Wednesday, August 18, 2010

Tingkat kualiti hidup, cungkil bakat baru golongan OKU

Tingkat kualiti hidup, cungkil bakat baru golongan OKU

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm


SEREMBAN 18 Mac - Penganjuran sukan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) diyakini mampu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baru selain meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir berkata, ia selaras dengan penggubalan Akta OKU 2008.
Katanya, akta itu menggalakkan pembangunan kualiti hidup golongan terbabit dengan memberikan akses terhadap aktiviti rekreasi, santai dan sukan.
''Adalah menjadi hasrat kerajaan agar kemakmuran negara dapat dikongsi bersama oleh semua golongan dan lapisan masyarakat negara ini termasuk golongan OKU.
''Semangat kesukanan yang diterap ke dalam masyarakat OKU mampu meningkatkan kualiti hidup yang setanding dengan manusia yang normal selain ia mampu mencungkil kebolehan dan bakat baru di kalangan mereka," katanya.
Zainab berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kejohanan Special Olympics peringkat Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mizan Maulud dan Pengarah Serantau Yayasan CIMB, Noor Azam Abd Jalili.
Katanya lagi, penglibatan masyarakat melalui pihak korporat, NGO dan ibu bapa OKU penting dalam memajukan dan menentu hala tuju golongan OKU.
''Masyarakat perlu bekerjasama agar tidak berlaku penindasan, keciciran dan konflik kepada golongan OKU kerana mereka adalah anugerah tuhan," ujarnya.
Dalam pada itu, Yayasan CIMB turut telah menaja sejumlah RM50,000 bagi kejohanan sukan tersebut dan penyerahan cek telah disampaikan oleh Noor Azam kepada Zainab sendiri.
Kejohanan sukan tersebut telah disertai seramai 240 peserta OKU dari 35 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.
Kejohanan sukan ini telah bermula pada 14 Mac lalu yang menyaksikan lapan acara dipertandingkan iaitu acara balapan seperti larian, lompat jauh, bola lisut dan bola sepak.

No comments: