Monday, February 17, 2014

Dosa Purba Yang Di Lihat Moden


Dosa Purba Yang Di Lihat Moden

by admin on July 11, 2012





by: Mohd Al Adib Samuri



http://www.al-adib.net/


Pengalaman belajar English bersama pelajar dari pelbagai negara membuka ruang kepada saya untuk melihat dunia dengan lebih luas. Saya bertemu dengan ramai manusia yang berstatus Muslim, tetapi mempunyai pelbagai wajah.


“Saya sudah merasa beberapa jenis alkohol di Malaysia. Menarik sekali.” Seorang Muslim Iran yang pertama kali keluar dari negaranya bercerita penuh bangga. Kelab malam di ibu kota Kuala Lumpur dirayapi setiap malam.


Tiadakah arak di Iran, sehingga kamu terpaksa meminumnya di sini?” Saya membalas.

“Ada, tetapi dijual secara haram. Sukar didapati.” Lelaki 10 tahun muda daripada saya itu menjawab. Kemudian dia menyambung, “saya rasa ingin tukar mazhab. Jadi Sunni mungkin lebih mudah daripada menganuti Shiah.” Dia menambah yang dirinya begitu tertarik dengan keterbukaan negara Sunni seperti Malaysia, yang bebas untuk membuat dosa apa sahaja.

Bodoh! Hati saya membentak

“Kamu hendak ikut saya pada malam ini?” Anak muda Iran itu mengajak rakan sebelah kirinya, seorang Russian setelah tahu saya adalah seorang Sunni yang taat. Hampir setiap hari dia akan bercerita tentang kelab malam yang baru dikunjungi, arak dan makanan haram yang diratah di bumi Malaysia ini.

Kehidupan sosial yang beraktivitikan maksiat.

Kelab Sosial Pelbagai Nama dan Jenama

Kelab hiburan, diperindahkan sebutannya oleh P. Ramlee sebagai Kalabul Malami, memang destinasi yang menjadi pilihan bagi hati-hati yang menggemarinya. Malahan, media dan produksi tv di Malaysia tidak jemu memaparkan kelab malam sebagai destinasi pelepas tekanan perasaan, penghilang penat dan pengubat masalah hidup yang membelenggu. Medan pertemuan manusia socialite ini hanya beroperasi apabila menjelang malam hari, malah pengusaha di Malaysia menjadi terlebih Barat dengan membukanya sehingga lewat pagi. Malah, pada tahun 2010, terdapat menteri Malaysia yang hilang pedoman dengan memperuntukkan sejumlah dana kepada industri kelab hiburan bagi menarik minat pelancong luar. Nampaknya, budaya ‘clubbing’ tidak pernah hilang pada dada para pencinta dan pejuang maksiat. Budaya ini akan terus dipertahankan dalam jalur kehidupan mereka.

Lebih malang, apabila terdapat serbuan daripada pihak berkuasa agama terhadap kelab hiburan, pelbagai pihak bangkit mengkritik. Para liberalis akan kepanasan berhujah bahawa kesalahan moral tidak patut diangkat sebagai suatu perundangan, malah dosa peribadi tidak patut diambil tahu oleh pemerintah negeri. Para kapitalis pula asyik mengira figur kerugian yang tidak pernah ditunjukkan dengan kajian empirikal. Para pendukung sekularis juga bersuara sumbang mengkritik negara ini jangan cenderung mengikut jalan Taliban. Dunia moden ini menyaksikan pendosa dan ahli maksiat seringkali kelihatan terbela.

Tempat-tempat berkumpul ini tidak hanya berjenama kelab malam atau kelab hiburan. Malahan, ada juga berlabelkan pusat kesihatan, pusat kecergasan dan rumah kelab. Namun, kandungan dan aktivitinya sama.

Dosa Purba

Sebenarnya, cara hidup ber‘clubbing’ yang sering dilihat moden itu adalah maksiat purba yang telah lama wujud dalam peradaban manusia. Aktiviti yang kelihatan ‘cool’ itu adalah warisan daripada Kaum Nabi Lut.

أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ

Maksud: Kalian melakukan hubungan seks bersama lelaki, merompak di jalanan dan mendatangi tempat pertemuan untuk melakukan munkar. (al-Ankabut: ayat 29)

Kebanyakan kita hanya tahu bahawa kemurkaan Allah yang menimpa Kaum Nabi Lut disebabkan oleh kecenderungan orientasi seksual mereka yang melawan fitrah yang ditetapkan Allah. Sebenarnya, mereka turut melakukan dua lagi dosa iaitu merompak dan mendatangi kelab pertemuan untuk melakukan maksiat dan mungkar, sebagaimana yang diterangkan dalam ayat di atas. Apabila Nabi Lut berdakwah kepada mereka untuk meninggalkan tiga maksiat tersebut, mereka mencabar Allah dan Rasul-Nya agar segera menurunkan azab yang diancam ke atas mereka.

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa manusia sudah ber’clubbing’ semenjak zaman dahulu lagi dan bermaksiat di dalamnya. Perkataan ‘nadi’ itu bermaksud tempat pertemuan orang untuk berkomunikasi, sebagaimana dijelaskan oleh al-Isfahani. (al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Lubnan: Dar al-Makrifah, jil. 1, hlm. 486) Perkataan mungkar dalam ayat itu pula ditakrifkan oleh al-Isfahani sebagai setiap perbuatan yang dinilai oleh akal yang sihat sebagai suatu yang buruk atau jika tidak ditetapkan oleh akal tentang keburukan dan kebaikannya, syariat telah menganggapnya sebagai suatu yang buruk. (al-Isfahani, al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Lubnan: Dar al-Makrifah, jil. 1, hlm. 505) Rumusannya, perbuatan berkumpul di suatu tempat pertemuan untuk melakukan kemungkaran telah lama dijadikan budaya hidup Kaum Lut. Apabila menyebut kemungkaran, segalanya terhimpun di tempat itu, sama ada meminum arak, menikmati seks terlarang mahupun berjudi.

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa “kaum Lut melakukan dan membicarakan sesuatu yang tidak wajar di tempat pertemuan mereka yang mereka berkumpul padanya dan tidak mengingkari perbuatan mungkar yang dilakukan antara satu sama lain.” Terdapat banyak pandangan ahli tafsir tentang jenis kemungkaran yang Kaum Lut lakukan. Mujahid berpandangan bahawa Kaum Lut melakukan hubungan seksual di hadapan khalayak awam. Terdapat juga pendapat yang mengatakan mereka suka melaga binatang (bagi tujuan perjudian). (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Fikr, 1401H, jil. 3, hlm. 412) Terdapat suatu hadith yang menerangkan maksud ayat ini. Ummu Hani’ melaporkan bahawa:

سألت رسول الله عن قوله تعالى ( وتأتون في ناديكم المنكر ). قال: يخذفون أهل الطريق ويسخرون منهم .

Aku bertanya kepada Rasulullah tentang maksud ( وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ ).

Baginda menjawab: “Mereka melontar batu kepada pengguna jalan raya dan mengejek-ngejek mereka.” (Muhammad bin Isa, Sunan al-Tirmizi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, jil. 5, hlm. 342, no. Hadith: 3190. Dihukumkan sebagai hasan oleh al-Tirmizi.)

al-Mubarakfuri ketika memberi komentar terhadap hadith di atas telah mengumpulkan pelbagai pendapat tentang jenis kemungkaran yang dilakukan oleh Kaum Nabi Lut, sebagaimana yang disenaraikan oleh Ibn Kathir. Selain kemungkaran yang dinyatakan oleh hadith di atas, Aisyah melaporkan bahawa mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki secara terbuka di hadapan orang di tempat itu. (al-Mubarakfuri, Muhammad Abd al-Rahman bin Abd al-Rahim. Tuhfat al-Ahwazi, Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiyah, jil. 9, hlm. 36.)

Daripada perbincangan ini, jelaslah bahawa setiap perbuatan mungkar yang dilakukan di suatu tempat secara beramai-ramai sememangnya mendapat kemurkaan Allah. Ini kerana maksiat dan kemungkaran itu dilakukan secara terbuka, malah pelakunya merasa bangga serta tiada seorang pun menegur antara satu sama lain agar perbuatan itu dihentikan. Maksiat ‘clubbing’ yang klasik ini nampaknya terus bertahan di dunia moden dan tidak banyak inovasi yang ditawarkan oleh syaitan. Ringkas sahaja, arak, judi, muzik dan seks!

Hidup bersosial tanpa dosa

Mengapa perlu bersosial di premis penuh fitnah dan membuka pintu kepada pelbagai dosa?

Tidak salah untuk duduk berkumpul, berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama. Ini kerana manusia memang dicipta Allah sebagai makhluk yang suka bersosial. Namun, interaksi sesama manusia perlulah berada atas landasan taqwa, iaitu rasa takut kepada Allah. Manusia yang berhubung dengan manusia lain atas dasar takut kepada Allah akan mencetuskan momentum untuk lebih dekat kepada Allah.

Hakikatnya, manusia berhubungan mengikut kecenderungan rohnya. Kaki masjid akan selesa berbicara dengan orang yang turut suka menghidupkan masjid. Manakala, ahli maksiat akan lebih gembira untuk melakukan dosa apabila duduk bersama-sama rakan sejenisnya. Dua jenis manusia ini sukar sekali berhubung hati. Inilah maksud bagi hadith yang dinyatakan oleh Rasulullah:

الْأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فما تَعَارَفَ منها ائْتَلَفَ وما تَنَاكَرَ منها اخْتَلَفَ

Maksud: Ruh adalah seperti bala tentera yang terkerah, maka sesiapa yang mereka kenali, mereka akan bersamanya. Dan sesiapa yang mereka tidak kenali, mereka tidak akan bersama. (al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar Ibn Kathir, 1987, jil. 3, hlm. 1213, no. Hadith: 3158.)

Kita punya pilihan untuk memilih untuk bersosial bersama ‘roh’ yang bagaimana dan di mana