Wednesday, August 18, 2010

cabaran melatih golongan OKU

Cabaran melatih golongan istimewa

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
editjohor@utusangroup.com.my


JULAIHA Mohd. Tap mengajar membuat kraf tangan menggunakan kain terpakai kepada pelajar baru-baru ini.
________________________________________

BATU PAHAT 2 Dis. – Mendidik dan menjaga anak-anak istimewa seperti hiper aktif, lembam dan lemah anggota memang bukan tugas mudah apatah lagi untuk mengajar sesuatu kepada mereka.
Tugas itu memerlukan kekuatan jiwa dan semangat yang kental sehingga mereka boleh berdikari atau menguruskan diri sendiri serta dapat bergaul dengan masyarakat tanpa rasa malu.
Ia juga memerlukan semua petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) harus sentiasa bersabar dan menjadikan kerja mereka sebagai sesuatu yang menyeronokkan walaupun ia amat menguji kesabaran.
Bagi tenaga kerja PDK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, melayan kerenah anak-anak istimewa yang berusia semuda enam sudah sebati dalam kehidupan seharian mereka.
Walaupun ada masanya kesabaran diuji dengan kerenah yang kadangkala amat sukar untuk dikawal, tetapi mereka tetap sentiasa prihatin dengan masalah anak-anak tersebut tanpa rasa jemu.
Penyelia PDK DUN Semerah, Salimah Dikin, 42, berkata, kesabaran dan kekuatan semangat mesti utuh kerana mereka sebenarnya tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
“Bertugas di PDK ini memang kena banyak bersabar dan sentiasa prihatin dengan apa yang mereka lakukan, ada ketikanya mereka mengamuk dan merajuk sehingga mengganggu rakan-rakan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, semua masalah itu harus ditangani dengan bijak dan kerjasama ibu bapa serta penjaga anak-anak istimewa ini amat diperlukan.
Setakat ini, PDK DUN Semerah mempunyai tiga tenaga pengajar yang bertanggungjawab melatih anak-anak tersebut melakukan pelbagai latihan dan aktiviti.
Julaiha Mohd. Tap, 40, yang bertanggungjawab mengajar pelatih PDK berusia 17 tahun ke atas membuat barangan kraf tangan dan sulaman yang dijadikan sebagai satu sumber pendapatan memberitahu, walaupun golongan berkenaan mempunyai pelbagai kelemahan, tetapi mereka mudah memahami tunjuk ajar yang diberikan.
“Kadang-kadang mereka leka sekejap tetapi kita kena pandai melayan dengan baik. Biasanya dalam usia 17 tahun ke atas agak mudah untuk mengawal dan melatih mereka,” katanya.
Bagi Zaliza Ahmad, 25, pula, melatih kanak-kanak istimewa yang berusia 13 tahun ke atas mengurus diri dan bertani amat menyeronokkan.
“Walaupun pada mulanya agak sukar untuk melatih mereka, tetapi saya seronok melakukan kerja ini kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada ibu bapa serta rakan-rakan lain.
A. Faisal A. Rahman, 29, yang melatih kanak-kanak istimewa berusia 12 tahun ke bawah dengan membantu mereka menjalani latihan fisioterapi di Klinik Kesihatan Tongkang Pecah merasa teruja kerana mereka mempunyai pelbagai keistimewaan.
“Keadaan mereka sering membuatkan saya insaf dan kini timbul kasih sayang terhadap mereka,” katanya.

No comments: