Date : 08/03/2011
Title Kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seluruh Malaysia
KUANTAN, 8 Mac 2011 -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) beramah mesra dengan kanak-kanak Orang Upaya Upaya (OKU) ketika merasmikan Kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seluruh Malaysia di sini, hari ini.
Kursus selama seminggu itu disertai oleh 125 peserta dari Pahang, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.
Source : fotoBERNAMA
Speeches
By : Datin Paduka Seri Rosmah Mansor
Date : 08/03/2011
Venue : THE ZENITH HOTEL, KUANTAN, PAHANG
Title : MAJLIS PERASMIAN KURSUS KEMAHIRAN KEJURULATIHAN UNTUK PENYELIA PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK) SELURUH MALAYSIA
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama hadir pada pagi yang cukup bermakna ini sempena Majlis Perasmian Kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh Malaysia. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para penyelia pusat PDK yang datangnya dari negeri Pahang, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.
Dari Beluru ke Kampung Bintang
Singgah bertanak di Pulau Malang
Selamat datang ke negeri Pahang
Rakyatnya mesra tidak terbilang
Para Hadirin sekalian,
2. Saya sangat berbangga kerana BAKTI melalui Program Semai Bakti telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program seumpama ini kepada para penyelia pusat-pusat PDK bagi kumpulan pertama pada tahun ini.
3. Saya pasti ramai di antara hadirin sekalian yang sedia maklum tentang Program Semai Bakti, namun di kesempatan ini, izinkan saya memaklumkannya secara sepintas lalu mengenai Program Semai Bakti. Ianya merupakan program khusus untuk menyalurkan khidmat bakti kepada golongan OKU di peringkat negeri. Sejak ia mula diasaskan, Program Semai Bakti telahpun menyumbang kepada pembangunan golongan OKU melalui pelbagai aktiviti sosial bagi membantu meningkatkan keupayaan diri golongan tersebut. Antara aktiviti yang telah dijayakan ialah dengan penganjuran pelbagai kursus kepada para penyelia dan petugas pusat PDK serta pemimpin komuniti setempat, membaik pulih prasarana PDK, serta meningkatkan lagi mutu kemudahan latihan dan pemulihan PDK.
4. Selain itu, program ini juga turut membantu mewujudkan rangkaian jalinan kerjasama atau networking dengan mengenalpasti pakar-pakar dari pusat pengajian tinggi serta badan-badan professional yang berkaitan bagi membantu meningkatkan lagi kualiti pengisian aktiviti-aktiviti di bawah Program Semai Bakti. Program ini merupakan usahasama BAKTI, Badan Amal Negeri, pihak kerajaan dan pihak swasta yang bergabung tenaga bagi melahirkan rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat terhadap golongan masyarakat yang memerlukan. Ini amat bersesuaian dengan seruan YAB Perdana Menteri kita yang ingin melihat terbinanya sebuah negara Malaysia yang masyarakatnya prihatin dan penyayang. Saya juga mempunyai kepercayaan penuh bahawasanya di bawah gagasan 1Malaysia, keadilan dan kesaksamaan digunapakai bukan hanya kepada mereka yang sempurna sifatnya sahaja, malahan ia juga meliputi golongan kelainan upaya ini.
Para Hadirin sekalian,
5. Memang tidak dinafikan lagi bahawa peranan para penyelia serta petugas pusat PDK adalah amat penting memandangkan merekalah yang bertanggungjawab bagi memastikan tugas-tugas penyeliaan, pengurusan serta pentadbiran di pusat PDK lebih efisien dan efektif. Oleh yang demikian, melalui penganjuran kursus ini, saya berharap setiap penyelia dan petugas di pusat PDK dapat memberikan bimbingan yang sewajarnya kepada golongan kelainan upaya ini seterusnya mendidik mereka dengan cara dan metadologi yang betul.
6. Saya dimaklumkan bahawa kursus pada kali ini menjurus kepada pengenalan kepada autisma dan kemahiran asas kaunseling. Subjek autisma ini ataupun dikenali sebagai ‘Autistic Spectrum Disorder' merupakan gangguan perkembangan fungsi otak yang kompleks. Biasanya gangguan perkembangan ini meliputi cara berkomunikasi, berinteraksi sosial dan kemampuan berimaginasi. Menurut kajian daripada National Centre on Birth Defects and Developmental Disabilities (NCBDDD), kadar autisma telah meningkat daripada 4:10,000 kanak-kanak pada tahun 1990 kepada 1:150 kanak-kanak pada tahun 2008. Di Malaysia umumnya, dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah itu dan statistik pada tahun 2010 mendapati kira-kira 47,000 penduduk di negara ini mengalami autisma. Oleh sebab itu, Program Semai Bakti telah memberi penekanan kepada subjek autisma ini kerana pendedahan awal mengenainya mampu memberi sinar harapan baru kepada kanak-kanak autisma di negara kita.
7. Dalam hubungan ini, para penyelia dan petugas pusat PDK akan diajar dengan kemahiran dari segi strategi pengajaran dan pembelajaran berstruktur ataupun structured teaching supaya mereka boleh memberi bimbingan kepada kanak-kanak yang menghidapi autisma ini. Pendekatan yang telah diperkenalkan oleh University of North Carolina ini lebih menjurus kepada sokongan visual supaya mereka mampu mengikuti silibus pembelajaran di dalam kelas dengan lebih sempurna. Dalam keadaan ini, sekiranya mereka tidak boleh memproses maklumat verbal, masih lagi terdapat saluran visual untuk membantu mereka memproses maklumat. Tambahan lagi, sekiranya mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan menggunakan keupayaan yang ada, maka mereka akan lebih senang mengingat. Bak kata pepatah orang tua, "Saya dengar; saya lupa, saya lihat, saya tahu; saya buat, dan saya faham". Justeru. seberapa yang boleh, kita perlu berusaha untuk memberi bimbingan yang terbaik kepada kanak-kanak autisma ini waima dengan apa cara sekalipun.
8. Selain itu, saya telah difahamkan kursus ini juga menekankan aspek kemahiran asas kaunseling. Pada hemah saya, kecekapan menguasai kemahiran asas kaunseling ini sangat berguna ketika berhadapan dengan kebanyakan kanak-kanak autisma yang berada di dalam ketidakseimbangan emosi dan psikologi. Di antara kemahiran asas yang perlu dipelajari oleh para penyelia dan petugas PDK adalah seperti kemahiran membina perhubungan, mengalakkan kanak-kanak autisma ini berkomunikasi, kemahiran membalas dan menyoal, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran membina refleksi perasaan, kemahiran memfokus, kemahiran menghadapi kesenyapan serta kemahiran membuat interpretasi. Justeru, melalui kursus kemahiran asas kaunseling ini, saya berharap para penyelia serta petugas PDK akan menjadi ‘kaunselor' dan seterusnya mengaplikasikan segala kemahiran yang dipelajari serta memahami strategi-strategi dalam meningkatkan tahap dan kualiti pembelajaran di dalam kelas supaya kanak-kanak autisma ini mampu berdikari.
Para Hadirin sekalian,
9. Walaupun kebanyakan kanak-kanak autisma ini mempunyai gangguan perkembangan mental, namun melalui pendidikan sewajarnya mereka mampu memiliki kehidupan yang lebih baik, malah mungkin lebih berjaya daripada individu normal. Kanak-kanak autisma yang disangka kurang bijak, sebenarnya mereka lebih bijak daripada pelajar lain, kerana lazimnya kecenderungan mereka adalah dalam bidang matematik, lukisan dan muzik, cuma mereka terkongkong dalam dunia sendiri. Nyatanya di sini, kanak-kanak autisma ini juga boleh belajar di sekolah biasa dan berjaya dalam pelajaran.
10. Malangnya, kurang pengetahuan serta kesedaran di kalangan ibu bapa dan guru-guru telah menyebabkan ramai kanak-kanak autisma membesar di bawah paras kemampuan sebenar. Sikap masyarakat yang kurang berpengetahuan menyebabkan mereka terus terasing dalam kelompok kecil sedangkan jika diberi pendidikan khas, mereka mampu menjalani kehidupan normal. Jelasnya, masyarakat sering menganggap kanak-kanak ini tidak mampu berkomunikasi atau bergaul manakala ibu bapa pula sering bertelagah kerana tekanan situasi.
11. Saya ingin menasihati ibu bapa dan guru-guru, meskipun golongan istimewa ini mempunyai kebolehan yang terbatas, mereka seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada kanak-kanak autisma ini dalam apa jua bidang yang mereka ingin pelajari. Melalui program Semai Bakti ini, kami menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk kanak-kanak autisma dengan keperluan khas dan menyediakan pendidikan yang sesuai serta relevan, malahan menyediakan peluang seluas-luasnya kepada kanak-kanak autisma ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri. Untuk itu, saya berharap sebarang usaha Program Semai Bakti seharusnya perlu lebih kolaboratif dengan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta masyarakat dan dibuat secara kolektif untuk mencapai hasil yang lebih baik kerana kanak-kanak autisma mempunyai keistimewaan tersendiri. Potensi inilah yang tidak dapat dilihat oleh ibu bapa sebaliknya ia perlu dicungkil dengan mekanisme pendidikan khas. Adalah menjadi harapan saya dan seluruh jawatankuasa Program Semai Bakti ingin melihat kanak-kanak autisma ini membesar sebagai seorang dewasa, mempunyai kerjaya, serta keluarga mereka sendiri.
Para Hadirin sekalian,
12. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang prihatin terhadap kesejahteraan golongan kelainan upaya ini, saya percaya bahawasanya peranan NGO telah membantu meringankan beban kerajaan, masyarakat serta ibu bapa. Kita sedar bahawa pihak kerajaan serta agensi bertanggungjawab telah sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada golongan ini, malahan pelbagai kemudahan dan infrastruktur telahpun diwujudkan. Namun begitu, atas dasar prihatin, BAKTI sedar yang kita harus sama-sama berganding bahu dengan pelbagai pihak, tidak kiralah dari pihak kerajaan, NGO, serta badan-badan korporat. Kita yakin jika kesedaran begini kian meluas ditambah pula dengan sokongan dan dorongan pelbagai pihak, maka semakin ramailah golongan kelainan upaya ini dapat menikmati kemudahan ini.
13. Adalah menjadi harapan saya agar kerja-kerja amal serta khidmat bakti ini dapat dicontohi dan dijadikan rolemodel kepada NGO yang lain. Ingin saya mengingatkan badan-badan sukarela serta badan-badan korporat agar sentiasa memberi perhatian sewajarnya terhadap kepentingan rakyat terutamanya golongan kelainan upaya di dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka sehari-hari. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak supaya tampil memberikan sokongan dari segi kepakaran, pendidikan mahupun wang ringgit kerana setinggi mana Gunung Ledang, tinggi lagi hajat kami agar golongan istimewa ini dapat sama-sama menikmati kemakmuran dan kesejahteraan negara Malaysia.
14. Lantaran itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan, ucapan terima kasih serta syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa Program Semai Bakti di atas usaha serta komitmen berterusan dalam memberikan khidmat bakti kepada golongan istimewa ini. Rasa penghargaan dan terima kasih juga kepada isteri YB Menteri Besar-Menteri Besar dan Ketua Menteri di atas komitmen dan kerjasama jitu bagi menjayakan kursus ini. Mudah-mudahan sumbangan serta usaha kerdil kita ini diterima oleh Allah dan menjadi pemberat amalan kita di akhirat kelak. Ingatlah janji Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 7,"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya".
Hadirin yang dihormati sekalian,
Puan datang dari dekat dan dari jauh
Memanjat tujuh gunung
Menyeberangi tujuh lautan
Akhirnya sampai juga ke tempat kami
Agar,
Apa yang dijahit, manjadi baju
Apa yang ditanam, cepat tumbuh
Apa yang disiram, basah
Apa yang dijemur, kering
Apa yang ditawar menjadi murah
Apa yang dijual, cepat dibeli
Puan umpama geliga sakti
Apa dipelajari mesti menjadi
Demi kepentingan anak negeri
15. Akhir kata, dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Kursus Kemahiran Kejurulatihan Untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Seluruh Malaysia.
Sekian, Wabilahi Taufik Walhidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima Kasih.
No comments:
Post a Comment