Wednesday, March 23, 2011

Ibubapa Anak Istimewa Perlu Tabah

Ibubapa Anak Istimewa Perlu Tabah

http://alkindi10autisme.blogspot.com/2010/05/ibubapa-anak-istimewa-perlu-tabah.html


ANAK istimewa adalah anugerah Tuhan yang paling berharga. Apa yang perlu dititikberatkan ibu dan bapa ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.

Menurut Ketua Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Sharifah Zainiyah Syed Yahya, ibu bapa perlu memahami kekuatan dan kelemahan anak-anak ini ketika membimbing mereka.

"Anak istimewa ialah ahli syurga yang dikurniakan Tuhan kepada sesebuah keluarga. Alangkah bertuah keluarga tersebut kerana memelihara mereka.

"Namun sudah tentu timbul pelbagai isu dan cabaran berkaitan penjagaan anak-anak ini. Begitu juga dengan implikasi yang timbul selepas kelahiran anak istimewa ini,'' ujar bekas presiden Persatuan Sindrom Down ini.

Sebagai seorang ibu yang juga mempunyai anak remaja istimewa (sindrom down), Sharifah Zainiyah turut berkongsi pengalaman mendalami perasaan ibu bapa yang dikurniakan anak-anak seperti ini.

Tidak dapat terima

Ujarnya, biarpun melalui fasa-fasa yang berbeza ibu bapa pasti pada mulanya berasa terkejut. Ada yang tidak dapat menerima keadaan anak mereka di samping perasaan bersalah dan marah. Namun akhirnya reda dengan kurniaan itu.

Tambahnya, persepsi masyarakat terhadap anak istimewa juga berbeza. Mereka dilihat sebagai liabiliti (beban) dan bukan sebagai aset. Ada sebilangan kecil masyarakat yang berpandangan golongan ini tidak perlu dibantu atau berbuat apa-apa kerana mereka 'cacat'.

Malah ada yang menganggap terlalu mahal untuk membuat sebarang perubahan bagi membantu mereka. Apa lagi menubuhkan penempatan pendidikan khas, infrastruktur fizikal, tempat-tempat khusus dan pengangkutan awam.

Sharifah Zainiyah berkata, sebelum ibu bapa dapat menjaga anak-anak istimewa dengan baik, mereka perlu menangani isu-isu dan cabaran yang mereka bakal hadapi secara berkesan.

"Ibu bapa berperanan memberi yang terbaik untuk anak istimewa ini termasuk dari segi kasih sayang, kesabaran dan interaksi. Beri peluang anak untuk berinteraksi dengan masyarakat.

"Daftarkan mereka di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri dan dapatkan Kad Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) serta beri peluang anak ke sekolah dengan menjalani program pendidikan khas,'' jelasnya.

Ujarnya, anak-anak OKU perlu dibawa ke hospital sekiranya mereka memerlukan rawatan akibat komplikasi kesihatan umpamanya jantung, mata, pendengaran dan lain-lain.

Anak-anak istimewa perlu dididik dengan nilai-nilai murni, berikan teguran sekiranya mereka melakukan kesalahan dan berikan pujian apabila melakukan sesuatu yang baik.

Tambahnya, terdapat empat kesan utama yang bakal dihadapi oleh ibu bapa dan keluarga OKU terhadap tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang memerlukan penjagaan spesifik seperti ini.

Kesan yang pertama, masa yang lebih banyak diperuntukkan oleh ibu bapa dan keluarga untuk melakukan penjagaan terhadap anak-anak istimewa berbanding aktiviti rumah tangga dan sosial lain.

Kesan kedua ialah impak kepada pekerjaan keluarga apabila mereka terpaksa membahagi masa antara tugas penjagaan dan pekerjaan mereka, sama ada terpaksa berhenti kerja atau menghalang mereka untuk menerima tawaran bekerja yang baik.

Kesan yang ketiga ialah keadaan kewangan keluarga yang turut terjejas memandangkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk rawatan, penjagaan dan pendidikan anak-anak khas ini.

Pada masa yang sama ada ibu bapa yang terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan mereka.

Tekanan psikologi

Sudah pasti kesan yang keempat ialah tekanan psikologi yang dialami oleh penjaga yang seringkali dikaitkan dengan kepenatan yang tidak terhingga, kehilangan atau ketiadaan privasi diri, sentiasa berada dalam kebimbangan dan keresahan mahupun perasaan malu, sedih, kecewa, sakit hati dan gelisah.

Justeru, Sharifah Zainiyah turut memberi panduan kepada ibu bapa bagi mengurangkan kesan atau impak tersebut.

Beliau meminta penjaga memperuntukkan masa dengan cekap dalam membahagikan tugas penjagaan serta kerja rumah.

"Minta ahli keluarga lain membantu sama dalam dalam urusan penjagaan. Latih anak istimewa ini berdikari dengan mengajar mereka makan sendiri, mandi dan pakai baju sendiri.

"Maklumkan kepada ketua atau majikan tentang anak istimewa dan kekangan yang anda hadapi. Lakukan kerja mengikut keutamaan dan dateline. Sekiranya diperlukan, mohon bantuan rakan sekerja,'' tegasnya.

Ibu bapa juga tegasnya, perlu bijak merancang kewangan, berjimat cermat dan mengurus kewangan dengan cekap.

Sekiranya mengalami kekurangan dalam kewangan ibu bapa boleh melakukan kerja sambilan.

Bagi ibu bapa yang mengalami tekanan psikologi, mereka perlu tahu menguruskan perasaan yang dalam keadaan tertekan akibat penat dan rasa rendah diri.

"Di negara maju mereka mempunyai pusat-pusat penjagaan respite bagi membantu penjaga yang menghadapi tekanan untuk 'bernafas' semula meringankan tekanan atau dapatkan bantuan pakar sekiranya tidak dapat tangani masalah ini sendirian.

"Bagi kakitangan perkhidmatan dalam komuniti (PDK) pula, fahami kekuatan dan kekurangan anak-anak istimewa. Sematkan bentuk teknik pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada kekuatan anak-anak ini untuk membentuk kaedah pembelajaran yang menyeronokkan.

"Ibu bapa, kakitangan PDK serta masyarakat setempat dapat berganding bahu dan memain peranan yang sepadu dalam penjagaan dan pendidikan anak-anak istimewa,'' katanya.

Sharifah Zainiyah berkata, fasa pembesaran anak-anak ini dari lahir hingga tiga tahun akan mengalami perkembangan otak paling cepat.

Oleh itu paling penting menjalani program rangsangan bayi yang disediakan di PDK atau NGO atau melakukannya sendiri di rumah.

Beri juga kefahaman kepada anak-anak lain tentang kedudukan abang, adik atau kakak mereka dan kenapa lebih perhatian perlu diberikan kepadanya.

Pupuk kasih sayang di kalangan semua ahli keluarga, bina sokongan keluarga yang kuat dan padu.

Pada fasa tiga hingga enam tahun, ketika perkembangan otak masih berjalan, ibu bapa perlu dedahkan anak kepada early intervention program yang disediakan di PDK dan juga NGO.

"Harapan kami sebagai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar mereka ini satu hari nanti mampu hidup berdikari. - Rosmah Dain

No comments: