Tuesday, March 18, 2008

jawatan penyelia di pdk

Jawatan penyelia untuk petugas PDK
03 Feb 2008 04:23 PM


KUALA LUMPUR: Jawatan penyelia akan diwujudkan di semua 379 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara bagi memberi peluang kerjaya kepada lebih 1,400 petugas yang kini menguruskan keperluan pendidikan orang kurang upaya (OKU) di pusat-pusat itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sebahagian daripada peruntukan yang diumum Perdana Menteri bagi pengurusan dan pemulihan OKU, akan digunakan untuk tujuan itu.

Jumaat lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peruntukan sebanyak RM81.1 juta kepada kementerian berkenaan untuk aktiviti pengurusan dan pemulihan OKU.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 181 penduduk di kawasan parlimen Lembah Pantai di bawah Program Mayang di sini Ahad, Shahrizat berkata daripada jumlah peruntukan itu, RM60.15 juta adalah untuk belanja mengurus tahunan manakala RM20.95 juta lagi ialah peruntukan sekaligus.

Peruntukan belanja mengurus meliputi sewa premis (yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM3,000), utiliti (RM1,000), aktiviti dan penganjuran program PDK (dari RM5,000 kepada RM30,000) elaun khas OKU yang hadir ke PDK (daripada RM50 kepada RM150), elaun pekerja PDK (daripada RM500 kepada RM800) serta elaun penyelia PDK (RM1,200).

Beliau berkata peruntukan sekaligus pula meliputi belanja menaik taraf peralatan pemulihan setiap PDK yang dinaikkan dari RM3,600 kepada RM50,000.

Shahrizat berkata dengan adanya peruntukan itu setiap kawasan Dewan Undangan Negeri disasar mempunyai sekurang-kurangnya satu PDK. BERNAMA

No comments: