ini.
"Dengan adanya taska OKU itu nanti, ibu bapa boleh menghantar anak-anak kurang upaya sementara mereka boleh keluar bekerja. Cara ini bukanlah untuk melepaskan tanggungjawab ibu bapa menjaga anak kurang upaya, tetapi memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berdikari dan bersama masyarakat," katanya.
Sementara itu, Noorul Ainur menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak atau anggota keluarga dari kalangan OKU supaya mendaftarkan mereka agar mendapat bantuan sewajarnya.
"Jangan disebabkan malu, ibu bapa tidak mendaftarkan anak-anak mereka yang OKU sedangkan, kementerian menerusi JKM menyalurkan pelbagai bantuan, termasuk bantuan bulanan. Ibu bapa perlu mendaftar anak atau ahli keluarga OKU dengan JKM berhampiran supaya kemudahan bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan OKU dapat disediakan," katanya.
Noorul Ainur berkata sehingga kini, hanya 405,441 OKU berdaftar dengan JKM di seluruh negara dan jumlah itu jauh masih rendah kerana pihaknya percaya lebih ramai lagi OKU yang masih belum mendaftar.
Mengulas mengenai program Merisik Khabar, beliau berkata Pulau Pinang adalah destinasi keenam dalam program itu selepas Melaka, Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur dan mengikut perancangan destinasi seterusnya ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di Selangor.
Katanya program yang membabitkan penglibatan semua agensi di bawah kementerian itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu dengan pegawai tertinggi dalam kementeriannya dan menyatakan masalah yang dihadapi agar bantuan sewajarnya dapat diberikan.
"Jika masalah yang dibangkitkan bukan dalam bidang kuasa KPWKM sekalipun kita akan bantu. Saya akan tulis surat kepada agensi berkaitan, sekurang-kurangnya masalah mereka akan didengari di peringkat atasan,” katanya. - Bernama