Monday, June 11, 2007

Kakitangan awam akan dapat kenaikan gaji

Abdullah: Kakitangan awam akan dapat kenaikan gaji
07-05-2007 10:57:49 AM


PUTRAJAYA: Seramai 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara akan menerima kenaikan gaji kerana mereka berhak mendapatnya, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Perdana Menteri berkata perbezaan pendapatan antara pegawai rendah dan tinggi perlu diambil kira dalam menentukan formula kenaikan gaji itu kerana kos hidup yang tinggi membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Kakitangan awam wajar diberi kenaikan gaji tetapi banyak mana setakat ini hanya (Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam) Tan Sri Ismail Adam sahaja yang tahu," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, di sini.

Kerajaan, kata Abdullah, setakat ini tidak mengetahui apa yang hendak disyorkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai perkara itu.

Ini merupakan kali pertama kerajaan memberikan jawapan "Ya" kepada soal kenaikan gaji kakitangan awam, kerana sebelum ini kerajaan hanya menyebut "sedang mengkajinya sahaja".

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini mencadangkan semakan semula gaji kakitangan awam dengan kenaikan antara 10 dan 40 peratus memandangkan kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1992.

Cuepacs mencadangkan kenaikan 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1 hingga 16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala 30 peratus bagi kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga hingga 40).

Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54), Cuepacs mencadangkan kenaikan sebanyak 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) pula sebanyak 10 peratus.

Abdullah berkata kedudukan kewangan negara juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar kenaikan gaji kakitangan awam.

Perdana Menteri secara berseloroh berkata beliau memilih untuk bercakap mengenai kenaikan gaji kakitangan awam sahaja pada perhimpunan itu kerana sedar kakitangan awam "tidak mahu" mendengar subjek lain lagi.

"Ada orang cakap dah lama tak naik gaji. Ada orang cakap macam mana nak dinaikkan gaji mereka Pak Lah, sedangkan delivery system belum dipertingkatkan lagi. Ada orang cakap gaji perlu naik kerana kos hidup tinggi sekarang," katanya.

Abdullah berkata kerajaan memang sedar sudah lama gaji kakitangan awam tidak dinaikkan tetapi beberapa elaun termasuk COLA (elaun kos sara hidup) sudah diberikan untuk meringankan beban mereka.

Ini bukan bermakna tiada apa-apa pemberian daripada kerajaan walaupun gaji mereka tidak dinaikkan sebelum ini, kata perdana menteri.

Dalam pada itu, Abdullah berkata kakitangan awam pula perlu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek kecekapan, kepantasan dan keadilan dalam melaksanakan tugas mereka.

Mereka mesti berkhidmat dengan cepat, tepat dan adil kerana cara itu sahaja boleh menjadikan pembangunan negara lebih dinamik, katanya.

"Kita tak boleh kata kita hanya nak urus 10 fail sahaja sedangkan fail di depan kita bertimbun. Kita juga tidak boleh kata kita nak urus sekian banyak sahaja surat rayuan sedangkan banyak surat rayuan yang perlu diberikan perhatian," kata Abdullah.

Ismail yang turut hadir pada perhimpunan itu ketika ditanya oleh pemberita kemudiannya berkata, kajian kenaikan gaji itu kini di peringkat akhir.

Ditanya mengenai formula kenaikan gaji itu sama ada golongan berpendapatan rendah akan menikmati lebih kenaikan berbanding yang berpendapatan tinggi, beliau hanya berkata: "Seperti yang Perdana Menteri cakap tadi. Seperti yang Cuepacs minta."
Ismail juga enggan menyatakan bila hasil kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

"Tunggulah Perdana Menteri akan umumkan," katanya. BERNAMA

No comments: