Tuesday, May 3, 2011

Sunday, May 01, 2011 Kesatuan sekerja harap berita gembira sempena Hari Pekerja

KUALA LUMPUR: Golongan pekerja di negara ini tidak mengharapkan apa-apa, melainkan perkhabaran dan pengumuman gembira berbentuk insentif kewangan daripada kerajaan buat mereka sempena Hari Pekerja yang disambut esok.
Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata pengumuman khabar gembira seperti itu sangat dinanti-nantikan oleh para pekerja yang dilihat sebagai pendorong agar mereka menjadi lebih produktif dan berdedikasi.
“Saya harap agar kerajaan dapat menggubal dasar gaji minimum khususnya untuk pekerja swasta. Tuntutan gaji minimum, saya rasa, ketika ini satu perkara yang relevan memandangkan harga barang dah naik dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Selain itu, beliau berharap agar kerajaan dapat menimbangkan supaya pemberian bantuan sara hidup (Cola) dan cuti bersalin 90 hari dapat dipanjangkan kepada pekerja swasta.
“Jika kita lihat, peningkatan kos sara hidup melibatkan semua pihak. Bukan hanya pada pekerja awam sahaja. Jadi, dengan adanya pemberian Cola kepada pekerja swasta sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Mohd Khalid juga meminta kerajaan supaya peka dan mengambil berat terhadap kebanjiran pekerja asing di dalam negara.
Beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal kemasukan pekerja asing seperti mengadakan perangkaan bilangan tenaga pekerja asing yang diperlukan negara.
“Kemasukan pekerja asing yang ramai akan menjejaskan ekonomi negara selain mengurangkan bilangan pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Saya harap kerajaan dapat adakan satu polisi pekerja asing. Kalau boleh 277 ejen pekerja asing yang ada sekarang dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata para pekerja juga janganlah hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata malah mereka perlu sedar dan mengubah sikap supaya menjadi pekerja yang lebih baik.
Mohd Khalid berkata tanggungjawab kedua-dua majikan dan pekerja dalam melaksanakan program-program yang diilhamkan kerajaan akan membawa kebaikan dan keuntungan kepada negara, sekali gus kepada seluruh rakyat Malaysia.
Justeru, beliau meminta para majikan dan pekerja dapat memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan baik dan berdedikasi dalam mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Insentif kewangan
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yang turut menyuarakan pendapat yang sama, berharap agar berita baik berkenaan gaji dan elaun dapat diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja.
“Saya harap pengumuman berbentuk kewangan itu ada untuk pekerja awam dan swasta. Tidak kira sama ada dalam bentuk elaun atau gaji. Ini kerana dah lama insentif berbentuk kewangan tidak diberi kepada pekerja. Agihan ekonomi negara harus dinikmati semua pihak,” katanya.
Beliau berkata perkara itu merupakan satu keperluan kepada para pekerja supaya mereka boleh hidup dengan lebih sempurna, sekali gus dapat meningkatkan semangat para pekerja untuk bekerja dengan lebih tekun.
Bertemakan “Pekerja Merealisasi Transformasi Negara”, sambutan Hari Pekerja tahun ini akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 Mei, yang dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

No comments: