Saturday, February 26, 2011

Perlu bijak tangani tekanan

Perlu bijak tangani tekanan

http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story8798243.asp

BENTONG – Penyelia dan petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sememangnya terdedah kepada tekanan di tempat kerja kerana perlu mengendalikan pelbagai karenah golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu bapa mereka.

Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Pembangunan OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Suriani Mohd berkata, mereka memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk memastikan perjalanan tugas diamanahkan berjalan lancar.

Menurutnya, tidak semua orang mampu mengendalikan golongan OKU dengan baik dan komitmen penyelia dan petugas PDK sememangnya amat diperlukan.

“Berdepan dengan tekanan sememangnya sesuatu yang amat perit namun ia boleh ditangani dengan baik menerusi pelbagai langkah termasuk mengenal pasti jenis tekanan dan mengikuti langkah terbaik untuk menyelesaikannya.

“Semua orang mempunyai masalah dalam kehidupan masing-masing namun apa yang membezakan ialah cara menangani tekanan itu sebaik mungkin,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengurusan Tekanan 2011 Daerah Bentong bertempat di Cherengin Hill, Janda Baik.

Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Shahrulnizam Abdul Aziz dan semua penyelia dan petugas dari enam PDK daerah ini.

Suriani berkata, ilmu yang diperoleh daripada bengkel itu perlu dimanfaatkan penyelia dan petugas PDK sebaik mungkin supaya tekanan tidak menjejaskan mutu kerja.

Menurutnya, pengurusan tekanan yang bijak dapat membantu seseorang itu berjaya dalam kerjaya dan kehidupan seharian.

Dalam perkembangan lain, Suriani berkata, terdapat tiga PDK baru diwujudkan di negeri ini untuk 2011 menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 45 buah.

Menurutnya, pertambahan PDK selari dengan kesedaran ibu bapa yang menyedari kepentingan menghantar anak OKU mendapat rawatan dan pemulihan disediakan di sini.

No comments: